Rabu, Julai 29, 2009
Azimat, Tangkal dan Wafak
AZIMAT merupakan sebarang benda-benda yang dipercayai dapat menahan daripada ancaman atau dapat mencegah terjadinya musibah ke atas diri, keluarga dan harta benda mempunyai kekuatan ghaib dan dipercayai ada khadamnya dari makhluk-makhluk ghaib.
TANGKAL merupakan salah satu bentuk azimat untuk dipakai seperti gelang tangan yang diperbuat dari benang, kalung yang diperbuat dari dahan-dahan kayu atau untuk diletakkan di tempat-tempat tertentu dengan maksud melindung dari gangguan syaitan seperti kemenyan yang dibalut dengan kain dan diletak di penjuru rumah.Tangkal mengandungi jampi mentera atau sihir atau azimat (Amran Kasimin, 1995: 41). Ia berperanan sebagai pendinding dan melemahkan serangan hantu. Tangkal juga boleh mengambil banyak bentuk seperti balutan kain atau besi dan dipasang sama ada di leher, di lengan atau di pinggang atau boleh juga berbentuk satu balutan kain yang diikat pada rantai kain atau besi dan di pasang sama ada di leher, di lengan atau di pinggang atau boleh juga berbentuk batu balutan berisi coretan Jawi, disimpan, sama ada dalam saku atau pada satu tempat yang selamat. Sesuatu tangkal itu biasanya dijampi terlebih dahulu oleh seseorang yang dipercayai mempunyai ilmu mengenai alam ghaib. Dia akan membacakan doa atau menuliskan sesuatu pada benda yang dijadikan tangkal. Tangkal itu dianggap boleh menghindari gangguan dan bencana yang akan menimpa seseorang.
WAFAK menurut Kamus Dewan (2000: 1541) edisi ketiga bermaksud waktu yang pasti (berlakunya sesuatu), setuju dengan, menurut. Abdul Razak Ab. Karim (2002: 1) pula menyebut ia sebagai wifiq iaitu sandi Arab (simbol) yang berupa angka, huruf dan kalam Arab (biasanya ayat-ayat al-Quran) yang digunakan untuk tujuan tertentu. Azimat umumnya dalam bentuk tulisan-tulisan berupa huruf, angka, rajah atau gambar yang ditulis atas kertas atau kepingan tembaga. Ia ditulis dalam bahasa yang tidak difahami dan kadangkala bercampur-aduk dengan ayat-ayat Al-Quran
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan