Khamis, Jun 25, 2009

Akukah Aku?

aku cuba untuk mengerti
aku cuba untuk memahami
aku cuba untuk menyelami
aku cuba untuk mendalami
aku cuba untuk memberi

NAMUN,

aku semakin kurang mengerti
aku semakin kurang memahami
aku semakin kurang menyelami
aku semakin kurang mendalami
aku semakin kurang memberi

APAKAH IA PETANDA???

aku harus berhati-hati
aku perlu berwaspada diri
aku harus muhasabah diri

SEBAB DALAM FIKIRAN...

ada sahaja yang menghantui
ada sahaja yang berbisik ngeri
ada sahaja yang menghasut dengki
ada sahaja yang mewas-waskan diri

TAPI SATU,

jika kau rasa tidak selesa dan tiada tempat mengadu...
kembalilah pada yang satu kerana dia tempat kau meluahkan seluruh isi hatimu yang ragu..

Jumaat, Jun 19, 2009

Imej Matahari Pada Jarak 5000KM

Warna hitam yang paling panas

imej matahari yang paling jelas diperolehi oleh Royal Swedish Academy
Of Science pada 14 Nov 2002 melalui Swedish Solar Telescope

Khamis, Jun 18, 2009

Pengubat Lara

Kerja Lapangan Di Perak

semua berangan nak jadi model iklan biskut meri

Kancilku Kemalangan (10 Jun 2009)






Rabu, Jun 10, 2009

Tiada Sial dalam Tubuh


UPACARA mandi membuang sial di kalangan orang Melayu juga masih
banyak diamalkan hari ini. - Gambar hiasan


ANTARA kasihan, kesal dan kecoh. Semua perasaan itu tergumpal menjadi satu apabila mendengar luahan seorang warga emas berusia 59 tahun. Dia menceritakan pengalamannya kehilangan semua wang dan barangan kemas miliknya bernilai hampir RM240,000.

Di pejabat Biro Pengaduan MCA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur itu, ada yang tidak percaya apabila semua kerugian itu gara-gara dia diperdaya muslihat membuang sial oleh tiga wanita yang tidak dikenalinya.
Menurutnya, mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an hingga 50-an itu mendekatinya di Plaza Kota Raya, Kuala Lumpur pada 19 Mei lalu. Lakonan 'meyakinkan' trio yang bijak mencipta situasi itu mendakwa anaknya akan ditimpa musibah dan meninggal dunia.

Ketika berbual dalam sebuah restoran, mangsa diberi minum dan sebentar kemudian dia terasa khayal. Ketika itulah, semua kata-kata wanita-wanita penipu itu dipercayainya.

"Seorang wanita itu memberitahu saya bahawa mereka mengenali seorang bomoh yang hebat tetapi saya perlu menyerahkan semua wang kepada mereka," katanya.

Tanpa banyak soal, mangsa ditemani salah seorang daripada suspek untuk menaiki teksi ke rumahnya di Cheras dan kemudian mengeluarkan semua wang daripada akaun simpanannya termasuk mengambil barangan kemas seperti gelang, rantai dan anting-anting yang dianggarkan bernilai RM30,000.

Satu bungkusan beg plastik telah diserahkan kepada Wong dan warga emas malang itu diingatkan supaya ia hanya boleh dibuka selepas tiga hari. Wong pun menurut sahaja. Namun, alangkah terkejut dan luluh hatinya apabila mendapati bungkusan itu hanya berisi sebotol air mineral, tiga peket garam, tujuh biji epal dan beberapa helai surat khabar lama.

Realiti segelintir masyarakat kita kini tidak mengira sama ada bangsa Melayu, Cina atau India masih mempercayai amalan karut yang dikatakan boleh membuang sial.

Melengkapi ketaksuban ritual membuang sial itu ialah orang yang mendakwa diri sebagai bomoh, baik secara individu atau usaha berkumpulan yang menjadi perantara.

Berulang kali juga, media mendedahkan kesan dan akibat daripada penipuan dengan modus operandi sebegini. Antara lain, wang ringgit, harta serta kehormatan diri menjadi taruhan. Realitinya, tiada sial yang dibuang, sebaliknya bala pula yang datang.

Upacara membuang sial

Di seluruh dunia, kepercayaan karut sekadar memberi harapan palsu kepada pengikutnya. Kesan keaiban dan kerugian sememangnya tidak mengenal bangsa, agama, status sosial atau kedudukan geografi si mangsa. Malah, di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam, masih terdapat segelintir yang masih mengamalkan amalan tertentu untuk membuang sial.

Seperti upacara berandam, misalnya, mak andam tradisional akan mencukur bahagian-bahagian tertentu tubuh pengantin perempuan, sama ada daripada sebahagian alis, pada lengan dan bahagian muka.

Bulu, kening atau rambut yang dicukur itu tidak boleh dilangkah atau diambil orang jika pelakunya tidak mahu ditimpa kesengsaraan. Seterusnya, ia akan dibuang di sungai atau laut dan disusuli pula dengan upacara menggunakan asap kemenyan dan jampi mentera kononnya untuk melindungi diri si pengantin.

WARGA emas yang kerugian hampir RM240,000 (kiri) mengadu kesnya di pejabat Biro Pengaduan Awam MCA di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Bagi bayi yang baru lahir pula, sesetengah bidan yang mengamalkan kepercayaan tertentu akan memberi tangkal yang digantung pada leher, pergelangan tangan ataupun kaki bertujuan mengelakkan diri daripada sebarang keburukan yang dipanggil sial, malang atau kecelakaan.

Itu belum lagi mendalami amalan menggolek-golekkan telur pada tubuh ketika mandi, dan kemudiannya direbus dan dimakan bagi melenyapkan unsur tidak baik daripada kekal dalam tubuh.

Berfikiran lebih realistik

Mengulas isu 'membuang sial', penceramah agama, Datuk Dr. Amran Kasimin memberitahu, tubuh manusia tidak mempunyai sial sama ada pada muka, kuku, tangan ataupun mana-mana anggota tubuh yang lain.

"Tidak terdapat dari mana-mana sumber, sama ada daripada ayat al-Quran ataupun hadis, yang membicarakan kewujudan sial pada tubuh manusia.

"Realitinya semua ini wujud kerana pengaruh animisme yang wujud sebelum kedatangan Islam. Pengaruh ini semakin melebar dengan kedatangan aliran agama tertentu ke Nusantara. Ironinya, kepercayaan itu menjadi ikutan sebahagian orang Melayu walaupun mereka telah memeluk Islam," katanya.

Beliau menambah, seorang Muslim seharusnya benar-benar beriman kepada Allah serta percaya kepada qada dan qadar-Nya.

"Mereka tidak seharusnya mempercayai bahawa sesuatu benda itu (zat atau sifat) boleh mendatangkan kebaikan atau keburukan. Kepercayaan yang boleh menafikan kesempurnaan tauhid seperti itu adalah warisan jahiliah yang sudah dihapuskan oleh Islam," ujarnya.

Katanya lagi, amalan khurafat akan melahirkan budaya malas berusaha, minda menjadi jumud dan mudah berputus asa.

Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Malaya, Prof. Dr. Mahmood Zuhdi pula berpendapat telah tiba masa masyarakat, terutama kaum Melayu, untuk berfikiran lebih realistik.

"Memang sukar untuk mengikis pengaruh sebegini, namun ia perlu dilakukan kerana umat Islam tidak boleh mencampur aduk antara budaya dan agama.

"Ia boleh menyebabkan mereka mudah hanyut. Lebih membimbangkan, akidah mereka turut tergelincir," katanya (Kosmo, 9 Jun 2009).

Khamis, Jun 04, 2009

Karya Ulama Patani dalam Ilmu Usuluddin dan Tasawuf

Tuan Guru Haji Abdul Qadir Bin Ismail As-Sanawi antara
ulama Patani yang alim dalam bidang ilmu tauhid.

Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

KITA mengetahui bahawa ulama-ulama kita telah menterjemah, menyusun kitab dan mengajar berbagai-bagai disiplin ilmu yang ada hubungkaitnya dengan agama Islam. Antara yang paling ditekankan oleh ulama Nusantara, termasuk ulama Patani, ialah tiga ilmu fardu ain: Fiqh, Usuluddin dan Tasawuf.

Mengimbas perbicaraan yang lepas, telah diketengahkan karya Fiqh ulama-ulama Patani yang menjadi rujukan Nusantara. Kesinambungan dari itu, ia dilanjutkan pula kepada karya ulama Patani dalam dua bidang ilmu selain ilmu Fiqh, iaitu ilmu Usuluddin dan ilmu Tasawuf.

Karya Ilmu Usuluddin
Ilmu Usuluddin dinamakan juga dengan: Ilmu Tauhid, Ilmu Akidah, Ilmu Kalam dan dalam konteks Nusantara dikenali juga dengan Ilmu Sifat Dua Puluh dan Ilmu Mengenal Allah. Ulama-ulama silam Nusantara, termasuk ulama Patani, sependapat bahawa yang dinamakan dengan Ahlus Sunnah wal Jama'ah itu ialah orang-orang yang mengikut dan memahami akidah yang berasal daripada Imam Abul Hasan al-Asy'ari (260 H/ 875 M-324 H/939 M) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (235 H-305 H, riwayat lain dinyatakan wafat tahun 333 H) dan pentafsiran-pentafsiran ulama-ulama muktabar sesudah kedua-duanya, seperti Imam Baqillani (wafat 403 H/1013 M), Imam al-Ghazali (450 H/1059 M-505 H/1111 M), Imam Sanusi (833 H/1429 M-895 H/1490 M) dan ramai lagi.

Ulama Nusantara yang paling banyak menulis mengenai ilmu ini juga dibintangi oleh dua orang ulama yang berasal dari Patani, beliau ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis ilmu ini hanya dalam bahasa Melayu saja, sedang Sheikh Ahmad al-Fathani menulis dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Sekurang-kurangnya terdapat tujuh judul Ilmu Tauhid karangan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani baik yang nipis mahupun yang tebal-tebal. Demikian halnya dengan Sheikh Ahmad al-Fathani, sekurang-kurangnya tiga judul dalam bahasa Arab dan empat judul dalam bahasa Melayu.

Sejarah ringkas perkembangan Ilmu Tauhid di Nusantara selengkapnya telah penulis muat dalam buku berjudul Faridatul Faraid Syeikh Ahmad Al-Fathani 'Aqidah Ahlis Sunnah Wal Jama'ah Yang Sejati. Di sini penulis petik khusus mengenai pengkaryaan akidah kedua-dua ulama yang berasal dari Patani itu serta tambahan beberapa informasi terkini yang dirasakan perlu membahasnya.

Karya-karya Ilmu Tauhid oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sebagai yang berikut: Ad-Durruts Tsamin fi 'Aqaidil Mu'minin (1232 H/1816 M), 'Iqdul Jawahir (1245 H/ 1829 M), ditulis dalam bentuk nazam.

Nazam ini beliau syarah sendiri, diberi nama Warduz Zawahir li Hilli Alfazhi 'Iqdil Jawahir (1245 H/1829 M). Selanjutnya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mensyarah risalah mengenai Ilmu Tauhid karangan gurunya Saiyid Ahmad al-Marzuqi, diberi nama Al-Bahjatus Saniyah fil 'Aqaidis Saniyah (1258 H/1842 M).

Untuk peringkat kanak-kanak, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyusun risalah ilmu ini yang diberi judul Kifayatul Mubtadi wa Irsyadul Muhtadi atau digunakan dengan judul yang lain, iaitu: Irsyadul Athfalil Mubtadiin fi 'Aqaidid Din wal Ad'iyatun Nafi'ah lid Din, tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan.

Sebagai pedoman melakukan zikir ahlit tauhid menurut metode Thariqat Syathariyah, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, ketika berada di Sambas, Kalimantan Barat menyusun kitab berjudul Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid, juga tanpa dinyatakan tahun selesai penulisan. Selain kitab-kitab akidah yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman awal kitab-kitab fiqhnya, iaitu: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, Fat-hul Mannan dan Furu'ul Masail.

Ada pun risalah dan kitab Ilmu Tauhid karangan Sheikh Ahmad al-Fathani pula ialah: Jumanatut Tauhid (1293 H/1876 M), ditulis dalam bahasa Arab dalam bentuk puisi. Dalam tahun yang sama, iaitu 1293 H/1876 M, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menyelesaikan Munjiyatul 'Awam li Manhajil Huda minaz Zhalam, juga ditulis dalam bahasa Arab bercorak puisi. Kitabnya judul Sabilus Salam fi Syarhi Hidayatil 'Awam (1306 H/1888 M), dalam bahasa Arab adalah merupakan syarah Hidayatul 'Awam karya gurunya Sheikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

Pada tahun yang sama, iaitu 1306 H/1888 M, Sheikh Ahmad al-Fathani menyusun kitab akidah dalam bahasa Melayu berjudul 'Iqdul Juman fi 'Aqaidil Iman.

Kitab akidah dalam bahasa Melayu karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang paling banyak diajarkan di banyak tempat di Nusantara ialah Faridatul Faraid fi 'Ilmil 'Aqaid. Selain dalam karya-karya khusus mengenai akidah tersebut, Sheikh Ahmad al-Fathani juga menulis akidah dalam karya-karya fiqh yang diletak pada bahagian awalnya, iaitu: Al-Bahjatul Mubtadin, 'Unwanul Falah.

Manakala dalam bentuk penjelasan yang panjang dimuat pada bahagian awal Al-Fatawal Fathaniyah. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar juga terdapat tentang akidah, di antaranya mengenai tujuh masalah yang menjadi ikhtilaf antara Imam Abul Hasan al-Asy'ari dengan Imam Abu Hanifah.

Selain yang tersebut, terdapat pula tulisan beliau pada kitab-kitab akidah yang beliau tashhih, di antaranya di bahagian tepi Bidayatul Hidayah oleh Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi (Aceh) dan Ad-Durruts Tsamin oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Sungguhpun Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani jauh lebih tua dari Sheikh Ahmad al-Fathani, bahawa umurnya sebaya dengan ayahnya Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Wan Mushthafa al-Fathani, namun karangan-karangannya muncul kemudian daripada karangan-karangan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani sekurang-kurangnya menghasilkan tiga judul dalam bidang Ilmu Tauhid, dua judul di antaranya ialah: 'Aqidatun Najin fi Ushulid Din wa Tashawwufis Shaafin (1308 H/1890 M). Kitab ini adalah merupakan kitab akidah yang terbesar kedua di Nusantara sesudah Warduz Zawahir karya Sheikh Daud bin Abdullah.

Hingga sekarang kitab 'Aqidatun Najin masih banyak diajarkan di banyak tempat di seluruh Nusantara. Ilmu Akidah untuk peringkat kanak-kanak pula, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani menyusun sebuah risalah berjudul Miftahul Murid fi 'Ilmit Tauhid, tanpa dinyatakan tarikh selesai penulisan.

Sungguhpun masih banyak kitab akidah yang dikarang oleh ulama-ulama Patani selain tiga orang ulama besar Nusantara, yang berasal dari Patani yang tersebut di atas, penulis tinggalkan setakat itu saja. Seterusnya penulis berasa perlu untuk membahas atau menulis sedikit pembelaan beberapa kritikan terhadap karya akidah tradisional Nusantara yang dilemparkan oleh orang-orang tertentu, di antaranya ialah:

1. Tuduhan bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada fahaman yang pernah diajarnya, kerana kitabnya yang terakhir ialah Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah. Pendapat demikian perlu dijawab. Sejarah yang ittifaq para ulama bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari hanya keluar daripada Mazhab Mu'tazilah setelah itu tetap berpegang dengan Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, di mana beliaulah tokoh pertama menyusun risalah/kitab mengenai itu.

Sejarah Imam Abul Hasan al-Asy'ari sebagai murid dan anak tiri Imam Abu Hasyim al-Jubba-i, mengikut fahaman Mu'tazilah selama 40 tahun, dan keluar daripada mazhab itu, diperkenalkan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam ad-Durruts Tsamin, Warduz Zawahir dan Al-Jawahirus Saniyah. Tulisan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengenai yang tersebut adalah yang terawal dalam bahasa Melayu, belum dijumpai tulisan ulama Nusantara lainnya. Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tidak pernah menyebut bahawa Imam Abul Hasan al-Asy'ari taubat daripada Mazhab Ahlis Sunnah wal Jama'ah, demikian juga ulama-ulama Nusantara selain beliau.

Pendapat yang menyebut bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Diyanah adalah karya Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang terakhir, adalah tidak terdapat bukti yang kukuh. Dalam kitab Al-Ibanah tidak pernah menyebut perkara itu, dan tidak terdapat tahun mulai ataupun selesai penulisan. Ulama Ahlis Sunnah wal Jama'ah golongan Abul Hasan al-Asy'ari meyakini bahawa Al-Ibanah 'an Ushulid Din dan Al-Luma' adalah kedua-dua kitab Imam Abul Hasan al-Asy'ari yang ditulis sesudah beliau keluar daripada Mu'tazilah. Al-Luma' adalah memperluas dan memperjelas kandungan Al-Ibanah. Jadi seolah-olah Al-Ibanah seperti matan, sedang Al-Luma' pula seperti syarah. Oleh itu, Al-Ibanah ditulis lebih dahulu daripada Al-Luma'.

2. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutnya adalah berdasarkan pemikiran semata-mata, tidak berdasarkan kepada al-Quran dan hadis.

