Selasa, Jun 01, 2010

Rejim Diet

Sejak tiga bulan lalu tabiat pemakanan saya telah berubah. Ianya disebabkan dua faktor utama iaitu umur saya semakin meningkat dan sering mengalami sakit lutut akibat berat berlebihan dan faktor kedua untuk kelihatan lebih manis pada hari bahagia. Namun, faktor utama sangat mendominasi tabiat pemakanan tersebut.

Pada peringkat awal, saya tidak mempedulikan sangat berat badan sehingga ditegur oleh sidia yang bimbangkan kesihatan saya kerana kerap mengadu sakit lutut dan demam. Sebenarnya bapa dan emak sering menegur berat saya yang semakin meningkat dari sehari ke sehari. Setelah berjumpa doktor, beliau menasihatkan saya menurunkan berat badan sekiranya tidak mahu mendapat komplikasi tekanan darah tinggi. Lebih-lebih lagi usia saya sudah menjangkau 36 tahun September akan datang.

Mulai bulan Mac saya telah mula mengambil oat setiap hari selama tiga ke empat kali pada waktu sarapan, minum petang, makan malam dan sebelum tidur. Memang mulanya agak keberatan meninggalkan menu-menu makanan kegemaran saya seperti nasi lemak, bihun goreng, roti canai, nasi beriani, laksa johor, nasi goreng dan pelbagai makanan yang enak serta berkolesterol tinggi, namun saya wajib memikirkan kesihatan saya sendiri. Jika ada yang prihatin dengan kesihatan saya, mengapa pula saya harus mengabaikannya.

Rejim diet saya bermula ada 25 April 2010 dengan mengamalkan diet protein serta pengambilan serbuk susu soya dan Alpha Lipid. Saya perlu minum serbuk susu soya empat kali sehari iaitu pagi, tengahari, petang dan malam. Alpha Lipid pula hanya diminum pada waktu pagi ketika perut kosong. Begitulah rutin pemakanan saya hingga hari ini. Selain itu, saya perlu minum 2 hingga 2.5 liter air sehari kerana proses perkumuhan berjalan dengan cepat. Kesannya sehingga semalam (31 Mei 2010) berat saya telah turun sebanyak 8 hingga 9 kilogram. Alhamdulillah, ada penurunan berat rupanya. Pengambilan kedua-dua susu dapat membantu saya menurunkan berat badan dalam masa sebulan seminggu.

Agenda utamanya tidak dibenarkan makan nasi dan bahan karbohidrat tetapi melebihkan pengambilan protein untuk kesihatan. Gula, bahan berasas tepung dan buah-buahan (kandungan gula tinggi kecuali epal) juga tidak dibenarkan. Saya bukanlah orang yang boleh tahan dengan semua peraturan ini, oleh itu bila hujung minggu saya langgar pantang-pantang tersebut dan hari berikutnya saya berdiet semula. Jika inginkan kesan lebih baik, kurangkan pengambilan bahan berminyak dan tingkatkan senaman serta jangan lupa makan bijirin asli (oat) dalam menu makanan kita. Pengambilan susu serbuk soya mewajibkan pengamalnya makan. Justeru itu, saya mesti makan setiap hari dan perut saya mesti kenyang setiap hari.

Berikut adalah menu harian saya:

a. Sarapan Pagi: Alpha Lipid, jam 9 pagi serbuk susu soya + sekotak air soya
b. Minum Pagi: Secawan oat
c. Makan Tengahari: serbuk susu soya + ayam/ikan/makanan laut + sebiji telur + sayur
d. Minum Petang: serbuk susu soya + sekotak soya + secawan oat
e. Makan Malam: serbuk susu soya + sup (tauhu, udang dan sayur) + 2 biji telur
f. Sebelum Tidur: Secawan oat

Sehingga kini saya masih teruskan menu makanan seperti di atas dan sudah sebulan seminggu saya tidak menjamah nasi kecuali pada hujung minggu, itupun sekadar dua sudu nasi sahaja untuk melepaskan gian. Suatu perkara yang menarik ialah saya masih terus mengambil makanan berasaskan minyak. Lauk-lauk tersebut dimasak dengan pelbagai hidangan seperti dibakar, masak lemak kuning, rendang, kicap, kari, masam manis, asam pedas dan pelbagai resepi yang biasa saya makan. Produk berasakan soya sangat digalakkan. Pada peringkat awal berat saya 97 kilogram kemudian turun kepada 92 kilogram selepas pengambilan oat selama dua bulan. Selepas rejim diet serbuk susu soya dan Alpha Lipid berat saya terkini 83 kilogram.

Tiada ulasan: