Warna Kehidupan: 'Emm... 'teman' serumpun'
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
2010/05/20
SEJARAH membuktikan hubungan baik dalam masyarakat serumpun di Nusantara menyaksikan berlangsungnya perkahwinan di antara penduduk Tanah Melayu dengan pasangan dari Indonesia sehingga berlaku penghijrahan suku dari negara jiran itu seperti Jawa, Bugis, Banjar dan Minang ke negara ini.
Bagaimanapun perubahan zaman dan penghijrahan besar-besaran rakyat dari negara jiran itu sama ada bagi tujuan mencari peluang pekerjaan atau pelajaran dengan sesetengah daripada mereka terbabit dalam perbuatan mencemar maruah diri, bangsa dan negara menyebabkan ikatan perkahwinan dengan kelompok terbabit dipandang serong. Pensyarah Program Budaya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yusmilayati Yunos, berkata ada kesan positif dan negatif berhubung perkahwinan serumpun dan ia banyak dipengaruhi penerimaan keluarga mahupun individu itu sendiri kerana sedikit sebanyak ada perbezaan budaya serta bahasa antara negara asal pasangan.
Kesan negatif terjadi jika hubungan berlainan negara itu tidak direstui keluarga apalagi jika pasangan melarikan diri dari rumah kerana perbuatan terbabit memalukan keluarga, manakala jika ia direstui akan hadir pelbagai kebaikan apatah lagi, jika pasangan itu berpendidikan, bertanggungjawab lagi berbudi bahasa.
“Sebenarnya, perkahwinan serumpun tidak salah, malahan boleh mewujudkan hubungan persaudaraan dua keluarga yang berbeza budaya. Ibu bapa perlu lebih berfikiran terbuka dan mengenal dulu pilihan anak sebelum menyatakan pendirian mengenainya.
“Kebanyakan ibu bapa banyak terdedah dengan berita negatif mengenai warga asing. Perlu diingat, bukan semua bersikap negatif terutama jika anak memilih pasangan beragama dan berpendidikan tinggi. Ibu bapa juga perlu faham perasaan dan kehendak anak mereka, apatah lagi jika pilihan itu tidak seperti disangka,” katanya ketika ditemui Sastera, di Bangi, baru-baru ini.
Beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak terikat dengan penilaian awal yang negatif kerana ramai yang berkahwin serumpun bahagia dan berjaya melayari alam rumah tangga, tetapi serentak itu pasangan juga perlu memperkenalkan calon pilihan agar wujud keserasian dengan orang tua.
“Pasangan yang berhasrat ke arah ini perlu berterus-terang dengan keluarga terutama bagi lelaki luar yang berkawan dengan wanita tempatan. Mereka perlu berjumpa ibu bapa perempuan untuk menjelaskan hubungan, manakala si gadis perlu menerangkan kenapa lelaki itu menjadi pilihan,” jelasnya.
Bagi pasangan Alamsah Ismail Udin dan Siti Nurliyana Tajudeen, pertemuan di Tanah Suci Makkah ketika si isteri dan keluarga menunaikan umrah menjadi bibit awal hubungan percintaan, meskipun pada mulanya mereka tidak memberi perhatian antara satu sama lain.
Nurliyana mengakui hubungan cintanya dengan Alamsah yang berasal dari Medan, Indonesia, bermula ketika keluarganya menghadapi masalah berkenaan tiket pulang ke Malaysia yang memaksanya menangguhkan penerbangan pulang selama seminggu.
“Dua belas hari ketika saya menunaikan umrah, memang emak ada mengatakan bahawa suami seorang yang baik kerana ketika itu dia menjadi mutawif kami, tetapi saya tidak pernah mengambil pusing akan kata-kata itu. Masalah tiket penerbangan pulang, merapatkan hubungan saya dengan suami apabila dia memulakan langkah menegur saya.
“Sembilan bulan kami berkawan, suami mengambil keputusan untuk bertunang, tetapi keluarga saya terus mencadangkan agar kami melangsungkan pernikahan. Medan kini menjadi tempat kami sekeluarga meraikan lebaran setiap tahun dan saya tiada masalah bahasa dan makanan di sana kerana ia tidak banyak bezanya dari Malaysia,” jelasnya.
Pasangan yang sudah lima tahun mendirikan rumah tangga itu dan berkahwin ketika masing-masing masih belum selesai pengajian, menganggap restu dan sikap ibu bapa yang sangat memahami mereka banyak membantu ke arah pembinaan keluarga bahagia.
Alamsah yang sehingga kini beliau masih berulang-alik ke Tanah Suci Makkah kerana tugasnya sebagai mutawif, tidak melihat perbezaan budaya dan bahasa menjadi persoalan utama sekiranya pasangan sudah saling memahami serta menerima kelebihan mahupun kekurangan masing-masing.
“Bagi saya ia bukan masalah persoalan pokok kerana orang yang berkahwin dengan pasangan senegara juga sesetengahnya berdepan dengan masalah jika pengurusan rumah tangga tidak sistematik dan tiada sikap toleransi antara pasangan,” ujarnya.
Selasa, Jun 01, 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan