Rabu, Ogos 05, 2009

Tour To Pontian 1 Ogos 2009

Pada 1 Ogos 2009, kira-kira jam 7.30 pagi saya berangkat keluar dari rumah menuju ke Pontian Johor. Sebelum itu pagi-pagi lagi saya telah membereskan kerja di rumah dan menyiapkan beberapa bekalan dalam perjalanan nanti. Saya membawa empat buah beg iaitu beg baju, beg peralatan penyelidikan, buku-buku untuk tesis dan laptop kesayangan saya. Untung baju yang siap digosok tidak tertinggal, jika tidak apa yang saya nak pakai semasa membuat penyelidikan nanti. Emak hanya membawa dua buah beg sahaja iaitu beg pakaian dan beg tangannya. Selesai memasukkan barang ke dalam Myvi saya bersalam dengan bapa mohon dipermudahkan perjalanan nanti. Perjalanan kali ini memang lancar dan bayangkan sepanjang perjalanan dari rumah kami berbual tanpa henti sehingga terlupa untuk berhenti rehat. Kebetulan cuaca agak mendung dan hujan di sepanjang perjalanan dari Bandar Seri Putera hingga ke hentian rehat Bemban. Kami berhenti seketika dan hujan memang sangat lebat di situ. Kebetulan di kawasan tersebut tidak ramai orang dan kami agak berhati-hati ketika itu. Selepas berehat kira-kira 10 minit dan makan sedikit kuih, kami meneruskan perjalanan dalam keadaan hujan lebat. Emak sentiasa menegur saya jika membawa melebihi had laju. Saya juga perlu berhati-hati kerana banyak lori dan treler besar di lebuhraya.

Sedang leka berbual rupanya kami dah hampir tiba ke susur keluar tol Simpang Renggam Johor. Nasib baik kami tidak terlepas tadi. Alhamdulillah kali ini kami tenang, selesa dan aman dalam perjalanan tanpa sebarang gangguan. Selepas membayar tol yang harganya RM 37.30 sen, perjalanan di teruskan masuk ke Daerah Benut. Kali ini emak tidak perlu mengira jambatan dan lampu "traffic" lagi sebab kami dah ingat jalannya selepas ke sana akhir Mei lalu. Sekali lagi dek leka bercerita kami tiba di simpang empat yang ditandai Balai Polis Benut di simpang hadapan sebelah kanan. Saya terus belok ke kiri menuju ke Pontian. Kebetulan musim duku langsat, cempedak dan pulasan di sana. Saya mengambil kesempatan ini dengan membeli duku langsat dan pulasan di pinggir jalan. Bolehlah kami makan di hotel nanti. Kami tiba di hotel kira-kira jam 11.30 pagi dan terpaksa memarkir kereta di bahagian belakang hotel kerana tempat parkir kereta bahagian hadapan hotel sudah penuh.

Selesai "check-in" saya dan emak terus menuju ke bilik dan merehatkan badan. Nombor bilik kami 1110 dan sedihnya kami tidak dapat lihat laut kerana tingkap bilik berhadapan dengan dapur masak restoran cina. Punah harapanku... Selepas berkemas ala kadar saya terasa lapar dan kami makan bekalan yang dibawa dari rumah iaitu telur masin dan sambal kentang dengan ikan bilis. Sedap sungguh rasanya kerana di rumah tadi saya hanya menjaman sedikit nasi goreng dan minum nescafe sahaja. Selesai makan kami berehat dan terus melelapkan mata sehingga azan zohor berkumandang. Kami hanya menunaikan solat jamak dan seterusnya berehat sambil berbual tentang apa yang bakal saya lakukan esok. Syukur alhamdulillah kali ini perjalanan saya lancar dan saya tidak menghadapi sebarang kesukaran dalam perjalanan ke sana.

Pada sebelah petang, saya berjalan ke pasaraya Giant dan dalam perjalanan ke sana kami sempat membeli tiga helai tudung yang harganya hanya RM5 sehelai. Alangkah murahnya, kata hati saya. Emak membeli sehelai tudung bewarna ungu yang harganya RM15 tetapi amat cantik jika dipadankan dengan jubah yang selalu emak kenakan. Malam itu kami hanya makan maggi sahaja kerana saya tidak berselera makan di warung mamak sebelah hotel. Ini kerana saya teringat satu artikel yang saya baca dalam majalah al-Islam yang menyatakan "jangan percaya restoran mamak". Adakalanya mereka menggunakan kalimah Allah dan Muhammad untuk mengaburi mata umat Islam. Malam itu saya tidur awal iaitu sekitar jam 9.45 malam. Sebelum tidur saya menyiapkan barang-barang yang akan dibawa esok. Tanpa saya sangka teman saya memberitahu yang emaknya bersetuju untuk datang dan menyertai kami keesokan harinya. Gembira sungguh hati saya sebab adalah emak kawan ketika ke sana nanti. Pertemuan esok berlangsung sekitar 10 pagi setelah saya membuat temujanji dengan responden di Benut.

Tiada ulasan: