Rabu, Februari 18, 2009

Ilmu Susuk Islam (Zikir dan Tahmid)

Susuk memasuki barang kepada tubuh badan seperti jarum emas, berlian dan lain-lain adalah haram sama sekali. Selain itu ianya mengundang padah ketika ingin meninggal dunia. Bagi mereka yang telah memakai susuk maka seharusnya anda pergilah ditempat anda membuatnya atau tanya orang yang pakar untuk mengeluarkanya.
Untuk menghindarkan berbuatan memakai susuk maka anda boleh mengamalnya ilmu susuk Islam dengan hanya mengunakan air sahaja. Sebenarnya ilmu susuk bukan memasukan barang dalam tubuh badan. Jika anda bertahmid juga sebenarnya anda telah memakai susuk secara tidak sengaja. Itu sebabnya para ustaz-ustaz jika diihat mukanya amat menarik perhatian ini kerana mereka sering mengucap subhanallah wahamdulillah allah huakbar.
Ilmu ini merupakan ilmu penyeri muka di mana insyallah jika diamalkan setiap hari samada anda akan kelihatan amat berseri-seri tidak perlu gunakan make-up pun dan nampak putih dan jika sekali pandang macam bercahaya. ilmu ini boleh di gunakan samada kaum lelaki atau wanita. Saya amat berharap janganlah gunakan susuk banyak lagi cara Islam anda boleh gunakan kesiankanlah diri anda. (Dipetik: http://ilmupengasih.blogspot.com/)

Ilmu Penunduk Surah Yassin

Pada hari ini banyak sungguh membuat pertanyaan Ilmu penunduk surah Yassin (Harian Metro muka hadapan pd 23hb Jul 2008) dan apa kesan serta amalanya. Untuk pengetahuan semua memang barang siapa yang mengamalnya membaca surah Yassin (hati al-Quran) maka seseorang itu diberi kelebihan seperti menundukan seseorang, manusia akan senang atau akan sayangkan kepada kita, apa yang dikatakan akan dituruti secara zahir mahu batin.
Orang yang dimaksudkan itu mempunyai kepandai dalam penggunaan surah Yassin sebab pada ayat yang tertentu jika diwafak atau dihajat insyallah akan dikurnai kehendaknya. Itulah yang terjadi pada pengamalnya. Dalam blog saya baru-baru saya ada meletakan ilmu penunduk suami/isteri dan anak merupakan salah daripada surah Yassin dimana jika di niatkan pada ayat yang tertentu insyallah segala hajatnya akan dikurnai jika diminta. Oleh itu jangan diniat untuk melakukan perkara yang diharamkan oleh Islam.
Selain daripada surah Yassin ada lagi banyak dalam surah-surah yang lain seperti al-Fatihah juga mempunyai kesan yang sama dengan surah Yassin ianya boleh jadi penunduk, pengasih, mendatangkan hajat dan sebagainya cuma kita perlu tahu caranya.
Selain itu ada yang menyoal kenapa kita minta sesuatu yang buruk Allah swt memakbulkanya ?Ingatlah sejarah manusia dijadikan dimana Iblis meminta kepada Allah swt untuk menyesatkan manusia sehingga hari kiamat dan allah swt memakbulkanya. Inikan kita manusia yang dijadikan sebaik-baik kejadian maka tidak mustahil segala doa kita tidak dimakbulkan insyallah ia akan dimakbulkan.Akan tetapi ingatlah hari pembalasan (kiamat) oleh itu jangan minta sesuatu yang buruk maka janji Allah swt jika minta yang baik akan dikurniakan kebaikan maka apabila minta kejahatan akan dikurnai kejahatan (masa ada di dunia ataupun akhirat) (Dipetik: http://ilmupengasih.blogspot.com/).

Ilmu Penyembuh (AL-Fatihah)

Ilmu penyembuh atau lebih dikenali dengan doa syifa` makin dilupai masyarakat Muslim. Ini adalah disebabkan oleh dengan adanya pusat perubatan, hospital, klinik dan famasi. Akan tetapi pada zaman dahulu tidak ada pusat perubatan dan lain-lain maka biasa orang dahulu mengunakan doa-doa penyembuh.
Akan tetapi apabila Allah swt mentakdirkan seseorang itu terkena dengan penyakit yang tidak ada penyembuhnya seperti AIDS dan banyak lagi barulah orang kita pergilah mencari cara alternatif perubatan tradisional. Ilmu penyembuh ini paling senang ialah surah al-Fatihah. Jika anda atau keluarga dilanda dengan penyakit yang tidak ada penyembuhnya maka biasa para guru saya mengajar kepada dan menyuruh saya membaca 17 kali surah al-Fatihah dan kemudian ditiupkan pada air insyallah penyakit dunia akan sembuh. Jika anda mengidap penyakit aids atau yang lain-lain yang tidak ada penyembuhnya maka anda carilah buah mahkota dewa yang telah kering dan bancuhlah dengan air seperti anda membuat air teh kemudian bacalah surah al-Fatihah 17 kali dan kemuadian di tiupkan pada air. Insyallah penyakit anda alami tidak melarat.
Kita mesti percaya bahaya penyakit itu datang daripada Allah swt maka Allah swt sahaja dapat menyembuhnya. Kesan jika kita amalkan setiap hari atau seminggu sekali maka penyakit itu tidak akan dekat pada kita insyallah. Kecuali penyakit MATI (Dipetik: http://ilmupengasih.blogspot.com/).

Ilmu Pengasih At-Taubah

Dalam banyak-banyak ilmu pengasih ilmu pengasih surah at-taubah ini mempunyai banyak khasiatnya:
1. Penunduk
2. Perukun suami/isteri
3. Orang segan dengan pengamalnya
4. Jika ada hajat tak baik ia boleh jadi pengeri (orang takut kepada pengamalnya)
5. Rezeki yang sempit akan di luaskan dan akan mendapat rezeki dengan tidak disangka
6. Panjang Umur
7. Pengasih
8. Sebagai penawar penyakit jika diamalkan selaludan banyak kebaikan jika diamalkan selalu.
Ilmu ini sebenarnya banyak digunakan oleh pakar perubatan Melayu. Mungkin ramai yang tidak tahu barah merupakan penyakit yang amat ditakuti oleh manusia akan tetapi ada seorang daripada batang berjuntai boleh mengubati penyakit ini hanya dengan mengunaka surah at-taubah. Jika anda mempunyai penyakit dalam seperti barah otak, barah usus, barah perut dan lain-lain barah sila pergi ke batang berjuntai tanyalah penduduk disana insyallah mereka akan tahu di mana rumahnya. Insyallah penyakin anda akan dapat disembuhkan. Cubalah dalam 2 kaedah yaitu kaedah moden dan kaedah tradisional (Dipetik: http://ilmupengasih.blogspot.com/).

Kelebihan Surah Al-Waqiah

Jika anda dihimpit oleh hutang, kemiskinan dan rezeki kurang dan anda ingin rezeki anda mengalir kepada anda bagaikan air bagawan maka saya anjurkan saudara-saudari amalkan "suratul ghinaa wa Nafyil Faqri al-waqiah" insyallah bagi hutang akan dibayarkan bagi yang miskin akan mendapat rezeki yang tidak dapat difikirkan oleh akal fikiran manusia dan rezeki anda akan mengalir bagai air terjun yang amat deras.Akan tetapi amalan ada berat sedikit akan tetapi sebab suratul ghinaa wa nafyil faqri ini panjang walau bagaimanapun ianya amat baik sekali jika anda dihimpit dengan masalah wang.Ada 3 cara untuk mengamalnya:

1. Diwirit sekali pada setiap sehari semalam
2. Diwirit 14 kali selepas sholat Asar
3. Cara yang paling ampuh ialah harus puasa sunat 7 hari bermula daripada malam hari khamis malam jumaat dalam 7 hari tidak boleh makan lauk yang berdarah. Selama 7 hari harus diwirit sebanyak 25 kali setiap sholat fardu pada malam penghabisan maka harus diwirit sebanyak 125 kali pada malam jumaat terakhir.
Dan setiap kali habis diwirit mintalah apa yang didalam hati insyallah akan diperkenaankan dengan kadar yang segera. (Dipeti: http://ilmupengasih.blogspot.com/)

Ahad, Februari 15, 2009

Kajian Lapangan Kaum Asli Mah Meri - Pulau Carey Klang

PETA TABURAN ORANG ASLI SEMENANJUNG MALAYSIA
Pada jam 7.30 pagi saya bertolak dari rumah untuk mengambil dua pelajar di UKM seperti yang telah dijanjikan sebelum ini. Kami akan bertolak ke Pulau Carey untuk membuat kajian lapangan berkenaan kaum asli Mah Meri. Kebetulan pelajar saya Azlin Aziz membuat latihan ilmiah berkenaan anyaman kaum asli Mah Meri. Kesempatan ini saya ambil untuk meninjau kawasan kajian, manatahu jika ada bahan yang sesuai untuk tulisan saya nanti. Azlin yang memandu kereta saya kerana saya kurang arif untuk ke Teluk Panglima Garang melalui lebuhraya. Sebenarnya Azlin telah berjanji dengan Dr. Syaiful yang akan membantu kami nanti. Beliau menunggu kami di Teluk Panglima Garang (rumah ibunya di sana). Kebetulan beliau memang telah biasa dengan masyarakat asli di sana. Kami bertolak sekitar 8.30 pagi dan sampai di Teluk Panglima Garang sekitar 10.15 pagi. Pelbagai peristiwa lucu berlaku. Mana tidaknya, kami sesat beberapa kali dan terpaksa bertanya di Balai Polis Trafik yang juga memberi maklumat kurang tepat kepada kami sehingga kami tersesat melalui Jalan Istana. Lucu juga dan akhirnya seorang pak cik India yang sedang beriadah membantu kami menunjukkan jalan ke Banting. Terima kasih pak cik. Sepanjang jalan kami ketawa. Dalam perjalanan menuju ke rumah arwah mak Dr. Syaiful, kami terlajak jalan dan akhirnya kena "basuh" dengan Dr. Syaiful (gunakan akal). Perjalanan menuju ke Pulau Carey agak jauh juga. Kami pergi ke beberapa buah kampung dan rupanya nama Carey itu diambil sempena nama pemilik kawasan tersebut yang bernama E. Carey seorang bangsa Skotland yang membeli tanah di kawasan tersebut dari kerajaan Selangor. Asalnya kawasan tersebut merupakan kawasan perburuan Sultan Selangor dan akhirnya menjadi penempatan kaum asli Mah Meri yang sangat mahir mengukir kayu dan membuat anyaman daun nipah.
Kami tiba di Kampung Sg. Bumbun yang mempunyai penduduk teramai di Pulau Carey. Kami diperkenalkan dengan Pak Cik Dogoh dan isterinya kak Mila yang dikatakan pakar dalam membuat anyaman daun nipah. Mereka merupakan orang terkaya di kampung tersebut dan menjalankan perniagaan menjual ikan. Sayangnya kami tidak berpeluang berbual lama dengan kak Mila yang menghidap demam chikukunya sejak bulan Disember lalu. Selepas itu kami pergi ke rumah kak Zainab pula dan beliau tiada di rumah kerana menziarahi umah bapa mertuanya yang baru meninggal dunia. Kami sempat bertanya anak-anak beliau yang agak cantik dan berkulit hitam manis. Kami meneruskan perjalanan mencari kak Zainab yang dikatakan pakar anyaman di Kampung Sg. Bumbun. Akhirnya pencarian kami membuahkan hasil dan kak Zainab ditemui sedang berehat bersama mertuanya. Mereka sedang duduk di balai kenduri arwah yang akan diadakan pada minggu hadapan. Setelah mendapatkan nombor telefon dan membuat perjanjian, kami meneruskan perjalanan dan Dr. Syaiful membawa kami ke kawasan tepi laut yang menjadi lubuk rezeki nelayan Mah Meri di situ. Terdapat banyak kapal-kapal besar yang akan berlabuh ke Pelabuhan Kelang. Selesai merakam beberapa gambar kami bergerak ke Kampung Sg. Rambai untuk menemui Batin Dolah. Kami diberitahu beliau ke laut, namun alhamdulillah kami dapat berjumpa isterinya dan ketika kami ingin beransur pulang, Batin Dolah muncul dengan membawa kayu untuk dijadikan kayu api masak. Menurut mereka pada 25 Feb 2009 mereka akan meraikan "Hari Moyang" dan minggu hadapan ada majlis perkahwinan. Maknanya kami tidak dapat menjalankan kajian pada tarikh tersebut. Setelah mendapatkan maklumat dan nombor telefon, kami meminta diri dan berjanji akan berjupa semula nanti. Suatu hal yang sangat istimewa dan menarik perhatian saya ialah anak lelaki batin Dolah, saya kira umurnya sekitar 18 atau 19 tahun dan sudah mempunyai anak berusia dua tahun. Rupanya dan isterinya boleh tahan juga dan anak kecil mereka Dahari begitu petah berbahasa Melayu. Alangkah gembira dan puashati rasanya dapat bertemu mereka di sana dan mereka sangat peramah orangnya. Dalam perjalanan pulang kami singgah di rumah arwah adik Dr. Syaiful dan sepanjang perjalanan pulang dari Pulau Carey saya yang pandu. Sebelum pulang kami singgah makan di KLCC dan terus ke UKM untuk menghantar Azlin dan Huda. Saya tiba di rumah sekitar 3.40 petang. Selepas zohor saya lena hingga ke petang. Bagi saya ini satu pengalaman yang sangat menarik dan nantikan pengalaman saya selepas ini bersama masyarakat Orang Asli Laut di Pontian nanti.

Rabu, Januari 21, 2009

Ilmu Perubatan Tradisional: Lambang Kecerdasan Minda Melayu

Abstrak

Masyarakat Melayu sangat kaya dengan pengetahuan yang meliputi pelbagai jenis disiplin ilmu. Antara bidang yang menarik perhatian umum ialah ilmu yang berkaitan dengan perubatan tradisional yang dirakamkan dalam bentuk tulisan Jawi. Rakaman tersebut memperlihatkan kekuatan minda sesuatu masyarakat yang tergambar secara halus dan memberi sumbangan yang besar dalam kehidupan masyarakat Melayu khususnya. Secara tidak langsung ianya menjadi suatu kemahiran yang dapat digunakan sebagai rujukan ilmiah dan sumber yang perlu dihargai oleh generasi akan datang.
Pengenalan
Perubatan secara tradisional mempunyai matlamat yang sama dengan perubatan moden, iaitu menghapuskan kesakitan dan penderitaan dengan konsep dan cara tersendiri. Perubatan tradisional melibatkan pakar-pakar perawat tradisional seperti pawang, bomoh, dukun, bidan, tabib dan sebagainya. Mereka mempunyai tugas yang hampir sama tetapi berbeza dari segi pengalaman serta ilmu yang dituntut. Pelbagai tafsiran yang berbeza diberikan kepada mereka.

Ilmu perubatan Melayu merupakan salah satu khazanah budaya yang mencerminkan ketamadunan dan pemikiran sejak zaman berzaman mengenai aspek kehidupan khususnya bersangkutan penyakit, pengubatan dan kesihatan. Pengubatan yang dijalankan berlandaskan prinsip sakit demam yang dikatakan sebagai penderitaan yang dialami oleh pesakit. Setiap penyakit mempunyai punca atau sebab musabab. Oleh itu ia pasti ada ubatnya dan segala usaha bagi mengatasi penyakit tersebut dari segi pengubatan disebut sebagai ikhtiar.

Sebelum kedatangan agama Hindu dan Buddha penduduk di sekitar kepulauan Melayu-Indonesia menganut fahaman animisme yang menumpukan pemujaan kepada semangat, roh, makhluk ghaib, penunggu dan sebagainya. Kepercayaan terhadap hal tersebut kukuh di dalam kehidupan seharian mereka. Dari sinilah munculnya peranan orang tengah, atau orang perantaraan, antara kehidupan manusia dengan kuasa-kuasa ghaib (Amran Kasimin, 2006:1) yang disebutkan tadi. Kuasa-kuasa ghaib ini membantu melakukan sesuatu kerja yang sukar atau menyampaikan sesuatu hajat (Jahid Sidek, 2004: 189). Perawat tradisional dikatakan mempunyai ilmu kebatinan yang tinggi, berupaya menghubungkan kehidupan manusia di alam fana dengan alam ghaib yang mengganggu manusia ketika mencari rezeki, mengganggu ibu yang masih dalam hari dan sebagainya. Mereka jua memainkan peranan yang penting untuk mengetuai pelbagai upacara dan adat istiadat.

Winstedt (1981) menyatakan pengamal perubatan tradisional dipercayai mengamalkan shamanisme, iaitu agama primitif penduduk Selat Behring yang berkembang ke Scandinavia, Tibet, China, dan akhirnya sampai ke Tanah Melayu. Ia merupakan kesan peninggalan agama Hindu-Buddha yang berlaku semasa kerajaan Sri Vijaya meluaskan pengaruhnya pada abad ke 13. Pemerintahan yang lama meninggalkan kesan yang luas ke atas budaya Melayu, termasuk bidang kepercayaan dan pengubatan. Terdapat banyak perkataan yang berasal dari bahasa Sanskrit digunakan dalam upaca penyembuhan dan agama seperti tapa, mantera dan puja. Penggunaan ‘Maharaja Dewa’ dan ‘Batara Guru’ menujukkan adaptasi kepada tuhan ‘Siva’ (Danaraj, 1964). Amalan ‘menepung tawar’ batu nisan sebelum dibawa ke tanah perkuburan juga adalah saki baki daripada pengaruh agama Hindu (Haliza Mohd. Riji, 2000: 30).

Pengertian Ilmu dan Ngelmu

Dalam dunia perkamusan ilmu dikenali sebagai pengetahuan, kepandaian (dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin d.l.l) (Kamus Dewan, 2002:483). Bagi membolehkan manusia hidup dalam kesejahteraan, Islam mengarahkan penganutnya supaya berilmu. Untuk mendapatkan ilmu, seseorang mesti menuntut ilmu daripada orang yang berilmu. Mengikut perspektif Islam, ilmu adalah luas merangkumi hal-hal yang bersangkutan dunia dan akhirat. Melalui ilmu manusia boleh memenuhi keperluan dirinya dan mengendalikan kelompok dan persekitarannya. Dari segi akal, ilmu itu sesuatu yang utama kerana dengan ilmu, manusia sampai kepada Allah s.w.t. dan menjadi dekat dengan-Nya (Imam Al Ghazali, 2003: 4).

Bidang perubatan adalah satu cabang ilmu yang diperlukan oleh manusia. Justeru itu Islam menghendaki manusia mempelajari ilmu berkaitan penyakit dan rawatan kerana setiap manusia tidak lepas daripada mengalami kesakitan yang memerlukan kesembuhan. Bagi orang Melayu misalnya, bomoh adalah orang yang melibatkan dirinya dalam mempelajari ilmu dan mengamalkan bidang perubatan yang menjadi sebahagian daripda fardu kifayah. Kegiatan bomoh yang mengenali penyakit dan mengubatinya bukan sahaja merupakan kewajipan peribadi (Haliza Mohd Riji, 2000: 65) tetapi merupakan sumbangan kepada masyarakat dan merupakan satu ibadah serta mewujudkan kesejahteraan insan dari sudut jasad dan rohani.

Dalam bidang perubatan tradisional, seringkali istilah berilmu digunakan. Perkataan berilmu merujuk kepada orang yang mempunyai banyak ilmu, pandai, berpengetahuan (Kamus Ensiklopedia, 1997: 339). Bagi masyarakat Melayu misalnya orang berilmu dikaitkan dengan orang yang pandai dalam ilmu-ilmu tertentu seperti ilmu agama dan ilmu perubatan. Mereka dikatakan mampu mendalami bidang masing-masing sehingga dihormati dan berperanan penting dalam masyarakat.

Konsep ilmu ini juga dapat dikaitkan dengan terminologi Jawa yang disebut ngelmu. Ngelmu merupakan konsep pemikiran Jawa asli (Suwardi Endraswara, 2003: 25). Ngelmu adalah singkatan dari dua suku kata iaitu “Ngel” dari kata “angel” yang bermaksud sulit, sukar dan sebagainya, “mu” dari kata “tinemu” yang bermakna tahu atau mengerti. Ngelmu bermakna angel tinemu iaitu sulit untuk dimengerti, diketahui dan sebagainya (Soesilo, 2000: 10). Merujuk kepada pengertian tersebut, ngelmu ialah ajaran rahsia untuk pegangan hidup. Tulisan pada ngelmu umumnya mengenai hubungan antara manusia dengan sang pencipta (Soesilo, 2000: 128). Jika dikaitkan dengan bidang perubatan tradsisional, ilmu berhubung mengenainya adalah sukar diperolehi kerana pengamal perlu melalui beberapa ujian untuk mendapatkan ilmu tersebut seperti melalui pertapaan dan menghadapi ujian-ujian lain untuk melihat tahap kekuatan diri seseorang. Misalnya dalam cerita Seniman Bujang Lapok yang memperlihatkan senario ini. Tiga watak utamanya (Ramli, Sudin dan Aziz) dikehendaki menghafal beberapa mentera dan menduduki ujian ketahanan diri di kawasan-kawasan tertentu untuk mendapatkan ilmu. Mereka perlu memenuhi kriteria tersebut untuk memenuhi syarat menjadi seorang pesilat.

Sejajar dengan hal tersebut di atas, terdapat beberapa sifat ngelmu, iaitu:

a. Diketahui dengan laku batin atau penghayatan rohaniah.
b. Ngelmu iku kalakone kanti ‘laku’ yang bermaksud mengerti atau mengetahui setelah dijalani sendiri.
c. Berdasarkan penghayatan, perasaan yang dilakukan sendiri.
d. Didapati dengan laku tapa brata (mengurangi kesenangan duniawi), cegah dhahar (mengurangi makan yang sedap) lan guling (dan tidur).
e. Di jalankan dengan tiga perkara:
i. Heneng iaitu konsentrasi
ii. Hening iaitu fikiran yang bening
iii. Heling iaitu ingat Tuhan
f. Belajar ‘ngelmu’ merupakan pucuk atau ujung dari pengetahuan.
g. Lebih banyak menggunakan rasa daripada ratio, bahkan ada yang menyebut sebagai punca indera keenam (Soesilo, 2000: 10-11).

Konsep Kecerdasan dan Minda Melayu

Cerdas bermaksud sempurna akal (untuk berfikir, mengerti dll), cerdik, pandai, pintar. Kecerdasan pula bermaksud kesempurnaan akal (untuk berfikir, mengerti dll. Seperti kepandaian, kepintaran dan kecerdikan (Kamus Ensiklopedia, 1997: 168)

Hassan Hamzah dalam Kamus Ensiklopedia (1997: 66) menyatakan minda ialah akal, fikiran. Pengertian ini disokong dengan pandangan Zainal Kling (2005: 18) yang menyatakan terdapat tiga andaian tentang kehadiran minda dalam diri manusia iaitu kehadiran fikiran atau berfikir, kehadiran pengetahuan atau ilmu dan kehadiran niat atau tujuan. Minda adalah suatu keupayaan manusia untuk memahami, memikirkan, merasakan mentaakul, memutuskan, menilai dan menaggapi. Minda adalah keupayaan mental yang merupakan fikiran, perasaan dan tindakan. Justeru itu minda Melayu bermakna memperkatakan tentang alam fikiran Melayu, proses mentalnya yang mantap, terakam dan terpancar dalam percakapan, tulisan mahupun segala macam naratif berbentuk sastera.

Lambang Keintelektualan Melayu

Intelek bermaksud kemampuan seseorang untuk mengetahui atau menerima pengetahuan. Semakin berkembang intelek seseorang, semakin besar kemampuannya untuk berfikir secara rasional. Berfikir secara rasional bererti berfikir dengan akal yang sihat, tidak dipengaruhi perasaan dan mampu menerapkan pengetahuan yang dimiliki secara tepat untuk menghadapi satu situasi baru (Ensiklopedi Nasional Indonesia, 1989: 189). Intelektual pula bermaksud orang (kaum, golongan) terpelajar, cerdik pandai, cendiakawan, mempunyai kemampuan yang tinggi untuk berfikir (menggunakan akal budi) dan keintelektualan pula bermaksud perihal (kemampuan) menggunakan intelek atau akal budi yang ada pada manusia, sifat intelektual, kebijaksanaan (Kamus Ensiklopedia, 1997: 348). Justeru itu, keintelektualan Melayu bermakna kemampuan dan kebijaksanaan orang Melayu berfikir dan menerapkan ilmu pengetahuan dalam apa jua bidang termasuklah dalam bidang perubatan tradisional.

Jika dirujuk kepada bidang tersebut di atas, keintelektualan minda Melayu boleh dilihat menerusi perawat-perawat tradisional yang mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing. Contohnya bidan yang mempunyai kepakaran dalam bidang menyambut kelahiran bayi. Dalam masyarakat Melayu tradisional, bidan berperanan penting menjaga kesihatan dan mencegah sebarang keuzuran dari peringkat awal kehamilan seseorang wanita sehinggalah selepas bersalin. Namun demikian bidan juga bertanggungjawab dan pakar dalam sistem rawatan urut mengurut selepas bersalin. Noor Azlan (1993:67) menyatakan dalam masyarakat Melayu, terdapat adat meminang atau menempah bidan yang dilakukan oleh anggota komuniti yang memerlukan perkhidmatan bidan. Menurutnya, secara umum tugas bidan kampung dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu peringkat sebelum bersalin, semasa bersalin, dan selepas bersalin. Bidan juga turut mengurut individu tertentu yang mempunyai masalah tersendiri dan tidak menghadkannya kepada urut selepas bersalin sahaja.

Begitu juga dengan bomoh diertikan sebagai orang yang mencari pesakit serta menawar penyakit tanpa diminta (Nurhalim Haji Ibrahim, 1997:2). Gimlette (1915) memberi definisi bomoh ialah seorang yang menyembuhkan dengan kuasa magis. Skeat pula mengatakan bahawa bomoh mengubati penyakit sedangkan pawang menggunakan magis (Haliza Mohd Riji, 2000: 31). Manakala Mohd Taib Osman (1977:6) menyatakan seorang bomoh ialah ahli dalam bidang perubatan dalam masyarakat dan kebudayaan Melayu tradisional. Dalam masyarakat Melayu bomoh dikatakan berasal daripada Luqman Al-Hakim. Beliau dalam tulisannya (1988) menyatakan “bomoh merujuk kepada seorang pengamal yang merawat orang sakit dan mengubati keuzuran.”

Secara umumnya gelaran bomoh diberikan kepada individu yang mempunyai kemahiran dalam bidang perubatan klinikal tradisional. Dalam menjalankan proses pengubatan mereka turut mengamalkan magis sebagai satu kaedah utama dalam urusan perubatan. Dalam masyarakat Melayu bomoh mempunyai empat peranan yang penting iaitu mengubat, memberikan nasihat berkaitan sihir atau ilmu hitam, menghalau hantu-syaitan apabila diperlukan selain mencadangkan serta menentukan larangan untuk kelicinan urusan kehidupan harian (Hartini Mohd. Nawi, 2006: 3).

Keintelektualan minda Melayu juga dapat dilihat menerusi perawat yang bergelar pawang. Mereka dianggap mempunyai kebolehan yang istimewa untuk melakukan sesuatu (biasanya dengan kuasa ghaib) (Kamus Dewan 2000: 990). Pawang juga didefinisikan sebagai orang yang pandai mengubati orang sakit dan sebagainya (dengan menggunakan jampi mantera dan lain-lain). Menurut Kamus Dewan selanjutnya bahawa perkataan bahasa Malaysia yang mempunyai erti atau makna yang sama dengan perkataan pawang ialah bomoh dan dukun.

Skeat (1909) menyatakan tentang pawang:
... golongan melakukan amalan-amalan magis untuk mencari galian, tumbuhan perubatan, atau untuk menentukan tangkapan ikan yang banyak (Haliza Mohd. Riji. 2000: 31).

Hal ini dipersetujui oleh Mohd Taib Osman yang mengatakan pawang ialah orang yang boleh menghubungkan kuasa alam ghaib yang mana biasanya memimpin atau mengetuai pelbagai upacara seperti pembukaan tanah baru, memuja pelbagai kuasa ghaib yang mana biasnya memimpin atau mengetuai pelbagai kuasa ghaib di laut untuk para nelayan atau memujuk kuasa ghaib yang dijangka akan menyerang sesuatu tempat (Jahid Sidek, 2004: 18). Pawang turut dihubungkan dengan penggunaan magis kerana kebolehan mereka berhubung dengan makhluk ghaib. Peranan mereka bukan sahaja penting dalam kegiatan-kegiatan ekonomi, malah dalam hal-hal keselamatan kampung. Dalam hubungan ini Colson (1969) menyatakan bahawa dalam upacara ‘bela kampung’ pawang menabur bertih untuk menandakan sempadan selamat bagi penduduk daripada gangguan penyakit berjangkit (Jahid Sidek, 2004: 32).

R.O Winstedt pula berpendapat bahawa pawang ialah orang yang pandai mengubati penyakit atau menangkap ikan, binatang, menyuburkan tanaman dan sebagainya dengan menggunakan jampi mentera. Roff pula berpendapat bahawa tugas pawang ialah melakukan upacara-upacara tertentu seperti mententeramkan tenaga alam, menjamin hasil pertanian dan mendapatkan tangkapan ikan yang baik. Pawang juga berfungsi melakukan upacara untuk ketenteraman kampung (Amran Kasimin, 1991: 134).

Biasanya kebolehan pawang sering dikaitkan dengan kebolehan dalam sesuatu bidang sahaja, misalnya dalam bidang berkaitan buaya, harimau, ular dan sebagainya. Menurut Mohd. Taib Osman setiap pawang adalah bomoh tetapi bukan semua bomoh adalah pawang (Ibid). Jika wujud masalah, pawang hanya mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidangnya sahaja, dan seolah-olah ada pengkhususan dalam menjalankan tugas-tugas yang diminta. Walau bagaimanapun pawang mampu menjalankan tugas-tugas seorang bomoh.

Dukun pula ialah orang yang mengubati orang sakit atau memberi ubat cara kampung, manakala tabib ialah orang yang ahli dalam hal-hal dan cara-cara mengubat penyakit serta berpengetahuan tentang ubat-ubatan (Haliza Mohd Riji, 2000: 32). Walaupun mereka diberi gelaran yang berbeza-beza, tetapi tugas utama mereka hanya satu iaitu merawat dan mengubati pesakit dengan cara masing-masing. Dalam kepercayaan tradisi Melayu, bomoh, pawang dan dukun dipercayai mempunyai tugas menghubungkan manusia nyata dengan manusia alam ‘supernatural’.

Keintelektualan ilmu perubatan tradisional juga dapat dilihat menerusi cara seseorang pengamal perubatan mendapatkan ilmu mereka. Dalam masyarakat Melayu terdapat dua istilah yang agak berbeza maksudnya, meskipun kedua-duanya berkait dengan ilmu pengetahuan. Pertama, istilah “orang berilmu”. Istilah ini dalam erti yang khusus merujuk mereka yang mempunyai ilmu batin, iaitu ilmu magis (kebal, ghaib, mengubat). Kedua, “orang alim”. “Orang alim” merujuk mereka yang mempunyai keagamaan (Islam). Kedua-dua istilah ini juga membawa maksud beramal. “Orang berilmu” beramal dengan ilmu magisnya sehingga dia mampu melakukan sesuatu yang luar biasa dan “orang alim” beramal dengan ilmu agamanya sehingga dia juga boleh melakukan sesuatu yang luar biasa (Hanapi Dollah, 2005: 147). Justeru itu “orang berilmu” sering dikaitkan dengan bidang perubatan tradisional yang sangat popular di kalangan masyarakat Melayu mahupun Jawa. Ilmu-ilmu perbomohan dituntut melalui orang yang benar-benar pakar dalam bidang perubatan.

Seseorang pakar perubatan mendapat ilmu perbomohan melalui proses menuntut atau belajar ilmu perbomohan daripada seorang ‘bomoh besar’. Proses menuntut ilmu ini dilakukan oleh seseorang yang benar-benar berminat dalam bidang yang diingininya. Biasanya hal begini dilakukan oleh individu yang benar-benar berminat untuk mendalami ilmu perbomohan. Keadaan ini diakui oleh seorang dukun[1] yang telah mempelajari ilmu perdukunan sejak usianya 20 tahun. Ilmu tersebut dipelajarinya dari seorang bomoh dari Indonesia dan amalan-amalan yang digunakan dalam bentuk bahasa Jawa. Oleh kerana minatnya yang sangat mendalam dalam bidang tersebut dia juga pernah menjadi pengantara (badal) bagi seorang bomoh asli selama setahun.

Jika dikaitkan dengan ajaran Islam, manusia hidup dalam kesejahteraan dan Islam mengarahkan penganutnya supaya berilmu. Untuk mendapatkan ilmu, seseorang mesti menuntut ilmu daripada orang yang berilmu. Ilmu, mengikut Islam adalah luas sekali merangkumi hal-hal yang bersangkutan dunia dan yang bersangkutan akhirat. Melalui ilmu manusia boleh memenuhi keperluan dirinya dan mengendalikan kelompok dan persekitarannya. Hal ini selaras dengan pandangan Islam yang mengatakan pendidikan formal dipelajari sejak seorang kanak-kanak itu lahir hingga dia mati. Imam Syafie mengatakan:
“Tuntutlah ilmu sejak dari buaian lagi hingga ke liang lahad”.

Islam telah membahagikan ilmu kepada dua bahagian iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah. Imam al-Ghazali telah menafsirkan ilmu fardu ain itu sebagai ilmu yang ditugaskan kepada hamba Allah S.W.T yang berakal dan baligh untuk mengamalkannya (Mohd Ali Abu Bakar, 1988 :12). Ilmu-ilmu ini wajib dipelajari oleh setiap individu muslim dan muslimah.

Ilmu fardu kifayah pula ialah bidang-bidang ilmu yang wajib dipelajari oleh sebahagian daripada umat Islam. Hal ini kerana ia amat diperlukan di dalam kehidupan untuk menjamin keselesaan dan ketenteraman hidup manusia. Imam Ghazali telah memberikan ilmu fardu kifayah kepada dua iaitu ilmu syariat dan ilmu bukan syariat. Ilmu syariat termasuklah mendalamai ilmu tafsir, ilmu hadis, ilmu qiraat dan sebagainya. Manakala yang buka fardu kifayah, beliau menjelaskan seperti berikut:

“Yang fardu kifayah ialah tiap-tiap ilmu yang tidak dapat diketepikan dalam penegakan urusan dunia seperti ilmu kedoktoran kerana kepentingan pemeliharaan tubuh manusia” (Ibid.)

Penjelasan tersebut menunjukkan ilmu perubatan merupakan salah satu ilmu fardu kifayah yang mesti dituntut oleh sebahagian umat Islam. Jika tidak, kesemua umat Islam di sesuatu kawasan akan menanggung dosa.

Kesatuan Manusia, Alam dan Pencipta

Manusia, alam dan Pencipta (Allah) merupakan talian yang tidak dapat dipisahkan. Manusia tidak akan hidup tanpa alam kerana alam memainkan peranan yang amat dominan terhadap manusia. Agama Islam yang dianuti oleh masyarakat Melayu menekankan bahawa Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Segala penyakit datangnya daripada Allah dan hanya dia yang menyembuhkan penyakit. Selain daripada konsep ‘kekuasaan’, konsep ‘keadilan’ Allah juga berkait rapat dengan penyakit yang menimpa seseorang. Masyarakat Melayu percaya sesuatu penyaki itu terjadi kerana peskit tersebut telah melakukan dosa atau melanggar ajaran Islam. Atas dasar ‘perbuatan baik dibalas baik dan perbuatan jahat dibalas dengan keburukan’, penyakit dibalas oleh Allah ke atas pesakit tersebut kerana dosa yang telah dilakukannya (Amran Kasimin dan Zulkarnain Zakaria, 1994: 19-20).

Perkaitan atau hubungan manusia dan Pencipta dalam perubatan tradisional dapat dilihat melalui penggunaan doa yang merupakan agen penyembuh penyakit. Menurut Kamus Dewan (2000: 310) edisi ketiga, doa bermakna permohonan atau permintaan kepada Tuhan (Allah). Ia juga bermakna kebaikan yang dipinta dengan restu daripada Tuhan. Doa merupakan potongan ayat yang diambil daripada al-Quran (hadis) yang dibaca untuk memohon sesuatu kebaikan daripada Tuhan yang diyakini mampu untuk merawat penyakit dalaman dan luaran.

Dalam Mujarabat Melayu misalnya penyembuh kesakitan tidak hanya tertumpu kepada bahan-bahan yang diperolehi daripada alam sekeliling tetapi ia juga turut menggunakan unsur-unsur lain seperti ayat al-Quran sebagai doa untuk penyembuhan. Misalnya surah Yassin dinyatakan dapat mengubati segala penyakit. Selain itu, ia juga turut menyatakan ayat yang boleh digunakan untuk merawat seratus empat puluh penyakit seperti berikut:

(Dan ketahui) olehmu telah mencahaya oleh Allah Taala akan dikau dan kami dengan cahaya Quran bahawasanya aku surat banyak daripada hadis dan perkataan ulama daripada bicara kelebihan surat Yassin dan segala faedahnya dan rahsianya dan aku pandangkan segala perkara dengan sebab aku bacakan dia dan diisti’mal akan dia pada tanggung dan minum bagi menyembuhkan dari orang yang sakit dan tersebut di dalam hadis bermula barangsiapa mebacakan dia kemudian minumkan dia dimasukkan ke dalam rongganya seribu ubat dan seribu cahaya dan seribu berkat dan seribu rahmat daripada Allah s.w.t. dan mencabutlah ia daripadanya segala penyakit ... (hal 10)

(Bab ini pada menyatakan) ubat segala penyakit yang seratus empat puluh dalam dunia ini disurat pada mangkuk putih basah dengan air diberi minum tujuh kali berturut-turut atai tiga kali pagi-pagi …(hal. 96)

Selain itu, bagi masyarakat Melayu tradisional, bahan-bahan perubatan yang digunakan berkaitan dengan worldview dan persekitaran mereka. Tumbuh-tumbuhan dan binatang yang terdapat di persekitaran mereka sebahagiannya digunakan untuk tujuan perubatan. Masyarakat tradisional percaya bahawa sesetengah binatang dan juga tumbuh-tumbuhan mempunyai khasiat tertentu dan mampu serta berupaya menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu. Oleh itu fauna dan flora akan digunakan sebagai bahan-bahan perubatan dan dikatakan mempunyai khasiat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Rajah 1: Kesatuan Manusia, Alam dan Pencipta (Allah)


Dari segi bahan perubatan, teks Mujarabat Melayu misalnya memaparkan pelbagai nama dan khasiat flora yang terdapat di sekeliling kita untuk digunakan sebagai ramuan bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Flora yang digunakan untuk rawatan penyakit dipilih daripada pokok tertentu yang dikatakan mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Pemilihan flora bukan hanya daripada daun tetapi dari buahnya. Buah-buah tesebut ada yang digunakan bijinya, kulitnya dan akarnya untuk tujuan mengubati pelbagai penyakit. Pemilihan flora dalam perubatan Melayu dikatakan perlu memenuhi syarat-syarat tertentu kerana kandungannya dikatakan mempunyai khasiat yang tersembunyi untuk menyembuhkan penyakit (Ab. Razak Ab. Karim, 2006: xv).

Bawang merah umpamanya digunakan sebagai ubat untuk merawat luka terkena api dan bawang putih digunakan untuk merawat penyakit angin. Dalam proses pngubatan tersebut bahan-bahan tadi perlu dicampurkan dengan bahan lain bagi memperolehi kemujarabannya. Hal tersebut dinyatakan seperti berikut:

(Faedah) ini suatu faedah bagi pedih sakit kena api engkau tumbukkan bawang merah yang mentah dan engkau perahkan airnya dan engkau tumbuk garam halus-halus dan engkau campur dengan itu air bawang dan engkau campur pula dengan telur putih elok-elok hingga jadilah ia seperti minyak lenga dan engkau jadikan dia di dalam perca-perca kain kulit kayu yang putih yang lama kemudian daripada engkau tambah kebekas sabun baru dan engkau hantarkan dengan itu perca di atas tempat terbagi itu maka bahawasanya jadilah sejuk sakitnya dan ringanlah dan jadi kuping dan hilang dengan segera dengan izin Allah Taala … (hal 27).

(Bermula ubat angin dan lainnya iaitu ambil beras sekira-kira habis orang seorang makan maka masak seperti mana adat memasak nasi gulai jua maka adalah rempahinya itu bawang putih sahaja tetapi sama banyaknya dengan beras itu jua dan ayamnya seekor sekira habis seorang memakan dia maka makannya demikianlah beratnya maka perbuatlah seperti mana memasakkan nasi gulai setelah sudah maka makanlah hingga habis semuanya sama sekali inilah adat daripada jika nabawi (hal. 48).

Selain itu, Mujarabat Melayu juga turut menyatakan fungsi roman padi yang digunakan untuk merawat serira perempuan jika dicampurkan dengan kulit jambu hutan bersama kulit, pucuk dan akar anggur. Duduk pula digunakan untuk merawat sakit kencing dan cekur yang dicampur madu digunakan untuk mengatasi masalah gemuk. Hal tersebut dinyatakan seperti berikut:

(Bermula khasiat roman padi) kulit jambu hutan dan kulit anggur dan pucuknya dan akarnya dan digiling lumat-lumat maka bubuh air madu maka minum tiga pagi InsyaAllah membaikkan serira perempuan Mujarabat (hal.53)

(Khasiat duduk yang terpenting) maka bakar ambil arangnya digiling lumat-lumat kemudian ditaruh gula pasir sedikit maka diminumnya tiga pagi oleh orang yang sakit kencing afiat InsyaAlah (hal 54).

(Dan ) barang siapa sangat gemuk maka dimakannya dengan air madu dan cekur nescaya kurus ia ah mujarab (hal.51).

Selain flora, fauna juga turut digunakan sebagai ramuan untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Namun begitu penggunaannya terbatas kepada bahagian-bahagian tertentu yang terdapat pada tubuh sesuatu binatang. Teks tersebut turut menyatakan khasiat haiwan seperti tarwilu cina atau arnab, buaya, kambing dan rusa. Misalnya bulu arnab boleh digunakan untuk merawat luka dan hempedu arnab jika diminum bersama madu dan dadih tawar boleh menghamilkan wanita. Teks tersebut turut menyatakan mata buaya dapat mengubati penyakit mata dan hati buaya dikatakan dapat mengubati penyakit gila. Dalam teks Mujarobat Melayu, penggunaan fauna sebagai ramuan perubatan adalah seperti berikut:

(Bermula khasiat tarwilu cina) yakni arnab bermula bulunya menahankan darah jika dibakar ditaruh atas lukanya maka tiadalah keluar darahnya (dan) hempedunya jika diminum oleh perempuan dengan air madu dan kepada dadih yang tawar sah nescaya buntinglah ia (dan) darahnya (dan) isi perutnya dibubuhnya pada tubuh hampir hentikan segala penyakit yang sudah lama, disapukan pada sekelian tubuhnya dan badannya (dan manakala) dimasakkan tiada terbuang jua suatu daripada mujarab nescaya menghancurkan batu-batu karang (dan jika) dimakan satu berat tiap-tiap hari hingga tujuh hari menahankan uban rambut kita mujarab hendaklah dimakan dengan air susu berat dua-dua rial (dan lagi abu) tulangnya menghancurkan lendir diminum atau dicampurkan dengan air maka sapukan (dan) air sah kencingnya apabila dititikkan di dalam mata menerangkan mata daripada melihat memandangan (dan) matanya apabila dipagi memberi hebat atas yang memakai dia (hal 50).

(Bab ini fasal pada menyatakan ubat-ubat yakni khasiat badan buaya) mula-mula disebut akan khasiat matanya jika sakit mata kita kanan maka ambil mata kanan buaya maka dibubuhkan ubat mata kita jika sakit mata kiri maka dibubuh pada mata kiri dan sebagai lagi kaifiat buaya jua akan ubat tuli telinga dan sebagai lagi nahatnya (tahinya) buaya juga akan ubat mata putih sekalipun mata itu inilah ubatnya InsyaAllah Taala mujarab … (Dan sebagai lagi) khasiat hati buaya akan ubat orang sakit gila maka ditunun[2] pada api hati itu maka diasapkan pada orang yang sakit itu tiga hari berturut-turut InsyaAllah mujarab (hal.60-61).

Dalam Mujarabat Melayu juga turut disebut tentang tanduk rusa dan tanduk kambing yang dikatakan berkhasiat untuk mengubati demam dan sakit kepala. Hal tersebut dinyatakan seperti berikut:

(Ini fasal pada menyatakan khasiat) daripada kambing iaitu tanduknya jika sakit demam maka diambil janggutnya tiga helai maka ikatkan pada sapad (ﺴﺎﻔﺩ) bahawa kita atau sakit kepala atau sakit muntah-muntah dan sebagai lagi ubat demam jua maka ambil hujung limpa kambing dikerat oleh orang yang sakit salah demam itu tetapi syaratnya digantung dalam rumah biarlah kering InsyaAllah Taala mujarab … (hal.61)

(Dan demikian lagi) faedah tanduk rusa kan ubat demam jua dan sakit kepala maka ditunun tanduk itu maka ambil abunya dicampur di dalam sayur ada campur dengan air maka diminumlah oleh orang yang sakit dan yang sakit kepala serap dalam hidungan, khasiat tanduk rusa maka ditunun kedua-duanya maka ambil abunya maka dicampur dengan cuka maka dibubuh akan orang yang sakit sopak atau susut atau kedi tetapi syaratnya berduduklah dalam hari InsyaAllah Taala mujarab (hal. 61).

Makna Tersirat

Teks-teks perubatan Melayu misalnya merakamkan pelbagai simbol dan makna tersirat. Makalah ini akan mengemukakan contoh-contoh makna tersirat yang melambangkan kecerdasan minda Melayu. Bayangkan bagaimana masyarakat Melayu dahulu dapat menggunakan huruf-huruf dan angka bertulisan Jawi sebagai agen yang dapat membantu memulihkan penyakit. Hal ini dapat dilihat menerusi wafak yang terdapat dalam teks Mujarabat Melayu. Wafak menurut Kamus Dewan (2000:1541) edisi ketiga bermaksud waktu yang pasti (berlakunya sesuatu), setuju dengan, menurut. Abdul Razak Ab. Karim pula menyebut ia sebagai wifiq iaitu sandi Arab (simbol) yang berupa angka, huruf dan kalam Arab (biasanya ayat-ayat al-Quran) yang digunakan untuk tujuan tertentu (Ab. Razak Ab. Karim, 2000: 1). Di dalam teks Mujarabat yang dikaji, wafak merujuk kepada rajah-rajah yang mengandungi nombor-nombor dan huruf-huruf dalam tulisan Jawi.

Wafak di atas digunakan untuk menang dalam perang dan menghilangkan dukacita (Mujarabat Melayu, 17). Huruf-huruf di atas jika disambungkan menjadi ﻛﻬﻴﻌﺺ (kaf, ha, ya, ain, sod). Setiap huruf mengandungi maksud seperti:

Huruf Perkataan Arab Maksud
kaf () Kafi (ﻛﺎﻔﻲ) Yang Mencukupkan
ha (ﻫ) Hadi (ﻫﺎﺪﻱ) Penuntun iaitu Dia memimpin hamba-hamba menuju kejayaan serta mengarahkan berbakti kepada manusia
ya (ﻱ) Bari (ﺑﺎﺮﻱ) Penjadi iaitu Dia menjadikan segalanya sempurna
ain (ﻉ) Alim (ﻋﻠﻴﻢ) Yang Maha Mengetahui iaitu Dia mengetahui segala-galanya
sod (ﺺ) Sidik (ﺼﺎﺪﻖ) Kebenaran
Berdasarkan contoh di atas didapati simbol huruf Jawi yang digunakan dalam wafak tersebut mempunyai maksud tersirat. Ianya berkait dengan nama-nama Allah yang di dalamnya terkandung sifat Allah. Melalui huruf-huruf dalam wafak tersebut diharapkan seseorang akan menang di dalam peperangan dan menghapuskan rasa dukacitanya.
Selain itu terdapat wafak empat ruang yang digunakan untuk menjinak-jinakkan lelaki dan perempuan yang suka berkelahi. Bagi tujuan tersebut wafak ini perlu ditulis pada hari Khamis dan di sekelilingnya ditulis dengan ayat dari Al-Quran iaitu (ﻴﺤﺒﻮﻫﻢﻛﺤﺐﺍﷲﻮﺍﻠﺫﻴﻦﺍﻤﻧﻮﺍﺍﺷﺪﺤﺒﺎﷲﻠﻮﺍﻧﻔﻗﺖﻤﺎﻔﻰﺍﻻﺮﺾﺠﻤﻴﻌﺎﻤﺎﺍﻠﻔﺖﺒﻴﻥﻗﻠﻮﺒﻬﻢﻮﻻﻛﻦﺍﷲﺍﻠﻔﺖﺒﻴﻨﻬﻢ) dan diberi minum kepada suami isteri tersebut pada hari Jumaat.[3]

Jika dirujuk kepada bidang perubatan tradisional, wafak tersebut memperlihatkan angka-angka seperti satu, dua, tiga, tujuh, lapan dan sembilan. Angka tersebut memainkan peranan yang penting dan mengandungi maksud yang tersirat. Haron Daud dalam bukunya Mantera Melayu analisis pemikiran (2001) menyatakan angka-angka mempunyai maksud seperti berikut:

• Angka 1/tunggal simbol kekeramatan dan keunggulan
• Angka 4 merujuk kepada bilangan dan kedudukan (malaikat – Jibrail, Mikail, Israfil dan Izrail, sahabat nabi – Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali, unsur alam – tanah, air, api dan angin, arah Mata angin – utara, selatan, timur dan barat). Angka 4 ialah angka jitu, tidak boleh dipisahkan dan lengkap melengkapi
• Angka 5 melambangkan keunggulan Hang Tuah 5 bersaudara, Pendawa Lima – Darmawangsa, Bima, Arjuna, Sakula dan Sadewa, Kedatangan Islam lima sahabat – Nabi dan sahabat, Rukun Islam, Solat lima waktu,
• Angka 7 boleh disifatkan sebagai keramat, simbol kekuatan, kebesaran dan keluarbiasaan sesuatu yang berkaitan dengan penyebutan berkenaan. Contohnya:
a. “bintang tujuh di mataku” – kecantikan sinaran dan kerlipan mata
b. “tujuh petala langit, tujuh petala bumi” – keluasan kuasa yang menjangkau tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi
c. “basuh anggota tujuh” – kepala, hidung, mulut, telinga, mata, kaki dan tangan
d. “Bidan tujuh” – Siti Hawa, Siti Fatimah, Siti Selamah, Siti Zarah, Siti Aminah, Siti Esah, Siti Hudoh, Siti Khalijah

Kesimpulan

Penjagaan kesihatan dan rawatan penyakit merupakan falsafah yang diakui oleh pengamal perubatan Melayu. Peranan pengamal perubatan ialah untuk memelihara kesihatan semasa seseorang masih sihat dan untuk memulihkan keadaaan sekiranya mengalami keuzuran. Dalam masyarakat Melayu khususnya, mereka telah mempunyai pakar-pakar perubatan tradisional yang terdiri daripada bomoh, pawang, dukun, tabib, bidan, dan tukang urut. Pakar-pakar perubatan yang mempunyai kemahiran tertentu ini sedia berkhidmat kepada masyarakat melalui ilmu yang mereka perolehi sama ada melalui warisan pusaka, menuntut ilmu, mimpi atau beberapa cara yang lain. Masyarakat Melayu juga percaya bahawa tubuh badan manusia mempunyai keseimbangan antara elemen air, angin, darah dan lendir. Gangguan terhadap elemen-elemen ini dikatakan membawa kepada gejala tidak sihat dan perlu disembuhkan.

Sejajar dengan hal itu, ilmu perubatan tradisional sebenarnya mencerminkan kecerdasan minda masyarakat Melayu yang terakam secara indah dan halus dalam teks-teks bertulisan Jawi. Ia melambangkan intelektualisme masyarakat Melayu, lambang budaya, kesatuan antara manusia, alam dan pencipta dan penuh dengan makna tersirat. Ilmu ini merupakan warisan yang perlu dipelihara dan menjadi sumber pengetahuan untuk generasi akan datang.


Rujukan

99 nama Allah. 1998. Kuala Lumpur: Far Publishing.

Ab. Razak Ab. Karim. 2000. ‘Kitab Tib Pontianak: Jenis-jenis penyakit dan bahan-bahan yang digunakan untuk perubatan ‘dlm. Filologi Melayu. Jilid 10. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.

Ab.Razak Ab Karim. 2006. Analisis bahasa dalam Kitab Tib Pontianak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rauf Dato’ Haji Hassan, Abdul Halim Saleh dan Khairul Amin Mohd. 2004. Kamus bahasa Melayu-bahasa Arab, bahasa Arab-bahasa Melayu. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.

Amran Kasimin dan Zulkarnain Zakaria. 1994. Histeria: pencegahan dan rawatan. Kuala Lumpur: Dinie Publisher.

Amran Kasimin. 1991. Darussyifa bangunan persatuan kebajikan dan pengubatan Islam Bandar Baru Bangi Selangor Darul Ehsan. Kuala Lumpur: Percetakan Watan Sdn. Bhd..

Amran Kasimin. 2006. Unsur-unsur menurun dalam persembahan teater Melayu teater tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anwar Ridhwan. 2005. Minda Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ensiklopedi Nasional Indonesia. 1989. Jilid 7. Jakarta: PT Cipta Adi Pustaka.

Haliza Mohd Riji. 2000. Prinsip dan amalan dalam perubatan Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Hanapi Dollah. 2005. Pengiraan dalam kehidupan seharian dlm. Rogayah A. Hamid dan Mariam Salim. Kepustakaan ilmu tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haron Daud. Mentera Melayu analisis pemikiran. 2001. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

Hartini Mohd Nawi. 2006. 4 peranan bomoh Melayu dlm. Harian Metro. 14 Mac.

Harun Mat Piah drr. 2006. Kesusasteraan Melayu tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hasan Hamzah. Kamus Ensiklopedia. 1997. Jilid 1. Shah Alam: Anzagain Sdn. Bhd..

Jahid Sidek. 2004. Berpawang dan bersahabat dengan jin daripada perspektif Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd..

Mohd. Ali Abu Bakar.1988. Konsep keilmuan menurut Islam. Kelantan: Pustaka Aman Press.

Mujarobat Melayu. 1882. Pulau Pinang: Percetakan al-Muarif.

Nik Azis Nik Pa. 1999. Potenis intelek. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noriah Mohamed. 1993. Jayengbaya memahami pemikiran Jawa. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nurhalim Haji Ibrahim. 1997. Perubatan tradisional. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd..

Soesilo. 2000. Sekilas tentang ajaran kejawen sebagai pedoman hidup. Surabaya: CV Medayu Agung.

Suwardi Endraswara. 2003. Mistik kejawen sinkritisme, simbolisme, dan sufisme dalam budaya spiritual Jawa. Jogjakarta: Penerbit Narasi.

Syeikh Mohd. Idris Abdul Rauf al-Marbawi. 1990. Kamus Idris al-Marbawi. Kuala Lumpur: Penerbit Zulfakar.

Nota Hujung

[1] Temubual yang dijalankan dengan Haji Abon bin Haji Abdul Samad di Kampung Batu 5, Jalan Bangi pada 11.03.2006. Beliau berusia 66 tahun dan mengamalkan ilmu perdukunan lebih kurang 46 tahun.
[2] Dalam sastera lama ada istilah yang disebut tunu yang bermakna dimakan api, terbakar (Kamus Dewan, 2000: 1496).
[3] Hari Jumaat bermaksud hari mereka berkelahi. Tidak dinyatakan sama ada wafak ini perlu ditulis di atas kertas, di atas pinggan putih atau di atas perca. Apa yang dinyatakan hanyalah “menghembuslah ia” lalu diberi minum kepada lelaki dan perempuan. Lihat Mujarobat Melayu, hal. 16.