Khamis, November 05, 2009

Pantang Larang Kapur Sirih

Oleh: Nurul Farina Nazlan

Masyarakat Melayu, India dan suku Sarawak manfaat cara berbeza

KAPUR sirih memang banyak kegunaannya sama ada dalam pembuatan kuih-muih tradisional, ketika bersalin, memakan sirih atau berubat dalam masyarakat Melayu, tetapi suatu yang jarang diketahui ramai bahawa ada pantang larang penggunaannya dalam masyarakat India dan suku di Sarawak.
Pengalaman penulis ketika berkunjung ke sebuah kedai milik bangsa India pada satu senja kerana ingin membeli kapur memberi pengalaman baru apabila pemilik kedai enggan menjual kapur dengan alasan sudah kehabisan stok, meskipun sebenarnya ia dapat dilihat masih ada.

Seakan-akan tidak percaya dengan jawapan itu dan selepas melihat reaksi pelik penulis, pemilik kedai terbabit menerangkan dalam masyarakat India, ada pantang larang bahawa mereka tidak dibenarkan menjual kapur pada waktu senja kecuali pembeli mengambil sendiri tanpa bertanya kepada penjual dan terus membayarnya.

Pemilik kedai itu memberitahu penulis, sekiranya dia menjual kapur berkenaan, ia mungkin akan menimbulkan perbalahan antara kami berdua pada suatu masalah kelak kerana dalam masyarakat India kapur dianggap barang keperluan yang panas.

Selain daripada pantang larang terbabit, penulis diberitahu, masyarakat India juga berpegang kepada kepercayaan bahawa amalan memakan sirih yang dilengkapkan dengan pinang dan kapur oleh wanita dalam tempoh berpantang dapat menambah zat kalsium dalam tubuh mereka.

Pensyarah Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya (UM), Prof Dr M Rajantheran, berkata sebenarnya kebanyakan kepercayaan dan pantang larang masyarakat India terhadap penggunaan kapur sirih semakin terhakis ekoran peralihan zaman dan kepercayaan yang menipis di kalangan generasi muda.

“Memang pada zaman dulu, masyarakat mengaitkan banyak benda untuk dijadikan pantang larang bagi mengelakkan berlakunya sesuatu perkara buruk. Sebagai contoh, kita dilarang memotong kuku pada waktu malam dengan alasan akan muncul lembaga jika tidak dipatuhi,” katanya pada pertemuan dengan Sastera di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pantang larang berkenaan diguna pakai masyarakat zaman dulu kerana ketiadaan bekalan elektrik akan menjejaskan penglihatan pemotong kuku pada waktu malam dan memungkinkan berlakunya kecederaan kepada pelaku dan kuku yang bertaburan di lantai menyebabkan ketidakselesaan pada orang lain.

Bagi Prof M Rajantheran, mereka yang masih percaya kepada pantang larang berhubung kapur sirih adalah dalam kelompok masyarakat konservatif yang masih berpegang teguh terhadap amalan dan kepercayaan lama meskipun sudah berada pada alaf ketiga.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yusmilayati Yunos pula, berkata dalam masyarakat Melayu tidak ada istilah pantang larang yang kuat membabitkan penggunaan kapur sirih.

“Dalam masyarakat Melayu pantang larang ini kurang berbanding Jawa yang sering mencalitkan kapur di bahagian telinga kanak-kanak, pada upacara kematian bagi mengelakkan si anak daripada terkejut atau terkena sampuk dengan makhluk halus,” katanya.

Yusmilayati mendedahkan, kajian pelajarnya berhubung amalan pantang larang membabitkan kapur sirih di Sarawak mendapati bahawa kapur yang dibalut dengan daun sirih dan pinang diletakkan bersebelahan sebatang paku dalam upacara perkahwinan.

Semua barang berkenaan akan dibuang ke dalam sungai kerana dipercayai boleh membuang sial, mengelakkan pasangan pengantin daripada terkena bala dan demi menjaga keselamatan pasangan pengantin dan bagi memastikan majlis perkahwinan terbabit berjalan lancar.

“Amalan itu masih menjadi tradisi masyarakat di Sarawak hingga ke hari ini . Malah, ia juga digunakan bagi menaikkan seri wajah dalam perubatan di sana dan dipanggil ‘menconteng’ iaitu bagi mengelak gangguan makhluk halus dengan mencalit kapur di atas kunyit hidup,” jelasnya.

Yusmila berkata, kebanyakan bomoh dan pawang menggunakan mantera tertentu bagi tujuan menyembuhkan penyakit terutama yang berkaitan dengan makhluk halus dan menasihatkan masyarakat agar meneliti sama ada ia bertentangan atau tidak dengan hukum Islam.

Bismi’llahi’l -Rahmani’l-Rahim
Nun di atas na pinangku
Nun di atas du sirihku
Kumbang menari-nari padaku
Semut mengiring-ngiring dibibirku
Seri naik ke dahiku
Cahaya naik ke wajahku
Seri ku sik hilang
Cahaya ku sik berubah
Berkat aku makei doa la ilaha illa’llah
Muhammadar Rasulullah.


Justeru, amalan dan pantang larang berkenaan kapur sirih sebenarnya tidak menjadi satu kesalahan jika diamalkan, tetapi ia perlu dielakkan jika membawa kepada amalan khurafat dan syirik khususnya kepada masyarakat Islam yang berimankan kepada Allah dan nabi Muhammad saw.

(Lihat Berita Harian, 5 November 2009, ruangan Sastera)

**Kajian berkenaan kapur sirih ini dijalankan oleh Norlydiawati Saji