Selasa, Jun 02, 2009

Tanjung Piai Pontian Johor




Pada 24 Mei 2009 lalu, saya berpeluang untuk pergi ke Tanjung Piai di Pontian. Saya difahamkan ianya dibahagikan kepada dua kawasan iaitu Tanjung Piai Resort yang menyediakan tempat tinggal dan Hutan Lipur Tanjung Piai yang cukup menarik untuk dijadikan tapak riadah. Saya menginap di Hotel Pontian atas urusan kerja. Tanjung Piai Resort menghidangkan suasana dan pemandangan yang cukup menarik dan sesuai untuk aktiviti berkeluarga. Kedudukannya di bahagian tepi laut membangkitkan suasana yang cukup aman dan tenang. Saya disambut dengan kera-kera yang comel di sepanjang jeti yang menghubungkan kawasan darat dan laut. Alangkah senangnya hati mereka melihat ketibaan saya, emak dan seorang kawan di situ. Banyak kapal-kapal besar yang berlabuh dan saya dapat melihatnya dari jauh. Tiba-tiba, dari kejauhan itu saya melihat seorang nelayan gagah berdiri dalam perahu yang teroleng-oleng sehingga menimbulkan keraguan di hati saya. Begitu sukarnya untuk mencari rezeki sesuap nasi. Syukur dan insaf kepada Allah kerana saya diberikan rezeki di atas darat. Hutan-hutan bakau yang terdapat di sekeliling kawasan ini menghijau dan memberikan suasana yang tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Inilah kebesaran Ilahi uAdd Imagentuk kita nikmati.

Seterusnya saya dibawa ke Hutan Lipur Tanjung Piai dan tiket diperlukan untuk masuk ke sana. Bagi orang dewasa tiketnya berharga RM5 sedangkan warga tua hanya RM3. Kawasan sekelilingnya nampak bersih dan tempat meletak kereta disediakan dengan bayaran RM3. Kawasan ini juga menyediakan tapak untuk perkhemahan, kedai makan dan kemudahan berbasikal. Saya difahamkan dari pintu masuk menuju ke hujung (tempat akhir) jeti kira-kira 500 meter. Maknanya pergi dan balik jauhnya dalam 1000 meter. Ketika sedang berjalan terlihat para pekerja sedang membuat binaan (tidak pasti) yang mungkin bertujuan untuk menaiktarafkan kawasan tersebut. Saya seronok melihat sekumpulan anak-anak sekolah rendah dan guru mereka baru pulang daripada perkhemahan. Kasihan sungguh mereka kerana dengan tubuh yang kecil mereka terpaksa membawa beg yang besar dan berat. Saya dapati mereka terpaksa berhenti berkali-kali dalam perjalanan kerana keletihan. Pemandangan di sini tidak kurang cantiknya tetapi di sepanjang jeti hanya dipenuhi dengan pokok-pokok bakau dan bahang panas laut turut mencengkam kulit. Untung saya berbaju lengan panjang, kurang terasa haba panas laut. Saya sempat merakam keindahan kawasan tersebut. Terdapat anak-anak belacak dan ketam bermain-main di gigi air. Tidak ketinggalan juga siput-siput laut berjalan ke sana sini menikmati panorama alam di sekelilingnya. Kasihan emak, beliau tidak dapat meneruskan perjalanan hingga ke hujung kerana keletihan. Hanya saya dan seorang teman yang meneruskan perjalanan hingga ke hujung jeti yang dikenali sebagai penamat Benua Asia Tenggara. Di sini juga terlihat kapal-kapal besar yang sedang berlabuh dan sekali lagi saya mensyukuri dan terharu dengan kebesaran Allah. Nantikan pengalaman saya ke Benut, Pontian pada bulan depan nanti. Pasti ada sesuatu menanti di sana untuk diterokai dan dikongsi bersama pembaca semua.

Tiada ulasan: