Khamis, Mei 28, 2009

Muzium Bugis Pontian


































































Pada 23 Mei lalu saya sempat menziarahi Muzium Bugis yang terletak di Pontian Johor. Kebetulannya saya sedang menjalankan penyelidikan di Benut Johor. Kesempatan yang ada saya manfaatkan sebaiknya dan melihat barangan yang dipamerkan di muzium tersebut. Secara umumnya muzium tersebut terdiri daripada dua buah rumah. Salah satunya didiami oleh pemiliknya. Rumahnya serba sederhana tetapi dari luar ia kelihatan unik dan menarik. Pelbagai jenis barang dipamerkan dan disusun serta terjaga dengan baik. Pemilik rumah yang juga pemilik muzium sangat ramah dan saya diberitahu sang isteri memang berasal daripada orang Bugis. Istimewanya, bayaran tidak dikenakan tetapi terdapat sebuah tabung yang disediakan untuk sumbangan seikhlas hati. Antara koleksi yang dipamerkan termasuklah pakaian-pakaian tradisional Bugis, alat-alat muzik, duit syiling lama, senjata, tabung duit, timbang, mesin jahit dan sebagainya. Ketika saya leka melihat buku-buku lama yang ada di situ, saya terjumpa dua buah buku yang berkait rapat dengan kajian saya, namun ianya tidak dijual. InsyaAllah jika ada kesempatan lain saya akan cuba menyalinnya nanti. Saya sempat merakam beberapa keping foto dan sebelum pulang isteri tuan rumah menghadiahkan saya dan emak buah markisa.

Muzium kedua pula tidak jauh dari muzium pertama dan ia ditandai dengan sebuah perahu lama, lesung batu dan kedudukannya bersebelahan kedai makan dan masjid. Ruang di sini lebih besar dan luas. Antara koleksi yang dipamerkan termasuklah, duit syiling lama, buku dan majalah lama, botol-botol minuman lama, seramik, basikal, pasu, tempayan lama dan bermacam-macam lagi. Secara tidak langsung, muzium ini mengingatkan saya kepada nostalgia lama. Suatu hal yang sangat menarik ialah semua koleksi yang dipamerkan berusia lebih daripada 30 tahun. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pemilik muzium yang baik hati. Ingatan tulus ikhlas dan istimewa buat saudara Asrol Nizam kerana sudi membawa saya ke sana. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baik saudara.

Tiada ulasan: