Isnin, Julai 06, 2009

Ilmu Raksa

Raksa merupakan logam cair yang biasa digunakan di makmal atau dimasukkan dalam jangkasuhu untuk menentukan hawa dan menyukat cuaca. Rahsia raksa sudah diketahui oleh pakar sains sejak dahulu lagi. Galileo Galeli (1564-1642), misalnya, telah mencipta jangka suhu dengan menggunakan raksa pada tahun 1593. Di alam Melayu, raksa sebenarnya telah lama digunakan dalam perubatan tradisional. Beberapa buah kitab perubatan Melayu tradisional ada menyebutkan tentang bab penggunaan raksa ini, misalnya Mujarabat Melayu. Dalam perubatan Melayu tradisional, raksa digunakan untuk mengubati penyakit lemah urat saraf dan sebagai penawar gigitan binatang buas. Bagaimanapun, kegunaan raksa yang agak luar biasa ialah untuk ilmu kebal, susuk dan mengelakkan diri daripada panahan petir atau kilat (Ensiklopedia Global, 2001: 119).

Bagi pengamal ilmu kebal yang menggunakan raksa, salah satu pantang yang dikenakan ialah tidak boleh mandi di laut, sungai, kolam atau paya kerana dikhuatiri akan mati lemas. Raksa yang digunakan dalam perubatan Melayu tradisional biasanya dimasak terlebih dahulu supaya menjadi ketulan logam. Selepas itu dimasukkan dengan jampi serapah serta bacaan ayat suci al-Quran tertentu mengikut tradisi pelbagai bangsa atau daerah tertentu.

Penggunaan jampi dan mantera dalam ilmu raksa bertujuan bagi memujarabkan amalan ilmu yang diamalkan. Hal tersebut sesuai dengan kenyataan yang diberikan oleh Noriah Taslim (2007: 197) seperti berikut:

Masyarakat tradisional mempunyai kepercayaan kuat terhadap kuasa intrinsik bahasa yang mistik (kuasa ke atas makhluk dan alam). Melalui bahasa yang terkawal dan struktur binaan yang khusus, bahasa dipercayai mempunyai kuasa “physico-magical” (negatif dan positif) yang cukup kuat ke atas makhluk dan alam. Kepercayaan ini cukup penting untuk kemandirian (survival) manusia dalam persekitaran yang tidak mudah dikuasainya. Melalui rumus-rumus bahasa yang tepat, mereka yakin dapat menundukkan musuh (yang nyata dan ghaib), melemahkan binatang buas, mendamaikan unsur alam yang mengancam (rebut, guruh, gempa, kemarau), meningkatkan hasil perburuan dan pertanian, penyembuhkan penyakit, dan dengan itu dapat mengusaai alam dengan mudah.

Berikut merupakan contoh jampi mantera dalam ilmu raksa.
“hai raksa hai raksa ku hai rum hai rum ku liput olehmu akan sekelian urat sendi sekelian tubuhku berkat Lailahaillahlah Muhammadur Rasullullah (ﻻﺍﻠﻪﺍﻻﺍﷲﻣﺤﻣﺪﺮﺴﻮﻞﺍﷲ)” (ini yang dibaca) tatkala memutarkan dengan telunjuk pada tapak tangan kita… (Mujarabat Melayu, hal.63)

Dari Segi Saintifik
Raksa atau Merkuri merupakan salah satu daripada unsur kimia. Nombor atom raksa ialah 80 dan simbolnya dalam jadual berkala adalah "Hg" (dari Hydrargyrum). Raksa merupakan satu-satunya logam cair pada suhu bilik. Kegunaan utama raksa ialah dalam termometer, barometer dan alat saintifik lain. Ia biasanya didapati dari penurunan mineral sinabar.

4 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum tuan sye nizam sye nk tnye cara pengunaan raksa untuk ketahanan tubuh sama ada boleh atau x dimasukkn dlm tubuh seseorang?

Sinner berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Sinner berkata...

X boleh sebab ia boleh merosakkan organ dalaman terutama sekali jantung yang merupakan antara organ terpenting dalam tubuh manusia. Apabila raksa atau nama yang biasanya dipaggil Mercury masuk ke dalam badan ia akan lalu melalui salur darah menuju ke jangtung dan berkumpul disitu menyebabkan ia menjadi lemah. Darah akan kurang dipam oleh jantung dan berkemungkinan akan megakibatkan serangan jantung.

Unknown berkata...

Jika masuk untuk saja2 boleh ke tuan bertujaun menjaga diri?