Jumaat, November 28, 2008

MUJAROBAT RAHSIA HEBAT

Mujarab, mustajab, manjur dan ampuh
Untaian aneh wanita dan pria
Jiwa resah setiap waktu
Azimat bagi orang yang leka
Rahsia lengkap kehidupan semua
Orang pasti menggunakannya
Bomoh, pawang, dukun yang ada
Alamat petanda semesta yang kuasa
Tangkal pewaris dahulu kala

Mulai hidup rukun utama
Ungkapan indah bernafas selesa
Jampi mentera penawar derita
Angka penyembuh wafak yang ada
Ramal pengasih boleh dicuba
Oleh leluhur moyang tercinta
Burung perkutut penawar duka
Ayam hitam simbol utama
Teluh tenung merajai manusia

Madu lebah penguat tenaga
Untuk pemakai berasa lega
Jahe pula penawar selira
Alam flora dan fauna diguna
Resepi mujarab rahsia nan hebat
Oleh itu telitilah keistimewaannya
Berilmu dan amal jalan bahagia

Alamat hidup insan yang tenang
Terakam isinya bagi yang menang...

(2007)

MATAESSO vs ULENG

Mataesso….
Bersinar cerah dan membara saban hari
Menyinari bumi indah
Sarat dengan pelbagai khazanah
Menerjah ke pelosok sunyi dan sepi
Menggeletek insan-insan seni
Mengejutkan hati-hati berdiri
Agar meneruskan kehidupan ini

Uleng….
Bercahaya pada malam nan sunyi
Menonjolkan diri pada dunia fana
Namun semakin pudar dan hilang serinya
Tika musim tiba
Lalu kelamlah ia seketika
Mengurung diri sendiri
Sehingga waktu dirimu muncul kembali

Mataesso…..
Lambang lelaki sejati
Tegap, gagah berani
Mempertahankan uleng yang suci
Melindungi uleng agar tidak dikasari
Merindukan uleng tanpa berhenti

Uleng…
Lambang wanita manis berseri
Umpama bidadari dari syurga
Senyum mesra penawar duka
Dengan harapan mataesso menghampiri
Cerah pada waktu gemilang
Resah pabila kelam menjelma

Mataesso dan uleng
Lambang cinta dan kasih
Simbol penyatuan dua jiwa
Dalam kamar syahdu

Telitilah Assikalaibineng
Kerana di situ kau temui rahsia
Rahsia menakjubkan mataesso dan uleng.
(12/12/2006 -UKM)

MANUSIA

Manusia itu roh dan jasad
Manusia itu adalah tulang temulang
yang bercantum membentuk rangka
yang diselaputi daging-daging
lemak-lemak
dan dilindungi kulit...
urat-urat yang berselirat
kecantikan yang sementara
bila lerai yang tinggal hanya tulang temulang.
(22/12/2006 – UKM)

MATAHARI

Matahari…
Terbit di timur
Jatuh di dibarat
Lengkap sehari

Matahari...
Kembangnya subur
Bersinar cerah
Hilangkan kabur

Matahari…
Hatiku resah
Tidak terhibur
Jiwa gelisah

Matahari…
Warnanya kuning
Penyeri pagi
Suci dan bening

Matahari…
Berdiri megah
Membelah bumi
Begitu gagah

Matahari…
Suatu yang indah
Ke mana pergi
Tidak berubah

Matahari…
Pengubat sepi
Menghibur hati
Lara dan sunyi

Matahari…
Adalah mata
Pelengkap hari
Penanda masa

Matahari…
Terbit di barat
Jatuh di timur
Alamat kiamat.
(31/10/2007)

MUJARABAT MELAYU: PENYEMBUH PENYAKIT DAN KESEJAHTERAAN DIRI

Abstrak

Kepustakaan Melayu tradisi amat kaya dengan pelbagai ilmu pengetahuan meliputi bidang agama, sejarah, budaya, sastera dan sebagainya. Antara bidang yang menarik perhatian ramai ialah ilmu yang berkaitan dengan perubatan tradisional Melayu. Kajian terhadap bidang ini tidak banyak dilakukan akibat perubahan tradisi yang menganggap perubatan tradisional ketinggalan zaman dan tidak releven pada masa kini. Umumnya perubatan tradisional menyumbangkan pelbagai ilmu dan manfaat kepada masyarakat tetapi sumber-sumbernya sukar diperolehi untuk digunakan sebagai rujukan ilmiah. Ilmu-ilmu tersebut didapati dalam bentuk manuskrip atau naskah bertulisan Jawi. Antara naskah-naskah popular yang berkaitan dengan ilmu perubatan Melayu seperti Kitab Tib, Tajul Muluk dan Mujarabat. Mujarabat merupakan sebuah kitab atau naskah perubatan tradisional yang digunakan sebagai salah satu cara untuk menyembuhkan penyakit. Fungsi Mujarabat bukan setakat itu sahaja, tetapi terdapat fungsi-fungsi istimewa lain yang mencakupi kehidupan manusia seperti mengeratkan kasih sayang, dan menambahkan rezeki. Secara tidak langsung naskah perubatan tradisional ini menjadi sebahagian daripada sumber rujukan perubatan alternatif dan warisan perubatan etnik Melayu yang perlu dihargai oleh generasi akan datang.

Pengenalan

Manuskrip Melayu merupakan salah satu warisan zaman silam yang mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan yang menarik untuk dikaji. Ia merupakan tulisan tangan yang dihasilkan seawal-awalnya dalam lingkungan abad ke-16 atau akhir abad ke-19. Kelahiran dan juga perkembangan manuskrip Melayu berkait rapat dengan perkembangan Islam di Kepulauan Melayu. Keadaan ini berlaku kerana masyarakat Melayu telah menggunakan tulisan jawi sebagai medium untuk menyalurkan segala yang berlaku atau cetusan idea masyarakat zaman lampau.[1] Sebahagian kitab-kitab berbahasa Arab diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu supaya dapat dibaca dan dimanfaatkan ilmu pengetahuan yang terkandung di dalamnya. Kitab-kitab tersebut mengandungi pelbagai cabang ilmu merangkumi aspek agama, budaya, sejarah dan sebagainya. Pada peringkat awal, istana berfungsi sebagai pusat perkembangan ilmu pengetahuan, pusat penyalinan naskhah-naskhah manuskrip dan pusat karang mengarang. Dalam tempoh lebih kurang 400 tahun dahulu, beribu-ribu naskhah manuskrip telah dihasilkan oleh orang-orang Melayu.

Secara umumnya masyarakat tidak berminat membaca naskhah kuno, lebih-lebih lagi generasi muda. Hal ini dapat dimaklumi kerana tidak semua pembaca dapat memahami bahasa dan aksara yang digunakan dalam naskhah-naskhah tersebut. Selain bahasa dan aksaranya susah dibaca, huruf-hurufnya juga tidak ditandai[2], kekunoan bahannya sering menjadi masalah dalam penelitian yang dilakukan.

Selain cerita atau kisah yang berbentuk roman atau sejarah, dalam kepustakaan Melayu tradisi terdapat kitab yang berkait rapat dengan ilmu perubatan. Kitab atau naskah yang mengandungi ilmu perubatan Melayu masih belum mencapai perhatian para sarjana pengajian Melayu. Hal ini terjadi mungkin disebabkan oleh perubahan tradisi yang dianggap ketinggalan zaman dan tidak releven pada masa sekarang kerana terdapat sistem perubatan sezaman yang berlandaskan sains dan teknologi serta didukung oleh prasarana yang lengkap, seperti hospital, klinik, doktor, jururawat, dan makmal.[3] Antara naskah-naskah popular yang berkaitan dengan ilmu perubatan seperti Kitab Tib[4], Tajul Muluk dan Mujarabat.

Mujarabat Melayu

Kitab Mujarabat Melayu yang digunakan dalam penelitian ini merupakan karya terjemahan oleh alim ulama as-solihin dan mempunyai ketebalan 96 halaman. Dalam kitab ini menyatakan perihal mengubatkan badan lelaki dan perempuan dengan menggunakan asma-ul-husna, hadis nabawiyah dan ayat-ayat al-Quran. Turut terhimpun di dalamnya berbagai-bagai wafak dan azimat. Kitab ini selesai ditulis pada hari Jumaat, 17 Syawal 1300 hijrah.

Konsep Mujarabat

Mujarabat merupakan sebuah kitab perubatan tradisional yang digunakan sebagai salah satu cara untuk menyembuhkan penyakit. Jika ditelusuri makna Mujarabat, ia berasal daripada kata Arab jarraba (ﺠﺮﺐ) yang bermaksud mencuba; menguji.[5] Seterusnya istilah ini berkait rapat dengan perkataan mujarab yang bermaksud dapat menyembuhkan (penyakit dan sebagainya), mustajab dan serasi (ubat dan lain-lain).[6] Dalam Kamus umum bahasa Indonesia, mujarab bermaksud manjur atau mustajab.[7] Istilah manjur pula mempunyai tiga maksud. Pertama ia bermaksud dapat menyembuhkan (tentang ubat), mustajab dan mujarab. Kedua, benar-benar besar dayanya (tentang doa, mantera) dan ketiga bermaksud benar-benar dapat lekas mematikan (tentang racun, bisa).[8] Selain itu, kata mustajab juga berasal dari istilah Arab yang mempunyai dua maksud iaitu dapat menyembuhkan (ubat) dan berjawab atau dikabulkan (doa, permintaan).[9] Sementara mustajab menurut Kamus Indonesia Inggeris pula memberi maksud “effective”[10] iaitu berkesan.[11] Berdasarkan kepada makna yang tersebut di atas, bolehlah dikatakan kitab Mujarabat Melayu yang dikaji ini merupakan sebuah kitab yang mengandungi doa-doa, permintaan dan ubat-ubat bagi menyembuhkan pelbagai penyakit.

Mujarabat Melayu Sebagai Penyembuh Penyakit dan Kesejahteraan Diri

Penyakit membawa pengertian kesakitan dan penderitaan.[12] Ia dapat dilihat sebagai kelainan dari kebiasaan, dan kelainan ini mengakibatkan beberapa hal seperti gangguan, kecacatan, kerosakan dan kelemahan yang melibatkan tubuh kasar (luar dan dalam) manusia.[13] Penyakit yang menimbulkan kesakitan ini menyebabkan ketidakselesaan dalam menjalani kegiatan seharian dan mengundang rasa kurang sihat dalam diri manusia.

Pandangan Islam terhadap penyakit pula agak berbeza. Dalam al-Quran menyatakan bahawa mungkin apa yang disangka tidak baik oleh anda itu adalah sebenarnya baik bagi anda; dan apa yang baik pada sangkaan anda itu sebenarnya tidak baik bagi anda. Imam al-Ghazali, seorang sufi yang masyhur, pernah mentafsirkan idea tersebut seperti berikut:

Penyakit itu adalah satu daripada bentuk pengalaman yang dengannya manusia dapat sampai kepada Allah, kerana Allah berfirman bahawa penyakit itu hamba-Nya dan disertakan-Nya dengan orang-orang pilihan-Nya.[14]

Dalam Mujarabat Melayu penyembuh kesakitan tidak hanya tertumpu kepada bahan-bahan yang diperolehi daripada alam sekeliling tetapi ia juga turut menggunakan unsur-unsur lain seperti ayat al-Quran dan juga azimat.[15] Misalnya surah Yassin dinyatakan dapat mengubati segala penyakit. Selain itu, ia juga turut menyatakan ayat yang boleh digunakan untuk merawat seratus empat puluh penyakit seperti berikut:

(Dan ketahui) olehmu telah mencahaya oleh Allah Taala akan dikau dan kami dengan cahaya Quran bahawasanya aku surat banyak daripada hadis dan perkataan ulama daripada bicara kelebihan surat Yassin dan segala faedahnya dan rahsianya dan aku pandangkan segala perkara dengan sebab aku bacakan dia dan diisti’mal akan dia pada tanggung dan minum bagi menyembuhkan dari orang yang sakit dan tersebut di dalam hadis bermula barangsiapa mebacakan dia kemudian minumkan dia dimasukkan ke dalam rongganya seribu ubat dan seribu cahaya dan seribu berkat dan seribu rahmat daripada Allah s.w.t. dan mencabutlah ia daripadanya segala penyakit ... (hal 10)

(Bab ini pada menyatakan) ubat segala penyakit yang seratus empat puluh dalam dunia ini disurat pada mangkuk putih basah dengan air diberi minum tujuh kali berturut-turut atai tiga kali pagi-pagi ini rajahnya (hal. 96)

ﺑﺴﻡﺍﷲﺍﻠﺷﺎﻔﻰﺑﺴﻡﷲﺍﻠﻛﺎﻔﻰﺑﺴﻡﷲﺍﻠﻤﻌﺎﻔﻰﺑﺴﻡﷲﺍﻠﻨﻱﻻﻴﻀﺮﻤﻊﺍﺴﻤﮧﺸﺊﻔﻰﺍﻻﺮﺾﻮﻻ
ﻔﻰﺍﻠﺴﻤﺂﺀﻮﻫﻮﺍﻠﺴﻤﻴﻊﺍﻠﻌﻠﻴﻢ


Mujarabat Melayu juga menyatakan bagi merawat penyakit gatal dan kudis, kulit-kulit di laut boleh digunakan sebagai bahan asasnya.

(Faedah) ini suatu faedah bagi ubat biji-biji pada badan dan kudis yang besar, engkau ambilkan kulit-kulit yang di laut dan engkau tumbukkan dia baik-baik dan engkau taruh di dalam air lima negeri hingga jadi seperti cuka dan engkau basahkan butir di tubuh itu atau kudis besar itu hingga berdarah dan engkau cemarkan dia daripadanya maka bahawasanya sembuh segera insya Allah Taala dan bermula ini ubat bagi memberi faedah bagi sakit gatar banyak garu-garu dan kudis yang tiada berhenti-henti pula … (hal. 27).

Kesejahteraan merujuk kepada keselamatan, kesenangan (hidup), kesentosaaan dan ketenteraman.[16] Bagi menggalakkan kesejahteraan diri, setiap manusia perlu sentiasa bertolak ansur di antara satu sama lain. Misalnya untuk mengeratkan hubungan dalam sebuah rumahtangga, elemen kasih sayang amat penting. Justeru itu dalam Mujarabat Melayu turut menyelitkan azimat untuk pasangan suami isteri dan hikmat untuk melembutkan hati perempuan.

(Ini azimat) pekasih dua laki isteri itu, jika laki-laki benci akan isteri atau perempuan benci akan laki-laki berkelahi bantah dibacanya isim ini seribu kali maka dibaca pada air atau makanan beri dimakan atau minumnya nescaya dijadikan Allah muafakat ia, ini doaanya Ya Wadud (hal 75).

(Bab ini hikmat) melembutkan hati perempuan itu maka kita ambil nasi di tengah periuk sedikit melekit pecahkan pada tapak tangan dan kita ambil dengan telunjuk pada anak lidah kita tiga kali airnya maka kita mesrakan sama nasi-nasi yang dalam tangan kita itu maka kita suruh makan akan dia supaya tidak alah berjawab dengan kita berkat la ilahaillallah Muhammadur Rasullullah (hal 87).


Penggunaan Flora dan Fauna

Bagi masyarakat Melayu tradisional, bahan-bahan perubatan yang digunakan berkaitan dengan worldview dan persekitaran mereka. Tumbuh-tumbuhan dan binatang yang terdapat di persekitaran mereka sebahagiannya digunakan untuk tujuan perubatan. Masyarakat tradisional percaya bahawa sesetengah binatang dan juga tumbuh-tumbuhan mempunyai khasiat tertentu dan mampu serta berupaya menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu. Oleh itu flora dan fauna akan digunakan sebagai bahan-bahan perubatan dan dikatakan mempunyai khasiat menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Secara umum ‘bahagian-bahagian alam’ yang boleh dijadikan makanan lazimnya dapat dikategorikan kepada tiga iaitu:
1. Bahan-bahan yang diakui sebagai makanan dan boleh dimakan atau dijadikan sebagai sebahagian daripada hidangan biasa.
2. Bahan-bahan yang diakui boleh dijadikan makanan tetapi dilarang memakannya ataupun dibenarkan memakannya pada masa-masa atau keadaaan-keadaaan tertentu sahaja, misalnya sewaktu upacara khas dan seumpamanya.
3. Bahan-bahan yang dari segi budaya dan bahasa tidak langsung diakui sebagai makanan. Secara tidak sedar bahan-bahan itu ditabukan.[17]

Dari segi bahan perubatan, kitab Mujarabat Melayu memaparkan pelbagai nama dan khasiat flora yang terdapat di sekeliling kita untuk digunakan sebagai ramuan bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Flora yang digunakan untuk rawatan penyakit dipilih daripada pokok tertentu yang dikatakan mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Pemilihan flora bukan hanya daripada daun tetapi dari buahnya. Buah-buah tesebut ada yang digunakan bijinya, kulitnya dan akarnya untuk tujuan mengubati pelbagai penyakit. Pemilihan flora dalam perubatan Melayu dikatakan perlu memenuhi syarat-syarat tertentu kerana kandungannya dikatakan mempunyai khasiat yang tersembunyi untuk menyembuhkan penyakit.[18]

Dalam Mujarobat Melayu terdapat beberapa bahagian yang menyatakan khasiat yang diperolehi daripada alam flora seperti bawang merah, bawang putih, duduk atau senduduk dan juga cekur. Bawang merah umpamanya digunakan sebagai ubat untuk merawat luka terkena api dan bawang putih digunakan untuk merawat penyakit angin. Dalam proses pngubatan tersebut bahan-bahan tadi perlu dicampurkan dengan bahan lain bagi memperolehi kemujarabannya. Hal tersebut dinyatakan seperti berikut:

(Faedah) ini suatu faedah bagi pedih sakit kena api engkau tumbukkan bawang merah yang mentah dan engkau perahkan airnya dan engkau tumbuk garam halus-halus dan engkau campur dengan itu air bawang dan engkau campur pula dengan telur putih elok-elok hingga jadilah ia seperti minyak lenga dan engkau jadikan dia di dalam perca-perca kain kulit kayu yang putih yang lama kemudian daripada engkau tambah kebekas sabun baru dan engkau hantarkan dengan itu perca di atas tempat terbagi itu maka bahawasanya jadilah sejuk sakitnya dan ringanlah dan jadi kuping dan hilang dengan segera dengan izin Allah Taala … (hal 27).

(Bermula ubat angin dan lainnya iaitu ambil beras sekira-kira habis orang seorang makan maka masak seperti mana adat memasak nasi gulai jua maka adalah rempahinya itu bawang putih sahaja tetapi sama banyaknya dengan beras itu jua dan ayamnya seekor sekira habis seorang memakan dia maka makannya demikianlah beratnya maka perbuatlah seperti mana memasakkan nasi gulai setelah sudah maka makanlah hingga habis semuanya sama sekali inilah adat daripada jika nabawi (hal. 48).

Selain itu, Mujarabat Melayu juga turut menyatakan fungsi roman padi yang digunakan untuk merawat serira perempuan jika dicampurkan dengan kulit jambu hutan bersama kulit, pucuk dan akar anggur, Duduk pula digunakan untuk merawat sakit kencing dan cekut yang dicampur madu digunakan untuk mengatasi masalah gemuk. Hal tersebut dinyatakan seperti berikut:

(Bermula khasiat roman padi) kulit jambu hutan dan kulit anggur dan pucuknya dan akarnya dan digiling lumat-lumat maka bubuh air madu maka minum tiga pagi InsyaAllah membaikkan serira perempuan Mujarabat (hal.53)

(Khasiat duduk yang terpenting) maka bakar ambil arangnya digiling lumat-lumat kemudian ditaruh gula pasir sedikit maka diminumnya tiga pagi oleh orang yang sakit kencing afiat InsyaAlah (hal 54).

(Dan ) barang siapa sangat gemuk maka dimakannya dengan air madu dan cekur nescaya kurus ia ah mujarab (hal.51).

Selain flora, fauna juga turut digunakan sebagai ramuan untuk merawat pelbagai jenis penyakit. Namun begitu penggunaannya terbatas kepada bahagian-bahagian tertentu yang terdapat pada tubuh sesuatu binatang. Teks tersebut turut menyatakan khasiat haiwan seperti tarwilu cina atau arnab, buaya, kambing dan rusa. Misalnya bulu arnab boleh digunakan untuk merawat luka dan hempedu arnab jika diminum bersama madu dan dadih tawar boleh menghamilkan wanita. Kitab tersebut turut menyatakan mata buaya dapat mengubati penyakit mata dan hati buaya dikatakan dapat mengubati penyakit gila. Dalam kitab Mujarobat Melayu, penggunaan fauna sebagai ramuan perubatan adalah seperti berikut:

(Bermula khasiat tarwilu cina) yakni arnab bermula bulunya menahankan darah jika dibakar ditaruh atas lukanya maka tiadalah keluar darahnya (dan) hempedunya jika diminum oleh perempuan dengan air madu dan kepada dadih yang tawar sah nescaya buntinglah ia (dan) darahnya (dan) isi perutnya dibubuhnya pada tubuh hampir hentikan segala penyakit yang sudah lama, disapukan pada sekelian tubuhnya dan badannya (dan manakala) dimasakkan tiada terbuang jua suatu daripada mujarab nescaya menghancurkan batu-batu karang (dan jika) dimakan satu berat tiap-tiap hari hingga tujuh hari menahankan uban rambut kita mujarab hendaklah dimakan dengan air susu berat dua-dua rial (dan lagi abu) tulangnya menghancurkan lendir diminum atau dicampurkan dengan air maka sapukan (dan) air sah kencingnya apabila dititikkan di dalam mata menerangkan mata daripada melihat memandangan (dan) matanya apabila dipagi memberi hebat atas yang memakai dia (hal 50).

(Bab ini fasal pada menyatakan ubat-ubat yakni khasiat badan buaya) mula-mula disebut akan khasiat matanya jika sakit mata kita kanan maka ambil mata kanan buaya maka dibubuhkan ubat mata kita jika sakit mata kiri maka dibubuh pada mata kiri dan sebagai lagi kaifiat buaya jua akan ubat tuli telinga dan sebagai lagi nahatnya (tahinya) buaya juga akan ubat mata putih sekalipun mata itu inilah ubatnya InsyaAllah Taala mujarab … (Dan sebagai lagi) khasiat hati buaya akan ubat orang sakit gila maka ditunun[19] pada api hati itu maka diasapkan pada orang yang sakit itu tiga hari berturut-turut InsyaAllah mujarab (hal.60-61).

Dalam Mujarabat Melayu juga turut disebut tentang tanduk rusa dan tanduk kambing yang dikatakan berkhasiat untuk mengubati demam dan sakit kepala. Hal tersebut dinyatakan seperti berikut:

(Ini fasal pada menyatakan khasiat) daripada kambing iaitu tanduknya jika sakit demam maka diambil janggutnya tiga helai maka ikatkan pada sapad (ﺴﺎﻔﺩ) bahawa kita atau sakit kepala atau sakit muntah-muntah dan sebagai lagi ubat demam jua maka ambil hujung limpa kambing dikerat oleh orang yang sakit salah demam itu tetapi syaratnya digantung dalam rumah biarlah kering InsyaAllah Taala mujarab … (hal.61)

(Dan demikian lagi) faedah tanduk rusa kan ubat demam jua dan sakit kepala maka ditunun tanduk itu maka ambil abunya dicampur di dalam sayur ada campur dengan air maka diminumlah oleh orang yang sakit dan yang sakit kepala serap dalam hidungan, khasiat tanduk rusa maka ditunun kedua-duanya maka ambil abunya maka dicampur dengan cuka maka dibubuh akan orang yang sakit sopak atau susut atau kedi tetapi syaratnya berduduklah dalam hari InsyaAllah Taala mujarab (hal. 61).


Kesimpulan

Pada peringkat awal, kehadiran kitab perubatan tradisional hanya dinikmati oleh pengamal-pengamal perubatan tradisional. Mereka bertindak sebagai orang tengah dalam proses merawat penyakit yang dideritai oleh pesakit. Kitab perubatan tradisional semacam sumber rujukan utama yang akan digunakan oleh pengamal untuk mencari penawar bagi penyakit yang dihidapi oleh seseorang. Fungsinya begitu ketara pada zaman dahulu kerana ia menjadi sebahagian daripada hidup masyarakat Melayu sebelum munculnya sistem perubatan moden. Namun begitu dengan kajian yang lebih terperinci kitab tersebut khususnya Mujarabat Melayu dapat menyumbangkan ilmu perubatan tradisional kepada generasi akan datang. Kitab perubatan tradisional bukanlah warisan yang ketinggalan zaman tetapi ia boleh menjadi sumber perubataan alternatif bagi perubatan masa kini. Kitab tersebut juga mengandungi pelbagai khazanah dan ilmu yang perlu dipelihara supaya tidak hilang ditelan zaman.


Rujukan

Ab. Razak Ab. Karim. 2006. Analisis bahasa dalam Kitab Tib Pontianak. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ab. Razak Ab. Karim. 2002. “Kitab Tib (MSS 489): Kepelbagaian jenis penyakit dan bahan-bahan perubatan” dlm. Jurnal Filologi Melayu. Jilid 10. Kuala Lumpur: Perpustakaan Negara Malaysia.

Abd. Rauf Dato’ Haji Hassan, Abdul Halim Salleh dan Khairul Amin Mohd. Zain. 2005. Kamus bahasa Melayu – bahasa Arab, bahasa Arab – bahasa Melayu. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti.

Haliza Mohd. Riji. 2000. Prinsip dan amalan dalam perubatan Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Hashim Awang A.R. 1988. Perlakuan pemakanan dalam rangka teori perubatan masyarakat dan budaya Melayu dlm. Hashim Awang A.R. Fenomena. Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

John M.Echois dan Hassan Shadily. 1992. Kamus Indonesia – Inggeris. Jakarta: Penerbit PT Gramedia.

Kamus Dewan. 2000. Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mastini Hardjoprakoso, Sayangbati Dengah, Tuti Munawar, Jumsari Yusuf, Worowijati Rachmani Sanwani, Nindya Noegraha, Sri Sumekar, Fathmi, A.A Gole Alit Geria, Sarmiati Saragih, Komari Mardiono. 1992/1993. Seri obat-obatan tradisional dalam naskah kuno koleksi Perpustakan Nasional Republik Indonesia. Jakarta: Projek Pembinaan Perpustakaan Nasional Republik Indonesia.

Mohd Taib Osman. 2005. Kitab ubat-ubat Melayu dlm. Rogayah A. Hamid dan Mariam Salim (pngr.). Kepustakaan ilmu tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mujarabat Melayu. 1882. Terj. Pulau Pinang: Maktab wa Matbaah, Darul Muarif.

Sheikh Hakim Moinuddin Chishti. 2002. Kitab ilmu perubatan kesufian. Terj. Razali Md. Isa. Batu Caves: Thinkers Library Sdn. Bhd.

W.J.S. Poerwadarminta. 1976. Kamus umum bahasa Indonesia. Jakarta: PN Balai Pustaka

Zalila Sharif & Jamilah Hj. Ahmad. 1993. Kesusasteraan Melayu tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nota Hujung

[1] Ab. Razak Ab. Karim, “Kitab Tib (MSS 489): Kepelbagaian jenis penyakit dan bahan-bahan perubatan”, dlm. Jurnal Filologi Melayu, Jilid 10, Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur, 2002, hal.77.

[2] Mastini Hardjoprakoso, Sayangbati Dengah, Tuti Munawar, Jumsari Yusuf, Worowijati Rachmani Sanwani, Nindya Noegraha, Sri Sumekar, Fathmi, A.A Gole Alit Geria, Sarmiati Saragih, Komari Mardiono, Seri obat-obatan tradisional dalam naskah kuno koleksi Perpustakan Nasional Republik Indonesia, Projek Pembinaan Perpustakaan Nasional Republik Indonesia, Jakarta, 1992/1993, hal. 6.

[3] Mohd Taib Osman, Kitab Ubat-ubat Melayu dlm. Rogayah A. Hamid dan Mariam Salim (pngr.). Kepustakaan ilmu Tradisional, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2005, hal.1.

[4] Kitab Tib merupakan sebuah kitab atau manuskrip tentang ilmu perubatan Melayu secara tradisional. Ia merupakan amalan atau petua-petua yang dimiliki oleh seseorang itu sama ada sebagai bomoh atau sebagainya. Kita Tib menampilkan pelbagai rumusan ubat dan pelbagai jenis penyakit sama ada penyakit yang bersifat zahir atau pun yang bersifat batin. Bahan-bahan yang sering digunakan dalam perubatan tradisional ialah air, tumbuh-tumbuhan dan seringkali bahagian-bahagian tertentu yang bersesuaian digunakan untuk merawat sesuatu penyakit seperti penggunaan jampi, doa, tangkal atau azimat dan sebagainya dalam sesuatu perubatan yang dilakukan. Lihat Ab. Razak Ab. Karim, “Kitab Tib (MSS 489): Kepelbagaian jenis penyakit dan bahan-bahan perubatan”, dlm. Jurnal Filologi Melayu, hal.77.

[5] Abd. Rauf Dato’ Haji Hassan, Abdul Halim Salleh dan Khairul Amin Mohd. Zain, Kamus bahasa Melayu – bahasa Arab, bahasa Arab – bahasa Melayu, Penerbit Fajar Bakti, Shah Alam, 2005, hal. 66.

[6] Kamus Dewan, Edisi Ketiga, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2000, hal. 903.

[7] W.J.S. Poerwadarminta, Kamus umum bahasa Indonesia, PN Balai Pustaka, Jakarta, 1976, hal. 657.

[8] Ibid., hal. 632.

[9] Kamus Dewan, hal. 912.

[10] John M.Echois dan Hassan Shadily, Kamus Indonesia - Inggeris, Penerbit PT Gramedia, Jakarta, 1992, hal. 378.

[11] Kamus Dewan, hal. 326.

[12] Haliza Mohd. Riji, Prinsip dan amalan dalam perubatan Melayu, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2000, hal.87.

[13] Ibid., hal 86.

[14] Sheikh Hakim Moinuddin Chishti, Kitab ilmu perubatan kesufian, Terj. Rozali Md Isa, Thinker’s Library, Batu Caves, 1996, hal. 11.

[15] Azimat ialah bahan yang terdiri daripadatulisan yang ditulis pada kertas, kain, keratin kayu tertentu, atau sisik tenggiling yang dipakai pada bahagian tertentu tubuh (seperti di pinggang) yang dianggap mempunyai sakit dan boleh mengelakkan penyakit, bencana dan sebagainya. Kamus Dewan, hal 79.

[16] Ibid., hal.1208.

[17] Hashim Awang A.R., Perlakuan pemakanan dlam rangka teori perubatan masyarakat dan budaya Melayu dlm. Hashim Awang A.R., Fenomena, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1988, hal. 29.

[18] Ab.Razak Ab Karim, Analisis bahasa dalam Kitab Tib Pontianak, Dwan Bahasa dan Pustaka, 2006, hal.xv.

[19] Dalam sastera lama ada istilah yang disebut tunu yang bermakna dimakan api, terbakar. Kamus Dewan, hal.1496.

CAMPUR BAWUR SEBAGAI MEDIA PENDIDIKAN TERHADAP MASYARAKAT

Abstrak

Media merupakan salah satu alat komunikasi yang digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Melalui media pelbagai ilmu dan pengetahuan dapat diterima dan diaplikasikan. Dalam makalah ini media diertikan sebagai alat perantara pendidikan yang digunakan oleh pengarang untuk masyarakat. Pendidikan terhadap masyarakat khususnya anak-anak tidak semudah yang disangkakan. Ia meliputi empat aspek iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Pendidikan yang diberikan bertujuan supaya fizikal menjadi sihat dan kuat, mempunyai akal yang waras dan cerdas, mempunyai rohani yang luhur dan berbudi pekerti yang tinggi serta dapat menyesuaikan dirinya dengan masyarakat sekeliling. Keempat perkara tersebut hendaklah seimbang. Keseimbangan ini akhirnya akan menghasilkan suatu perubahan yang sihat dan berfaedah kepada anak-anak yang bakal menjadi orang dewasa. Aspek-aspek pendidikan tersebut melalui tempoh dan proses yang lama untuk sebati dalam diri mereka. Menurut Abdul Samad Ahmad dalam pendahuluan Cerita Selampit, orang Melayu percaya bahawa didikan kehalusan budi pekerti perlu diberi semenjak kecil iaitu seperti peribahasa, “masa rebunglah hendak dilentur, sudah jadi aur apa gunanya lagi”. Justeru itu peranan yang dimainkan oleh cerita dalam teks Campur Bawur (Campur Baur) adalah untuk mendidik masyarakat kerana melaluinya budi pekerti yang baik boleh dibentuk. Istilah Campur Baur yang digunakan dalam teks tersebut merujuk kepada cerita yang menjadikan manusia, tumbuhan dan binatang sebagai watak utamanya. Hal demikian dapat dilihat dalam cerita yang sering disulami dengan pelbagai tamsil, ibarat dan teladan yang baik.


Pengenalan

Teks Campur Bawur merupakan sebuah teks yang ditulis pada zaman kesusasteraan Jawa Baru dan diterbitkan oleh Balai Pustaka Weltevreden di Surakarta pada tahun 1921. Pengarang teks ini ialah Darmawiyatha. Isi kandungannya terdiri daripada 23 buah cerita pendek berkait dengan manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Suatu hal yang menarik tentang teks ini ialah pengarang mengakhiri setiap cerita dengan pengajaran. Justeru itu, penulisan teks ini tentunya bertujuan memberikan pendidikan kepada masyarakat pembacanya. Cerita-cerita disampaikan dengan menggunakan alegori yang halus supaya dapat menarik perhatian khalayak.

Media Pendidikan

Media berasal daripada kata medio yang bermaksud perantara. Dalam makalah ini media diertikan sebagai alat perantara pendidikan yang digunakan oleh pengarang untuk khalayak. Pendidikan meliputi empat aspek utama iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Keempat perkara tersebut perlu seimbang kerana ia akan menghasilkan suatu perubahan yang sihat dan berfaedah kepada khalayak khususnya anak-anak yang bakal menjadi orang dewasa.

Menurut Abdul Samad Ahmad dalam pendahuluan Cerita Selampit, orang Melayu percaya bahawa didikan kehalusan budi pekerti perlu diberi semenjak kecil sesuai dengan peribahasa, “masa rebunglah hendak dilentur, sudah jadi aur apa gunanya lagi”.[1] Justeru itu peranan yang dimainkan oleh cerita dalam teks Campur Bawur adalah untuk mendidik khalayak kerana melaluinya budi pekerti dapat dibentuk. Hal demikian dapat dilihat dalam cerita yang sering disulami dengan pelbagai tamsil, ibarat dan teladan yang baik.

Pendidikan Yang Diterapkan Dalam Teks Campur Bawur

Pada masa dahulu cerita-cerita binatang pernah digunakan untuk mengajar anak-anak raja, atau anak-anak pembesar di istana. Oleh kerana kesukaran untuk menyampaikan pengajaran itu secara terang, maka ia diberikan secara halus melalui cerita-cerita binatang yang bercorak simbolik. Tujuannya untuk memberi petunjuk dan nasihat kepada khalayak khususnya kanak-kanak dengan cara halus dan tidak langsung. Melalui penelitian yang dilakukan, terdapat beberapa fungsi cerita yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui teks ini. Antaranya ialah:

1. Kepentingan Persahabatan

Pembacaan cerita yang membawa unsur murni dapat menyemaikan sifat tersebut di dalam tingkah laku seharian. Cerita Jaran Kang Tuwa (Kuda Yang Tua, 1921:8) misalnya yang membawa tema persahabatan telah mengisahkan seekor kuda yang telah tua dan tidak lagi diperlukan oleh tuannya. Walau bagaimanapun jika kuda itu berjaya membawa balik seekor harimau ke hadapan tuannya, ia akan dibela tanpa melakukan sebarang pekerjaan. Sewaktu berada di dalam hutan kuda telah berjumpa dengan kawannya iaitu serigala. Serigala turut bersedih dan berjanji akan menolong kuda membawa balik seekor harimau. Melalui pertolongan serigalalah kuda berjaya membawa balik seekor harimau yang masih hidup ke hadapan tuannya. Sebagai seorang sahabat yang mulia, seseorang itu tidak akan membiarkan kawannya menghadapi kesusahan seorang diri dan ini selaras dengan ungkapan yang mengatakan “teman ketawa senang dicari, teman menangis seorang diri”. Dalam cerita ini kuda dibantu oleh serigala untuk menyelesaikan maslahnya seperti berikut:

Kuda memberitahu semua kisah yang terjadi kepadanya. Serigala merasa sangat kasihan, katanya: “Aku berhasrat menolongmu dengan rasa senang hati. Untuk melaksanakan hasratmu itu, ikutlah nasihatku. Kau harus berpura-pura mati, supaya berita ini boleh disampaikan kepada harimau yang ada di dalam hutan.” (Terjemahan cerita Kuda Yang Tua, 1921:22)

Melalui cerita ini pengarang secara tidak langsung ingin mendidik khalayak supaya memberi pertolongan dengan ikhlas dan tidak sekali-kali mengharapkan ganjaran seperti yang terdapat dala falsafah Jawa ‘sepi ing pamrih rame ing gawe’. Sikap setiakawan seperti yang ditonjolkan oleh watak serigala yang membantu kuda di dalam kesusahan secara tidak langsung mendidik khalayak supaya tidak mentingkan diri sendiri. Justeru itu unsur bantu membantu amat perlu diamalkan. Ia dapat menghindarkan diri manusia dari sifat mementingkan diri sendiri dan sabar dengan balasan yang diberikan Allah.

2. Saling Hormat Menghormati

Hal ini dapat dikaitkan dengan prinsip tatakrama dalam budaya Jawa. Tatakrama bermakna adat istiadat atau adab sopan seseorang ketika berdepan dengan orang lain sama ada yang tua atau yang muda. Salah satu perkara yang dititik beratkan dalam tatakrama ialah hormat menghormati. Prinsip ini menyatakan setiap orang perlu pandai membawa diri ketika berhadapan dengan orang lain dan sentiasa menunjukkan sikap hormat kepada orang lain sesuai dengan darjat dan kedudukannya.[2]

Sifat-sifat seperti sopan santun dalam tutur kata dan tingkah laku adalah nilai-nilai murni yang perlu dipupuk di kalangan kanak-kanak. Sementara sifat-sifat negatif seperti sombong, bongkak, tamak dan dengki perlu dijauhkan seperti yang tergambar pada cerita Jaran Loro (Dua Ekor Kuda, 1921:7). Cerita ini mengisahkan pembalasan terhadap seekor kuda yang sombong dan bongkak yang akhirnya mendapat kesusahan.

3. Tolong Menolong Antara Satu Sama Lain

Bagi masyarakat Jawa pertolongan antara sesama manusia dapat dikaitkan dengan prinsip rukun. Prinsip kerukunan bertujuan mempertahankan masyarakat supaya berada dalam keadaan yang harmonis. Rukun bermaksud berada dalam keadaan selaras, tenang dan tenteram tanpa perselisihan dan pertentangan serta bersatu.[3]

Rukun mempunyai maksud yang luas iaitu semua pihak berada dalam keadaan damai antara satu sama lain, suka bekerjasama, saling menerima dalam suasana tenang dan aman. Rukun juga menggambarkan keadaan ideal yang diharapkan dapat dipertahankan dalam semua hubungan sosial sama ada dalam keluarga, jiran tetangga di desa[4] dan dalam majlis-majlis tertentu seperti kenduri-kendara dan perayaan agama. Susunan seluruh masyarakat ini bernafaskan semangat kerukunan yang memantapkan lagi hubungan manusia Jawa dengan masyarakatnya.

Prinsip rukun terbahagi kepada dua tuntutan iaitu;

1. Dalam perspektif Jawa, ketenangan dan keselarasan sosial merupakan kesedaran normal selama ianya tidak diganggu.
2. Prinsip kerukunan tidak bersangkut paut dengan sikap batin atau keadaan jiwa dan ianya tertumpu kepada penjagaan keselarasan dalam pergaulan.[5]

Sikap menghargai budi dan jasa baik orang lain serta bersyukur kepada Tuhan merupakan nilai-nilai murni yang perlu dipupuk di kalangan kanak-kanak sejak awal lagi. Tuhan juga telah memberikan kita nikmat kesihatan dan rezeki supaya kita dapat menghargainya. Cerita Brahmana Karo Macan (Pendita Dengan Harimau, 1921:24) memaparkan pembalasan terhadap sikap harimau yang tidak berpegang teguh kepada janji yang akhirnya terpaksa hidup di dalam kandang sepanjang hayatnya. Cerita ini mempunyai persamaannya dengan cerita Harimau, Wira dan Anjing Liar dalam cerita kanak-kanak Melayu. Cerita ini mengungkapkan sikap harimau yang tidak mengenang jasa seseorang yang telah menolongnya, sebaliknya jasa baik yang diberikan oleh pendita dan wira dibalas dengan kejahatan. Hal ini boleh dikaitkan dengan pandangan Islam tentang menjaga hak orang lain seperti yang terdapat dalam suarah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:

…Dan bertolonglah kamu atas kebajikan dan berbakti dan janganlah kamu bertolong di atas dosa-dosa atau permusuhan.[6]

4. Kebijaksanaan

Tema kebijksanaan dapat diperhatikan melaui cerita Tikus Loro (Dua Ekor Tikus, 1921:13), Bocah Mursid (Budak Soleh, 1921:27), Asu Ajag Karo Baya (Serigala Dengan Buaya, 1921:35) dan Ratu Karo Garwane (Raja Dengan Permaisurinya, 1921:45). Etika kebijaksanaan berkait rapat dengan rasa dalam diri manusia. Seorang yang bijaksana bermakna dia telah sampai kepada rasa yang sebenarnya dan dapat dikenali kerana kehalusannya. Sesuatu yang bersifat kasar dapat dijinakkan dan menjadikannya halus. Bagi orang Jawa, pandangan mereka berlandaskan ukuran kasar-halus iaitu semakin halus, semakin baik dan benar.[7] Sebaliknya semakin kasar, semakin jelek dan buruk. Kehalusan berkait rapat dengan batin manusia yang bermaksud seseorang itu mempunyai sifat-sifat yang luhur, mampu mengendalikan hawa nafsu dan berbudi.[8]

Tema kecerdikan diterapkan didalam teks kajian bertujuan untuk memberi pengajaran kepada khalayak dalam mencari jalan menyelesaikan setiap masalah. Permasalahan yang timbul hendaklah diselesaikan dengan menggunakan akal fikiran secara bijak. Dalam versi Melayu cerita tersebut sama dengan cerita Siti Muslihat yang diterbitkan oleh Shaw Brothers pada tahun 1962.

5. Perpaduan Membawa Kebaikan

Cerita Kewan Papat (Empat Ekor Haiwan, 1921;5) mengisahkan pentingnya perpaduan yang dipaparkan melalui persahabatan di antara empat ekor haiwan iaitu kuda, kijang, lembu jantan dan kambing. Tema yang sama juga terdapat dalam cerita Hidup Sepakat Tentu Selamat. Keempat-empat haiwan merancang hendak merantau dan kuda telah dipilih menjadi ketua kerana ia tahu selok-belok jalan di dalam hutan. Walau bagaimanapun, tiba dipertengahan jalan berlaku perpecahan di antara keempat kawan itu kerana mereka berselisih faham, lalu berpecah mengikut haluan masing-masing. Kijang, lembu dan kambing akhirnya mati dimakan binatang buas. Pengarang ingin memupuk sikap berdisiplin, menghormati dan patuh kepada arahan ketua yang lebih arif. Cerita Hidup Sepakat Tentu Selamat mengisahkan perpaduan dan keharmonian hidup antara kura-kura, kambing, gagak dan tikus. Perpaduan yang ditunjukkan oleh haiwan-haiwan tersebut dapat dilihat sewaktu peristiwa kambing terperangkap dalam jerat yang dipasang oleh pemburu, tetapi berjaya diselamatkan oleh sahabat yang lain. Cerita ini menunjukkan bahawa bukan sahaja mansia boleh mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat tetapi haiwan huga pandai berbuat demikian di dalam kelompoknya.

Jika dikaitan dengan ajaran Islam, perpaduan yang berasakan keimanan kepada Allah dapat mengelakkan perpecahan dan perselisihan dalam masyarakat seperti maksud firman Allah yang terdapat dalam surah Ali-Imran ayat 103 :

Dan bersatu padulah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai…[9]

Perpaduan merupakan satu faktor kerukunan dalam hidup bermasyarakat malah sesuatu kelompok tidak mudah goyah apabila menghadapi ancaman musuh seperti ungkapan Jawa “Rukun agawe sentosa, crah agawe bubrah”[10] yang bermaksud bersatu pasti teguh atau sentosa, sebaliknya bertengkar akan runtuh. Sikap saling tolong menolong antara satu sama lain juga dapat menjamin kebahagiaan dan keharmonian hidup. Pekerjaan yang dilakukan secara berkerjasama dapat mengelakkan berlakunya keretakan dalam masyarakat. Prinsip kerukunan yang di amalkan mengambil kira semua keputusan yang di ambil oleh pihak-pihak tertentu supaya tidak menimbulkan kekacauan. Dengan kata lain prinsip ini menuntut agar seseorang sentiasa menguasai perasaan, keinginan dan nafsunya dengan membelakangkan kepentingan peribadinya demi mempertahankan keselarasan masyarakat.

6. Mematuhi Nasihat

Cerita Tikus Cilik (Tikus Kecil, 1921:3) mengisahkan tikus kecil yang tidak patuh kepada nasihat ibunya telah ditimpa kecelakaan. Nasihat ibu atau orang yang lebih tua adalah berguna kerana mereka jauh lebih berpengalaman. Ibu bapa memberi nasihat kepada anak-anaknya kerana mereka menyayangi anak-anaknya. Tikus kecil yang tidak patuh kepada nasihat ibunya telah masuk ke dalam perangkap manusia dan akhirnya dibunuh. Tikus kecil itu bukan sahaja tidak patuh kepada nasihat ibunya malah ia telah menuduh ibunya bodoh. Membantah kata ibu bapa bererti menderhaka, demikian juga dengan mencaci dan menghina ibu bapa akan menerima pembalasan seperti yang terjadi kepada tikus kecil.

Eliding dongeng: sing sapa ora mituhu marang pituturing wong tuwa utawa guru kang murih ing karah alon mesthi tumiba ing tiwas. (Tikus Cilik, 1921:3)
Cerita ini memberi teladan kepada sesiapa yang tidak menurut kata orang tua atau gurunya sudah pasti akan menemui kegagalan, gugur dan tewas. (Tikus Kecil)

Hal di atas boleh dikaitkan dengan sistem kekeluargaan masyarakat Jawa . Setiap orang Jawa melihat dirinya berada di tengah-tengah tata jajaran datuk-nenek, ibu-bapa, kakak-adik, anak-anak dan cucu.[11] Bagi mereka keluarga adalah tempat yang bebas, aman dan mereka dapat bergerak bebas tanpa kawalan. Setiap individu merasakan keluarga merupakan sarang keamanan dan perlindungan.[12] Sistem kekeluargaan ini berteraskan rasa cinta (tresna) dan tiadanya rasa isin (malu) antara satu sama lain.[13] Hubungan ini akhirnya mewujudkan keakraban dan sikap hormat menghormati dalam satu keluarga. Orang tua merupakan tempat individu Jawa memperolehi rasa selamat, tenteram dan ketenangan batin kerana mereka sentiasa melindungi anak-anaknya.[14] Justeru itu, bagi masyarakat Jawa keluarga ialah guru pertama yang mengajar mereka mengawal diri, berfikir dan bagaimanakah caranya untuk menghadapi realiti hidup. Keadaan ini sekaligus menunjukkan kepentingan orang tua mendidik anak-anaknya.


7. Merangsang Khalayak Meneroka Kejadian Yang Tidak Diketahui

Melalui cerita-cerita yang dipaparkan juga pengarang cuba merangsang khalayak untuk meneroka kejadian atau perkara yang tidak mereka ketahui. Umpamanya dengan mengemukakan cerita binatang (Dua Ekor Kuda, 1921:27, Kuda Yang Tua, 1921:21) dan tumbuhan (Pohon Beringin Dengan Padi, 1921:9), minat serta imaginasi mereka akan dibawa ke arah memikirkan kehidupan binatang di hutan rimba dan tumbuhan di sekeliling mereka. Secara tidak langsung ia akan mewujudkan sifat sayangkan binatang dan menghargai alam sekitar. Dengan cara begini khalayak akan memahami dan menyedari tentang prinsip-prinsip keadaan semulajadi manusia, tentang keadaan fizikal dunia dan hubungannya dengan ekologi. Justeru itu teks yang ditulis oleh pengarang ini menjadi penggerak kepada kesedaran khalayak tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.

8. Berfikiran Lebih Optimis

Seterusnya melalui teks ini khalayak akan berfikiran lebih optimis apabila menghadapi apa jua masalah. Contohnya melalui cerita Asu Ajag Karo Baya (Serigala Dengan Buaya, 1921:35) dan Ratu Karo Utusane (Raja Dengan Utusannya, 1921:8) khalayak diajar bagaimana cara melepaskan diri daripada menjadi mangsa kepada orang lain. Dalam kedua-dua cerita tersebut serigala sentiasa bijak mencari idea untuk membohongi buaya dan beruang bagi menyelamatkan dirinya daripada dibunuh. Secara tersirat ia melambangkan setiap manusia perlu menggunakan akal fikirannya untuk memajukan dirinya. Kemajuan dan kejayaan itu hendaklah dibuat mengikut cara yang jujur dan bukan melalui penipuan. Secara tidak langsung keadaan ini akan menyebabkan khalayak sentiasa memandang optimis ke hadapan dalam menghadapi segala cabaran di sekeliling mereka. Hal ini selaras dengan realiti kehidupan iaitu manusia sentiasa menghadapi masalah dan untuk menyelesaikannya kita harus bersikap positif dan optimis. Setiap masalah tersebut merupakan satu ujian dan cabaran yang akan mematangkan fikiran dan menjadi pengajaran berguna pada masa akan datang.

9. Pengajaran Yang Menjadi Pegangan Hidup

Jika dilihat secara mendalam pengarang telah menyelitkan beberapa pengajaran yang menjadi pegangan hidup orang Jawa. Di dalam cerita-cerita yang dipaparkan pengarang cuba mengingatkan manusia supaya berhati-hati di dalam melakukan sebarang pekerjaan. Dalam mencari kejayaan hidup dan kesenangan diri, jangan sampai seseorang bersifat angkuh, tamak haloba dan melupakan masyarakat sekelilingnya. Biasanya sesuatu kejayaan itu diperolehi dengan izin Allah dan bantuan masyarakat sekelilingnya seperti yang tergambar dalam cerita Wit Waringin Karo Pari (Pohon Beringin Dengan Padi, 1921:9) Sikap begini akhirnya membawa kemusnahan pada diri sendiri seperti yang digambarkan dalam petikan berikut:

Iki upamane wong gemblung, kang kedunungan ambeg gumedhe, wekasan nemu piweleh. (Wit Waringin Karo Pari: 1921:10)

Terjemahan:
Ini umpamanya orang yang bersifat angkuh (gila), berlagak sombong dan bangga diri dan akhirnya mendapat pembalasan. (Pohon Beringin Dengan Padi)

Biasanya sesuatu kejayaan itu diperolehi dengan izin Allah dan bantuan masyarakat sekelilingnya atau orang perseorangan. Hal begini dapat ditelusuri melalui sikap Aja Dumeh. Di dalam ajaran ini terdapat beberapa perkara yang telah dianjurkan oleh Budiono Herusatoto[15] supaya manusia tidak lupa pada dirinya. Antaranya ialah:

a. Janganlah kerana sudah berkuasa, segala tindak tanduknya pongah dan bangga diri (Aja dumeh kuwasa, tumindake daksura lan daksia marang sapada-pada).
b. Janganlah kerana sudah pintar, lalu kebijaksanaannya menyimpang dari aturan yang sepatutnya (Aja dumeh pinter, tumindake keblinger).
c. Janganlah kerana kuat dan gagah, lalu tindakannya mengikut kata hatinya sendiri (Aja dumeh kuat lan gagah, tumindake sarwa gegabah)
d. Janganlah kerana sudah kaya raya, lalu tingkah lakunya tidak mengingati mereka yang lemah miskin (Aja dumeh sugih, tumindake lali karo sing ringkih)
e. Janganlah kerana dapat mengalahkan lawan, lalu tindakannya sewenang-wenang terhadap mereka (Aja dumeh menang, tumindake sewenang-wenang).

Selain itu terdapat juga ajaran tentang Aji Mumpung[16] atau disebut mumpungisme. Ia merupakan satu pedoman mengendalikan diri dari sifat serakah dan angkara murka apabila seseorang diberi anugerah oleh Allah. Masyarakat Jawa percaya bahawa hidup manusia di dunia ini telah diatur oleh-Nya seperti putaran nasib Cakramanggilingan.[17] Sekiranya manusia berkesempatan berada di atas, dia tidak akan menggunakan kesempatan tersebut mengikut keinginan hatinya. Antara kesempatan-kesempatan tersebut ialah:

a. Memanfaatkan kesempatan kuat dan berkuasa sehingga tindakannya tanpa pedoman dan arah (Mumpung kuat lan gagah, njur tanpa ngarah-arah).
b. Memanfaatkan kepintaran yang ada sehingga tindakannya melanggar peraturan dan norma hidup (Mumpung pinter, njur sembrana nerak wewaler).
c. Memanfaatkan kekuasaan yang dimiliki sehingga tidak ingat kepada teman dan saudara (Mumpung kuwasa sapa sira sapa ingsun).
d. Memanfaatkan kesempatan hidup kaya raya sehingga bertindak melupakan mereka yang melarat (Mumpung sugih, njur nyenyamah karo sing ringkih).
e. Memanfaatkan kesempatan memperolehi kemenangan sehingga bertindak merampas dan menginjak-injak hak orang lain (Mumpung menang, njur nyawiwah hake liyan).[18]

Sifat aji mupung ini boleh dilihat dalam cerita Wong Kaya Karo Wong Miskin (Orang Kaya Dengan Orang Miskin, 1921:10) yang menggambarkan sifat orang kaya memandang rendah rhadap orang miskin yang menjadi jiran di sebelah rumahnya. Sementara cerita Ratu Karo Pangulu (Raja Dengan Penghulu, 1921: 32) menggambarkan seorang raja yang amak dan mengambil kesempatan terhadap rakyatnya dengan cara mengambil tanah mereka bagi meluaskan kekuasaaannya. Sikap mengambil kesempatan ini menyebabakan manusia lupa diri. Justeru itu manusia perlu mengelakkan dirinya daripada bersikap demikian kerana ia tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa.

Kesimpulan

Pengarang telah menyajikan cerita-cerita yang mengandungi pengajaran untuk tatapan khalayak dengan harapan ia akan menjadi panduan dalam kehidupan seharian mereka. Cerita-cerita yang dipaparkan mampu membangkitkan daya kreativiti dan imaginasi kanak-kanak secara kompleks. Nilai-nilai budaya yang sejajar dengan keadaan sosial masyarakat, seperti budaya yang menjunjung tinggi kebenaran, berakhlak, bertolak ansur, prihatin dan mengingati Tuhan dapat dilihat di dalam teks Campur Bawur. Nilai-nilai tersebut dapat mendidik khalayak khususnya kanak-kanak supaya menjadi manusia yang bertanggungjawab sebagai seorang individu, anggota masyarakat dan sebagai makhluk Tuhan di muka bumi.



Rujukan

Abdul Rahman Aroff & Zakaria Kasa. 1987. Falsafah dan konsep pendidikan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Aripin Said. 1996. Prosa warisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Baidaba. 1988. Hikayat kalilah dan dimnah. Terj. Ismail Djamil. Jakarta: Balai Pustaka.

Budiono Herusatoto. 1983. Simbolisme dalam budaya Jawa. Yogyakarta: Penerbit PT. Hanindita.

Danandjaja, James. 1984. Folklor Indonesia. Jakarta : PT Pustaka Grafitipers.

Darmawiyatha. 1921. Campur bawur. Surakarta: Balai Pustaka Weltevreden.

Dundes, Alan. 1965. The study of folklore. Englewood Cliff. N.J: Prentice Hall.

Ismail Hamid. 1987. Perkembangan kesusasteraan Melayu lama. Petaling Jaya: Longman.

Koentjaraningrat. 1984. Kebudayaan Jawa. Jakarta: PN Balai Pustaka.

Mohammad Sjafei. 1979. Dasar-dasar pendidikan. Jakarta: Centre For Strategic and International Studies.

Mohd. Ali Abu Bakar.1988. Konsep keilmuan menurut Islam. Kelantan: Pustaka Aman Press.

Mohd. Taib Osman (pngr.). 1991. Pengkajian sastera rakyat bercorak cerita. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Musa Daia. 1974. Prinsip am pendidikan. Kelantan: Pustaka Aman Press.

Nik Maimunah Hj. Yahya. 1965. Cerita selampit. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noriah Mohamed. 1995. Jayengbaya memahami pemikiran orang Jawa. Bangi:Penerbut Universiti Kebangsaan Malaysia.

Noriah Mohamed.2001. Jawa di balik tabir. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaa Malaysia.

Othman Puteh & Abdul Ahmad. 1984. Sekitar sastera kanak-kanak dan remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Prawiroatmojo, S. 1981. Bausastra Jawa-Indonesia. Jakarta: PT Inti Idayu Press.

Sills, David L. (edit). 1973. International encyclopedia of the social science. Vol.5. New York: The Macmillon Co. & The Free Press.


Nota Hujung

[1] Nik Maimunah Hj. Yahya, Cerita selampit, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1965.
[2] Magnis Suseno, Etika Jawa sebuah analisis falsafi tentang kebijaksanaan hidup Jawa, PT Gramedia, Jakarta, 1984, hal. 60.
[3] Ibid., hal. 39.
[4] Ibid.
[5] Ibid., hal. 50.
[6] Hamil @ Amir Abd. Hameed, Revisi cepat pendidikan Islam, Sasbadi Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1994, hal. 84.
[7] Maria A. Sardjono, Paham Jawa menguat falsafah hidup manusia Jawa lewat karya fiksi mutakhir Indonesia, Pustaka Sinar Harapan, Jakarta, 1992, hal.20.
[8] Ibid., hal 22.
[9] Hamil @ Amir Abd. Hameed, Revisi cepat, hal. 86.
[10] Thomas Wiyasa Bratawijaya, Mengungkap dan mengenal budaya Jawa, PT Pradnya Paramita, Jakarta, 1997, hal. 107.
[11] Hildred Geertz, Keluarga Jawa, Grafitipers, Jakarta, 1983, hal. 29.
[12] Magnis Suseno, Etika Jawa sebuah analisis falsafi tentang kebijaksanaan hidup Jawa, hal. 12-13.
[13] Maria A. Sardjono, Paham Jawa menguat falsafah hidup manusia Jawa lewat karya fiksi mutakhir Indonesia, hal. 15.
[14] Ibid.
[15] Budiono Herusatoto, Simbolisme dalam budaya Jawa, Penerbit PT Hanindita, Yogyakarta, 1983, hal. 82.
[16] Mumpung bermaksud pada waktu yang baik atau kebetulan. Lihat S. Prawiroatmojo, Bausastra Jawa-Indonesia, PT Inti Idayu Press, Jakarta, 1981, hal. 384.
[17] Cakra bermaksud bulatan, roda atau senjata berupa roda bergerigi. Nyakra Manggilingan dalam bahasa Kawi pula bermakna selalu berputar seperti kincir; lahir kembali (berganti-ganti) berulang-ulang. Ibid., hal.54.
[18] Budiono Herusatoto, Simbolisme dalam budaya Jawa, hal. 183.

Khamis, Jun 26, 2008

Tanaman Hiasan Khasiat Makanan & Ubatan

Pengarang: Ong Hean Chooi
Penerbit: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Tempat Terbit: Kuala Lumpur
No ISBN: 9676118923
Tahun Terbit: 2006
Harga: RM 48.00
Jumlah Halaman:
Kulit: Nipis

Sinopsis

Selain menawarkan keindahan, tanaman hiasan juga mengandungi hikmat sebagai makanan, minuman, bahan kosmetik, ubatan dan racun. Tahukah anda bahawa ati-ati dan puding boleh dimanfaatkan oleh pasangan kelamin yang ingin merancang keluarga? Tahukah anda bahawa bunga jepun dan kaukasia mengandungi racun yang berupaya membunuh serangga dan haiwan perosak.

Cempaka, dulu-dulu, ekor kucing , dan gandarusa pula dapat merawat gonorea, kudis campak, sakit meroyan, bisul dan barah. Bunga butang, kiambang, dan tasbih bertindak merawat asma, diabetes, bronkitis, sifilis, tekanan darah tinggi, buasir dan senggugut. Bunga telang, kekwa, daun mangkuk dan lidah buaya pula sesuai digunakan bagi mengatasi masalah rambut beruban, botak dan muka berjerawat.

Buku ini memuatkan foto berwarna-warni 100 jenis tanaman hiasan yang dilegkapi maklumat tentang nama-nama vernakular, botani dan famili di samping huraian morfologi, kandungan kimia, taburanm kaedah penanamann, penyakit dan perosak. Bagaimanapun, fokus buku ini adalah pada aspek khasiat makanan dan ubatan tumbuhan tersebut.



Tumbuhan Liar Khasiat Ubatan & Kegunaan Lain


Pengarang: Ong Hean Chooi
Penerbit: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Tempat Terbit: 2004 (ulang cetak - 2006)
No ISBN: 9676116300
Harga: RM 35.00
Jumlah Halaman: 241 halaman
Kulit: Nipis
Sinopsis
Pelbagai spesis tumbuhan liar di serata Asia Tenggara bermanfaat sebagai ubat herba. Namun pengguna harus berhati-hati terhadap cara penggunaan, sukatan, jenis penyakit yang dirawat, dan perbezaan spesis.
Tahukah anda bahawa kayu pacat, bintagor laut, kacip fatimah dan pakma bermanfaat kepada wanita yang mementingkan kecantikan luaran dan dalaman. Gelam, keladi murai, jeruju, dan kulai nerkesan untuk merawa diabetes dan gastrik. Rotan dini, ru laut dan tanjung pula boleh dimanfaatkan untuk melebatkan rambut dan janggut, merawat cirit-birit, dan pelbagai penyakit kulit seperti kurap, gatal-gatal dan jerawat. Buku ini mengandungi 69 jenis tumbuhan liar yang dilengkapi maklumat tentang nama vernakular (tempatan), nama botani, nama famili, morfologi, kandungan, taburan, kaedah penanaman dan ekologi.

Selasa, Jun 24, 2008

Sayuran Khasiat Makanan & Ubatan

Pengarang: Ong Hean Chooi
Penerbit: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Tempat Terbit: Kuala Lumpur
Tahun Terbit: 2003 (ulang cetak -2006)
No. ISBN: 9676113905
Harga: RM 35.00
Jumlah Halaman: 156 halaman
Kulit: Nipis

Sinopsis

Buah Khasiat Makanan & Ubatan

Pengarang: Ong Hean Chooi
Penerbit: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Tempat Terbit: Kuala Lumpur
Tahun Terbit: 2004 (ulang cetak - 2006)
No. ISBN: 9676117331
Harga: RM 35.00
Jumlah Halaman: 166 halaman
Kulit: Nipis

Sinopsis
Buah-buahan penting dalam menu harian bagi keseimbangan nutrien dan sistem tubuh badan. Pakar perubatan herba mengenal pasti bahawa kandungan kimia tertentu di dalam buah-buahan dapat bertindak sebagai ubat yang mempu merawat pelbagai jenis penyakit.
Tahukan anda bahawa ciku, durian belanda, strawberi dan nanas dapat meawat penderita batu karang? kelur pula sesuai diamalkan untuk menguatkan tenaga batin lelaki. Bahagian tertentu dalam belinggai, gajus dan limau kesturi dapat menegangkan dan mencantikkan kulit serta menyuburkan rambut.
Kesemua 56 jenis buah yang terkandung di dalam buku ini memiliki pelbgaai khasiat makanan dan ubatan herba yang menakjubkan. buku ini juga memuatkan maklumat tentang nama tempatan, cara penanaman, taburan, rupa bentuk, kandungan, penyakit dan perosak.

Rempah Ratus Khasiat Makanan & Ubatan

Pengarang: Ong Hean Chooi
Penerbit: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Tempat Terbit: Kuala Lumpur
Tahun Terbit: 2008
No ISBN: 9789676121053
Harga: RM 48.00
Jumlah Halaman: 255 halaman
Kulit: Nipis

Sinopsis

Rempah-ratus yang digunakan sejak ribuan tahun yang silam kini menjadi pilihan masyarakat moden bagi rawatan dan pemulihan penyakit. Tahukah anda bahawa gastrik, sakit gigi, gout, demam campak, diabetes, kurap, dan rabun daapt dirawat dengan kayu manis, bunga cengkih, dan ketumbar; manakala asam gelugur, biji sawi hitam, buah pelaga, liamu purut, dan cekur bermanfaat kepada ibu bersalin bagi mengembalikan bentuk tubuh yang asal, merangsang pertumbuhan rambut, dan mengatasi masalah kelumumur serta nafas dan badan berbau? Buku ini memuatkan foto bewarna-warni 76 jenis rempah-ratus dan memfokuskan kepada aspek khasiat makanan dan ubatan. Setiap satu daripadanya disertakan maklumat tentang nama-nama vernakular, botani dan famili; di samping huraian morfologi, kandungan kimi, taburan, kaedah penanaman, penyakit, dan perosak.

Jumaat, Jun 20, 2008

Khazanah Herba: Koleksi Perubatan Tradisional Yang Hebat dan Petua Orang Tua-Tua

Penulis: Ayob Ismail
Penerbit: Golden Books Centre Sdn. Bhd.
Tempat Terbit: Kuala Lumpur
Cetakan Pertama: 2003
ISBN: 983-72-0506-7
Harga: RM 19.00
Jumlah Halaman: 111 halaman
Kulit: Nipis

Sinopsis

Herba Sumber Perubatan Tradisional

Penulis: Ayob Ismail
Penerbit: G0lden Books Centre Sdn. Bhd.
Tempat Terbit: Kuala Lumpur
Cetakan Pertama: 2001
ISBN: 983-72-0445-1
Harga: RM 15.00
Jumlah Halaman: 83 halaman
Kulit: Nipis
Sinopsis
Kesihatan dan kesejahteraan merupakan satu nikmat kurniaan Tuhan, manakala setiap jenis penyakit merupakan ujian Allah kepada semua hambanya di muka bumi ini. Setiap penyakit ada ubatnya melainkan tua dan mati. Allah menyuruh hambanya berusaha dan berikhtiar untuk mengubati penyakit tidak kira melalui cara moden ataupun tradisional. Setiap penyakit itu pula telah Allah sediakan ubatnya dan terpulangkah kepada manusia untuk menggunakan cara apa sekalipun untuk menyembuhkan penyakit yang dihidapi.
Buku ini mengandungi rahsia 26 jenis herba untuk mengubati penyakit dan satu bahagian lagi merupakan bab berkaitan petua-petua umum. Misalnya pokok semalu (Mimosa Pudica) sangat terkenal bagi masyarakat kampung. Pokok ini sangat berkhasiat untuk penjagaan kesihatan. Antara khasiatnya ialah untuk mengecut, menguat dan membersihkan faraj, khususnya kepada wanita selepas bersalin. Pokok semalu juga berkhasiat untuk mengubat cekam di kaki yang pecah akibat dimakan air. Caranya ambil beberapa batang pokok semalu bersama akarnya dan campurkan sedikit kapur dan tumbuklah sehingga lumat. Selepas itu sapulah pada bahagian berkenaan, Insya Allah (hal. 49-50).
Antara petua umum yang menarik ialah gunakan daun pandan untuk mencegah lipas di kawasan rumah. Tukar daun pandan tersebut setalah ia layu (hal. 75). Selain itu untuk menghilangkan bau nasi hangit ialah carik-carikkan daun limau purut dan masukkan ke dalam nasi yang hangit dan tutup semula periuk (hal. 65).

Selasa, Jun 17, 2008

Warisan Perubatan Melayu

Penulis: A. Samad Ahmad
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tempat Terbit: Kuala Lumpur
No. KK: 615 26435201
No. ISBN: 9836287604
Tahun Terbitan: 2005
Harga Buku: RM15.00
Jumlah Halaman: 163 halaman
Kulit: Nipis
Sinopsis
Menyedari hakikat bahawa perubatan tradisi terus berkembang tetapi pengetahuan yanga ada pada para dukun dan bomoh tidak diusahakan untuk dimajukan melalui penerbitan, A. Samad Ahmad telah berusaha menyunting sebuah manuskrip lama berjudul "Ilmu Tabib" bertarikh 1288 Hijrah, yang membicarakan bagaimana orang Melayu telah berjaya menyembuhkan berbagai penyakit sebelum masuknya ubat-ubat moden ke Malaysia. Masyarakat Melayu sejak zaman berzaman telah mengetahui khasiat tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekeliling mereka. Pengetahuan dalam buku ini bukan sahaja berguna kepada pakar-pakar perubatan, tetapi juga untuk orang ramai yang ingin mengetahui ubat-ubat Melayu tradisi.

Perubatan Psikologi Islam

Penulis: S. M. Hatta
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tempat Terbit: Kuala Lumpur
No. KK: 150 68905102
No. ISBN: 9836241728
Tahun Terbitan: 2000
Harga Buku: RM15.00
Jumlah Halaman: 143 halaman
Kulit: Nipis

Sinopsis

Bagi pengamal perubatan muslim semangat saintifik amat berhubung rapat dengan kesedaran keagamaan. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan. Atas dasar inilah tercetusnya persoalan metodologi dalam sains Islam. Penulisan ini berusaha untuk menempatkan kembali konsep amalan perubatan psikologi menurut Islam di persada tradisi rawatan sejagat. Penulis menekankan aspek akhlak dan etika bagi ahli sians atau perawat Muslim. Manakala kesedaran agama pula ditegaskan sebagai satu-satunya penentu dalam pencapaian matlamat pengubatan dan rawatan yang sebenarnya.

Analisis Bahasa dalam Kitab Tib Pontianak

Penulis: Ab. Razak Ab. Karim
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tempat: Kuala Lumpur
No. KK: 4997201845101
No. ISBN: 9836291512
Tahun Terbitan: 2006
Harga Buku: RM28.00
Jumlah Halaman:
Kulit: Tebal
Sinopsis
Kitab Tib Pontianak merupakan kitab perubatan bagi masyarakat zaman lampau, khususnya di kawasan Pontianak, Kalimantan, Indonesia. Kitab ini memperihalkan jenis-jenis penyakit dan kaedah merawat penyakit, termasuk penggunaan wafak, doa dan ayat-ayat al-Quran sebagai penawar. Buku Analisis Bahasa dalam Kitab Tib Pontianak ini memberi tumpuan terhadap penggunaan bahasa Melayu dalam menyatakan bahan perubatan, proses meramu ubat dan kaedah perawatan. Buku ini mengandungi tujuh bab. Bab Satu hingga Bab Lima membincangkan bahan-bahan dan kaedah rawatan. Aspek pemilihan kata khusus ditimbulkan dalam bab-bab tersebut. Bab Enam dan Bab Tujuh pula memberi tumpuan khusus pada aspek analisis bahasa. Dalam dua bab akhir ini, dibincangkan tentang laras bahasa perubatan dan kosa kata untuk bidang tersebut yang telah pun digunakan pada zaman itu. Di samping mengetengahkan aspek bahasa, buku ini juga memberikan maklumat tentang rawatan tradisional yang digunakan sejak zaman berzaman.

Kepustakaan Ilmu Tradisional



Penyelenggara: Rogayah A. Hamid & Mariam Salim

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tempat Terbit: Kuala Lumpur

No. KK: 121 105105101

No. ISBN: 9836283331

Tahun Terbitan: 2005

Harga Buku: RM26.00

Jumlah Halaman:

Kulit: Nipis

Sinopsis

Kajian dan penelitian tentang ilmu Melayu tradisional jarang-jarang dilakukan, seolah-olah bidang ini merupakan sesuatu yang bersifat pinggiran dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional. Hakikatnya berbeza daripada tanggapan sedemikian kerana mereka memanfaatkan pelbagai ilmu untuk keperluan hidup. Mereka menyedari khasiat yang terkandung dalam akar kayu, dan herba daripada flora dan fauna di sekeliling; mengetahui penyakit, ubat dan rawatannya; akur pentingnya pengetahuan batin dalam menjalin hubungan suami isteri bagi menjamin keharmonian rumah tangga; menguasai ilmu tentang alam dalam makna "ilmu bintang". Mereka memahami makna musim - panas dan kemarau, angin, hujan, ribut, dan banjir - dan senantiasa pula bersedia dan berwaspada bagi menghadapi apa-apa jua kemungkinan dalam musim itu. Mereka mahir tentang mata angin - Utara dan Selatan - Timur dan Barat - belayar dari Kedah ke Aceh ataupun dari Banjarmasin ke Terengganu tanpa silap arah tujuan. Mereka pandai senjata - daripada pandai keris kepada pandai meriam, daripada pandai tombak kepada pandai ubat bedil. Mereka mahir laras bahasa sastera, undang-undang, sejarah, surat dan peribad rasmi, serta warkah antaranya. Menyedari betapa penting dan banyaknya kepustakaan ilmu Melayu tradisional yang sebahagian besarnya dalam bentuk manuskrip, tersimpan dalam pelbagai koleksi dunia, maka ilmu ini perlu diketengahkan semula dalam kehidupan masyarakat Melayu moden amnya dan Malaysia khususnya agar manfaatnya dapat dikongsi bersama oleh pelbagai displin ilmu. Inilah salah satu tujuannya buku ini diterbitkan.

Pandangan Semesta Melayu : Mantera

Penyelenggara: Rogayah A. Hamid, Mariyam Salim Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tempat Terbit: Kuala Lumpur
No. KK: 133 203315101
No. ISBN: 983629306X
Tahun Terbitan: 2007 Harga Buku:
RM35.00
Jumlah halaman: 348 halaman
Kulit: Nipis
Sinopsis
Pandangan Semesta Melayu Mantera tidak berhasrat untuk membimbing dan mengajarkan pembaca mengamalkannya dengan tujuan-tujuan yang tertentu, seperti menggunakannya untuk tujuan pengasih, mengubati pesakit, menghalau makhluk halus yang mengganggu, menangkap buaya, dan sebagainya. Ia tidak lebih daripada asas kepada para pengkaji dalam mengkaji hubungan antara mantera dengan pengamalnya - bomoh dan pawang. Kajian juga dilakukan terhadap anggota masyarakat tradisional khususnya yang mendapatkan khidmat bomoh dan pawang. Justeru, mantera dalam buku ini diteroka oleh para pengkaji dalam pelbagai sudut; Pemikiran dan budaya masyarakat Melayu, psikologi, perspektif Islam, sosiologi dan antropologi, dan pelbagai sudut pandangan ilmiah yang lain lagi. Kepelbagaian sudut pandangan yang dikemukakan oleh para pengkaji yang berwibawa tentang mantera dalam buku ini, secara langsung turut meluaskan minda pembaca dalam memahami mantera dan hubungannya dalam masyarakat Melayu. Bahkan, ia turut mendedahkan kepada pembaca tentang kedudukan mantera, bomoh, pawang dalam kehidupan masyarakat Melayu hari ini.

Unsur-Unsur Menurun dalam Persembahan Teater Melayu Tradisional

Penulis: Amran Kasimin
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tempat Terbit: Kuala Lumpur
Tahun Terbitan: 2006
Harga Buku: RM35.00
Halaman: 235 halaman
Kulit: Nipis
No. KK: 792 201865101
No. ISBN: 9836291539
Sinopsis
Buku ini memaparkan tentang pengaruh animisme dan Hindu-Buddha yang masih terterap dalam kehidupan orang Melayu terutamanya dalam amalan kebatinan yang melibatkan rawatan, pertahanan diri, dan persembahan teater tradisional. Umumnya, persembahan teater tradisional masih diselubungi unsur-unsur magis yang wujud hasil gambaran pemikiran dan sikap masyarakat Melayu zaman dahulu. Unsur-unsur ini jelas tergambar dalam pelbagai upacara dari awal hinggalah akhir sesuatu persembahan. Kewujudan pengaruh Islam pula yang diselitkan dalam jampi, mentera dan serpah turut menimbulkan kecelaruan masyarakat. Menyedari hakikat ini, penulis telah mengupas secara tuntas akan isu ini dengan harapan masyarakat Melayu dapat menjaga akidah dan menjauhi amalan syirik tersebut. Antara seni persembahan yang dibincangkan ialah Main Puteri, Kuda Kepang, Bageh, Tarian Bubu, Ulik Mayang dan Tarian Kebiah.

Ensiklopedia Perbidanan Melayu

Pengarang: Anisah Barakbah
Penerbit: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.
Tempat Terbit: Kuala Lumpur
Tahun Terbit: 2007
Jumlah Halaman: 343 halaman
Harga: RM145.00
Kulit: Tebal
No. ISBN: 9789676119512

Sinopsis
Tahukah anda?

Amalan pantang bersalin yang betul bermula dari anak pertama dapat mengekalkan awet muda apabila usia mula meningkat. Malah semakin kerap bersalin, semakin mantap dan sihat

Keluaran darah nifas, darah bantal dan darah bayam yang lancar selepas bersalin akan menentukan kembali kejelitaan dan kesihatan ibu

Cara bertungku yang salah akan menyebabkan masalah lain seperti mulut peranakan tidak menghadap saluran faraj atau terpusing ke belakang. Ini boleh menyebabkan sukar untuk hamil atau jika hamil kerap keguguran

Demam bentan urat berlaku jika menggunakan tenaga secara berlebihan ketika masih berpantang. Rawatan mengurut hanya akan memburukkan keadaan.

Gila meroyan adalah kesan daripada darah bantal yang tidak keluar dengan sempurna, berkumpul dalam rahim dan menjadi busuk.