Khamis, September 23, 2010

Budaya Baru Telekung Solat

Warna Kehidupan: Budaya baru telekung solat
Oleh Nurul Farina Nazlan

2010/09/22



PEMAKAIAN yang menutup aurat ketika bersolat di kalangan wanita mempunyai hubung kait dengan budaya setempat kerana wanita di Asia Tenggara khususnya orang Melayu biasanya mengenakan telekung untuk melakukan ibadat itu sama ada dalam solat fardu atau sunat.

Telekung yang berbentuk kain selubung putih untuk menutup tubuh yang turut dikenakan dengan kain yang labuh menjadi identiti budaya kepada orang Melayu sehingga mereka mudah dikenali sebagai rumpun Nusantara. Meskipun telekung biasanya berwarna putih, mutakhir ini ramai wanita Melayu-Islam yang memilih telekung dengan pelbagai warna dan corak yang bervariasi seperti yang dijual di pasaran. Bagaimanapun, trend baru yang memberi suntikan baru dalam budaya Melayu itu, ada kalanya mengundang perasaan riak kepada pemakai kerana kononnya berasa hebat dengan telekung itu, sekali gus mengubah fungsinya yang asasi, iaitu menutup aurat ketika bersolat.

Pensyarah Pengajian Budaya, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yusmilayati Yunos, mengakui pemakaian telekung yang mempunyai warna dan corak pelbagai boleh mengundang masalah riak dan perasaan menunjuk-nunjuk sehingga mengubah niat asal ke masjid selepas mendapat pujian.

“Situasi ini memang berlaku apatah lagi sekiranya telekung yang dipakai itu berbeza warna dan coraknya serta jarang diperoleh di pasaran sehingga tidak mustahil niat asal untuk menunaikan solat sedikit tersasar dek perasaan bangga atau menganggap diri mereka hebat kerana telekung yang dipakai itu.

“Sebenarnya, tidak salah untuk memakai telekung yang cantik coraknya dan berbeza warna daripada orang lain berdasarkan minat dan kemampuan individu kerana ada di kalangan orang kita yang membeli telekung berbeza mungkin kerana tertarik dengan apa yang ditawarkan oleh peniaga,” katanya kepada Sastera di UKM, Bangi, baru-baru ini.
Yusmilayati berkata, pemakaian tudung yang bervariasi juga boleh mengganggu khusyuk jemaah sekiranya mereka menjadi leka dengan keindahan tudung itu terutama sekiranya individu terbabit berada di hadapan.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak pemakaian tudung yang menampilkan keindahan sulaman itu kerana ia termasuk dalam seni halus dalam konteks budaya, selain kehalusan sulaman itu juga memperlihatkan perkembangan kesenian masyarakat Melayu di Nusantara.

“Malah, Islam sendiri menggalakkan kita untuk memakai pakaian yang bersih dan cantik meskipun ia tidak mahal atau baru kerana Allah SWT sendiri sukakan perkara kecantikan.

“Pujian orang lain terhadap pemakaian tudung yang cantik juga wajar dianggap sebagai pemula bicara dan kesantunan bahasa, sekali gus bukan didorong sifat ingin menyibuk terhadap peribadi orang lain,” katanya.

Pemilik Butik Telekung Siti Khadijah, Padzilah Enda, pula menganggap penjualan telekung yang pelbagai variasi di pasaran sebagai bukti kemajuan fesyen masyarakat hari ini, manakala pemilihan telekung yang beraneka corak dan warna pula bergantung kepada kecenderungan dan keselesaan pemakai.

“Sebenarnya, pemilihan telekung yang tepat membuatkan pemakai lebih selesa untuk beribadah, selain menampilkan keperibadian yang anggun dan ciri Muslimah yang bersih, sekali gus ia bertepatan dengan galakan Islam.

“Saya rasa tidak salah jika kita ingin membeli telekung yang mahal harganya dan mempunyai sulaman yang pelbagai kerana ia bergantung kepada kemampuan individu itu sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Padzilah mengingatkan, ia bergantung kepada niat dan keikhlasan mereka ketika menunaikan solat, selain memelihara nawaitu untuk berpakaian cantik dan indah sebagai persediaan berdepan dengan kekasih yang agung, iaitu Allah SWT.

“Oleh itu, telekung di butik kami masih mengekalkan warna putih kerana saya menganggap telekung sebagai rasmi wanita Melayu Islam dalam sembahyang.
“Malah, saya sendiri menekankan aspek keselesaan di bahagian muka bagi mengelakkan rambut terkeluar dan saiz yang longgar bagi mengelakkan perasaan kurang khusyuk ekoran ketidakselesaan itu,” katanya

Isnin, Jun 07, 2010

Sepang 100km 3-5 Jun 2010




Terima kasih banyak kepada Uncle Jawa (saudara Asrol Nizam) kerana sudi sponsor tiket masuk untuk saya pada 5 Jun 2010 lalu. Terperanjat,tidak sangka sama sekali dan saya tidak tahu, si manis di sebelah saya digelar "Jawa" di kalangan teman-teman di litar Sepang lalu, sedangkan dia bukan orang Jawa. Mungkin wajahnya kelihatan seperti orang Jawa agaknya. Berkat gelaran yang diberikan itu, akhirnya bertemu jodoh juga dengan orang Jawa. Saya terfikir sendiri, adakalanya gelaran atau panggilan yang diberikan kepada kita merupakan doa daripada orang yang menuturkannya. Akhirnya Allah makbulkan doa itu dan kesannya mungkin kita tahu selepas ia benar-benar berlaku. Terima kasih kepada tunang saya kerana memberi peluang melihat sendiri budaya perlumbaan kereta di litar Sepang. Inilah kali pertama saya dapat melihat secara jelas bagaimana perlumbaan kereta berlangsung. Biasanya hanya menonton di televisyen sahaja. Saya rasa teruja melihat mereka bekerja dengan cekap dan pantas, namun saya pasti mereka begitu puas dengan pekerjaan yang dilakukan. Lupa seketika soal kerja yang sendat dalam kepala.

Selasa, Jun 01, 2010

Rejim Diet

Sejak tiga bulan lalu tabiat pemakanan saya telah berubah. Ianya disebabkan dua faktor utama iaitu umur saya semakin meningkat dan sering mengalami sakit lutut akibat berat berlebihan dan faktor kedua untuk kelihatan lebih manis pada hari bahagia. Namun, faktor utama sangat mendominasi tabiat pemakanan tersebut.

Pada peringkat awal, saya tidak mempedulikan sangat berat badan sehingga ditegur oleh sidia yang bimbangkan kesihatan saya kerana kerap mengadu sakit lutut dan demam. Sebenarnya bapa dan emak sering menegur berat saya yang semakin meningkat dari sehari ke sehari. Setelah berjumpa doktor, beliau menasihatkan saya menurunkan berat badan sekiranya tidak mahu mendapat komplikasi tekanan darah tinggi. Lebih-lebih lagi usia saya sudah menjangkau 36 tahun September akan datang.

Mulai bulan Mac saya telah mula mengambil oat setiap hari selama tiga ke empat kali pada waktu sarapan, minum petang, makan malam dan sebelum tidur. Memang mulanya agak keberatan meninggalkan menu-menu makanan kegemaran saya seperti nasi lemak, bihun goreng, roti canai, nasi beriani, laksa johor, nasi goreng dan pelbagai makanan yang enak serta berkolesterol tinggi, namun saya wajib memikirkan kesihatan saya sendiri. Jika ada yang prihatin dengan kesihatan saya, mengapa pula saya harus mengabaikannya.

Rejim diet saya bermula ada 25 April 2010 dengan mengamalkan diet protein serta pengambilan serbuk susu soya dan Alpha Lipid. Saya perlu minum serbuk susu soya empat kali sehari iaitu pagi, tengahari, petang dan malam. Alpha Lipid pula hanya diminum pada waktu pagi ketika perut kosong. Begitulah rutin pemakanan saya hingga hari ini. Selain itu, saya perlu minum 2 hingga 2.5 liter air sehari kerana proses perkumuhan berjalan dengan cepat. Kesannya sehingga semalam (31 Mei 2010) berat saya telah turun sebanyak 8 hingga 9 kilogram. Alhamdulillah, ada penurunan berat rupanya. Pengambilan kedua-dua susu dapat membantu saya menurunkan berat badan dalam masa sebulan seminggu.

Agenda utamanya tidak dibenarkan makan nasi dan bahan karbohidrat tetapi melebihkan pengambilan protein untuk kesihatan. Gula, bahan berasas tepung dan buah-buahan (kandungan gula tinggi kecuali epal) juga tidak dibenarkan. Saya bukanlah orang yang boleh tahan dengan semua peraturan ini, oleh itu bila hujung minggu saya langgar pantang-pantang tersebut dan hari berikutnya saya berdiet semula. Jika inginkan kesan lebih baik, kurangkan pengambilan bahan berminyak dan tingkatkan senaman serta jangan lupa makan bijirin asli (oat) dalam menu makanan kita. Pengambilan susu serbuk soya mewajibkan pengamalnya makan. Justeru itu, saya mesti makan setiap hari dan perut saya mesti kenyang setiap hari.

Berikut adalah menu harian saya:

a. Sarapan Pagi: Alpha Lipid, jam 9 pagi serbuk susu soya + sekotak air soya
b. Minum Pagi: Secawan oat
c. Makan Tengahari: serbuk susu soya + ayam/ikan/makanan laut + sebiji telur + sayur
d. Minum Petang: serbuk susu soya + sekotak soya + secawan oat
e. Makan Malam: serbuk susu soya + sup (tauhu, udang dan sayur) + 2 biji telur
f. Sebelum Tidur: Secawan oat

Sehingga kini saya masih teruskan menu makanan seperti di atas dan sudah sebulan seminggu saya tidak menjamah nasi kecuali pada hujung minggu, itupun sekadar dua sudu nasi sahaja untuk melepaskan gian. Suatu perkara yang menarik ialah saya masih terus mengambil makanan berasaskan minyak. Lauk-lauk tersebut dimasak dengan pelbagai hidangan seperti dibakar, masak lemak kuning, rendang, kicap, kari, masam manis, asam pedas dan pelbagai resepi yang biasa saya makan. Produk berasakan soya sangat digalakkan. Pada peringkat awal berat saya 97 kilogram kemudian turun kepada 92 kilogram selepas pengambilan oat selama dua bulan. Selepas rejim diet serbuk susu soya dan Alpha Lipid berat saya terkini 83 kilogram.

'Emm... 'teman' serumpun'

Warna Kehidupan: 'Emm... 'teman' serumpun'
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2010/05/20

SEJARAH membuktikan hubungan baik dalam masyarakat serumpun di Nusantara menyaksikan berlangsungnya perkahwinan di antara penduduk Tanah Melayu dengan pasangan dari Indonesia sehingga berlaku penghijrahan suku dari negara jiran itu seperti Jawa, Bugis, Banjar dan Minang ke negara ini.

Bagaimanapun perubahan zaman dan penghijrahan besar-besaran rakyat dari negara jiran itu sama ada bagi tujuan mencari peluang pekerjaan atau pelajaran dengan sesetengah daripada mereka terbabit dalam perbuatan mencemar maruah diri, bangsa dan negara menyebabkan ikatan perkahwinan dengan kelompok terbabit dipandang serong. Pensyarah Program Budaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yusmilayati Yunos, berkata ada kesan positif dan negatif berhubung perkahwinan serumpun dan ia banyak dipengaruhi penerimaan keluarga mahupun individu itu sendiri kerana sedikit sebanyak ada perbezaan budaya serta bahasa antara negara asal pasangan.

Kesan negatif terjadi jika hubungan berlainan negara itu tidak direstui keluarga apalagi jika pasangan melarikan diri dari rumah kerana perbuatan terbabit memalukan keluarga, manakala jika ia direstui akan hadir pelbagai kebaikan apatah lagi, jika pasangan itu berpendidikan, bertanggungjawab lagi berbudi bahasa.

“Sebenarnya, perkahwinan serumpun tidak salah, malahan boleh mewujudkan hubungan persaudaraan dua keluarga yang berbeza budaya. Ibu bapa perlu lebih berfikiran terbuka dan mengenal dulu pilihan anak sebelum menyatakan pendirian mengenainya.

“Kebanyakan ibu bapa banyak terdedah dengan berita negatif mengenai warga asing. Perlu diingat, bukan semua bersikap negatif terutama jika anak memilih pasangan beragama dan berpendidikan tinggi. Ibu bapa juga perlu faham perasaan dan kehendak anak mereka, apatah lagi jika pilihan itu tidak seperti disangka,” katanya ketika ditemui Sastera, di Bangi, baru-baru ini.

Beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak terikat dengan penilaian awal yang negatif kerana ramai yang berkahwin serumpun bahagia dan berjaya melayari alam rumah tangga, tetapi serentak itu pasangan juga perlu memperkenalkan calon pilihan agar wujud keserasian dengan orang tua.
“Pasangan yang berhasrat ke arah ini perlu berterus-terang dengan keluarga terutama bagi lelaki luar yang berkawan dengan wanita tempatan. Mereka perlu berjumpa ibu bapa perempuan untuk menjelaskan hubungan, manakala si gadis perlu menerangkan kenapa lelaki itu menjadi pilihan,” jelasnya.

Bagi pasangan Alamsah Ismail Udin dan Siti Nurliyana Tajudeen, pertemuan di Tanah Suci Makkah ketika si isteri dan keluarga menunaikan umrah menjadi bibit awal hubungan percintaan, meskipun pada mulanya mereka tidak memberi perhatian antara satu sama lain.

Nurliyana mengakui hubungan cintanya dengan Alamsah yang berasal dari Medan, Indonesia, bermula ketika keluarganya menghadapi masalah berkenaan tiket pulang ke Malaysia yang memaksanya menangguhkan penerbangan pulang selama seminggu.

“Dua belas hari ketika saya menunaikan umrah, memang emak ada mengatakan bahawa suami seorang yang baik kerana ketika itu dia menjadi mutawif kami, tetapi saya tidak pernah mengambil pusing akan kata-kata itu. Masalah tiket penerbangan pulang, merapatkan hubungan saya dengan suami apabila dia memulakan langkah menegur saya.

“Sembilan bulan kami berkawan, suami mengambil keputusan untuk bertunang, tetapi keluarga saya terus mencadangkan agar kami melangsungkan pernikahan. Medan kini menjadi tempat kami sekeluarga meraikan lebaran setiap tahun dan saya tiada masalah bahasa dan makanan di sana kerana ia tidak banyak bezanya dari Malaysia,” jelasnya.

Pasangan yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga itu dan berkahwin ketika masing-masing masih belum selesai pengajian, menganggap restu dan sikap ibu bapa yang sangat memahami mereka banyak membantu ke arah pembinaan keluarga bahagia.

Alamsah yang sehingga kini beliau masih berulang-alik ke Tanah Suci Makkah kerana tugasnya sebagai mutawif, tidak melihat perbezaan budaya dan bahasa menjadi persoalan utama sekiranya pasangan sudah saling memahami serta menerima kelebihan mahupun kekurangan masing-masing.

“Bagi saya ia bukan masalah persoalan pokok kerana orang yang berkahwin dengan pasangan senegara juga sesetengahnya berdepan dengan masalah jika pengurusan rumah tangga tidak sistematik dan tiada sikap toleransi antara pasangan,” ujarnya.

Selasa, April 13, 2010

Haru

Ini yang hadir semasa saya mendengar Saudara Rahimidin Zahari berbicara dalam Bengkel Penulisan Kreatif pada 8 April 2010.

HARU

Aku termangu
dan terbelenggu
Terasa dungu
dan buntu
Aku terkaku
dan beku
Rupanya aku terpaku
dan terkedu
lalu tersipu malu
dalam bilik bisu
kerana tersedar
dari lamunan ungu biru...

Mistik Kejawen dan Islam Jawa


BUKU BERKAIT JAWA DAN MELAYU






PERHATIAN: SESIAPA YANG BERMINAT DENGAN BUKU TERSEBUT TINGGALKAN PESANAN PADA KOMEN/ULASAN ATAU "SHOUT"