Jawapan mengenai ini sila rujuk Ad-Durruts Tsamin, halaman 5, dengan jelas Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "... Kemudian diangkatkan kitab yang ia (maksudnya Imam Abul Hasan al-Asy'ari) karang atas Mazhab Ahlis Sunnah, kepada manusia. Maka ia pertama-tama orang yang me[ng]edarkan Ilmu 'Aqaid atas jalan kitab dan sunah, yakni mengikut Quran, dan hadis, dan ijma' sahabat yang dahulu-dahulu yang salih-salih ..."

3. Tuduhan bahawa akidah Imam Abul Hasan al-Asy'ari dan pengikut-pengikutnya hanya mengajar Tauhid Rububiyah sahaja, tidak Tauhid Uluhiyah. Baik Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mahupun Sheikh Ahmad al-Fathani dalam beberapa halaman karyanya juga menyebut istilah Tauhid Rububiyah dan Tauhid Uluhiyah ataupun Ilahiyat di antaranya dalam Ad-Durruts Tsamin, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, "Dan tatkala selesai daripada menyatakan barang yang ta'alluq bagi Uluhiyah, iaitu barang yang wajib, dan barang yang mustahil, dan barang yang harus bagi-Nya maka sekarang kami masuk menyatakan barang yang ta'alluq pada hak Nubuwah dan risalah pula."

Ketuhanan

Dalam Warduz Zawahir pula, "... telah dijadikan kalimah tauhid itu menafikan bagi barang yang lainnya pada ketuhanan, dan tiada tuhan yang lain pada sebenarnya mempunyai ubudiyah, serta mengaku sekalian millah kuffar dengan Tauhid Rububiyah ..." Selanjutnya, "Dan yang bersalahan antara orang Mu'minin dan kafirin itu Tauhid Uluhiyah. Dan mahabbah orang Mu'minun mengitsbatkan Dia, dan orang yang kafirun mengingkar mereka itu akan Dia. Dan karena inilah, adalah kalimah al-Islam itu dan jikalau berkata niscaya tiada memadai tauhidnya".

Sheikh Ahmad al-Fathani tentang Uluhiyah / Ilahiyat pula dalam Sabilus Salam (bahasa Arab) menyebut, terjemahannya, "Ketahui olehmu bahawa perbahasan-perbahasan Usuluddin itu tiga bahagian, ialah: Ilahiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Allah, yang mustahil atas-Nya dan yang harus pada hak-Nya. Nabawiyat, iaitu yang dibahas padanya perkara-perkara yang wajib bagi Rasul-Rasul, yang mustahil atas mereka dan yang harus pada hak mereka. Sam'iyat, iaitu ..."

Demikianlah tiga contoh sebagai pembelaan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah. Penulis simpulkan saja bahawa kitab-kitab karangan ulama Nusantara, termasuk kitab-kitab karya ulama Patani, mampu mempertahankan pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah dari segala macam kritikan, kecaman, tuduhan dan fitnahan dengan segala macam aliran yang kontroversi.

Karya Ilmu Tasawuf dan Thariqat

Selain membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Fiqh dan Ilmu Tauhid di Nusantara, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, sekali gus membintangi penulisan terbanyak dalam Ilmu Tasawuf. Di antara penulisan beliau dalam ilmu ini yang dapat disenaraikan di sini ialah: 'Ilmut Tashawuf (1233 H/1817 M), risalah ini merupakan perbahasan tasawuf peringkat tinggi (muntahi) atau disebut dalam zaman moden dengan tasawuf falsafi.

Selanjutnya dalam tahun 1240 H/1824 M, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyelesaikan dua buah kitab tasawuf, ialah: Kanzul Minan 'ala Hikam Abi Madyan merupakan terjemahan dan syarah karangan Abi Madyan, dan Minhajul 'Abidin ila Jannati Rabbil 'Alamin yang merupakan terjemahan karangan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali. Sebuah lagi tasawuf peringkat tinggi (muntahi) karya Sheikh Daud bin Abdullah al- Fathani yang khusus membahas rumus-rumus ahlish shufi pada konteks Martabat Tujuh, ialah: Manhalush Shafi fi Bayani Ramzi Ahlis, tanpa dinyatakan tahun penulisan.

Walaupun Dhiyaul Murid fi Bayani Kalimatit Tauhid dapat diklasifikasikan ke dalam karya Ilmu Tauhid, namun juga dapat dimasukkan pada sektor tasawuf, kerana kitab ini khusus membicarakan metode zikrullah menurut Thariqat Syathariyah.

Selain kitab-kitab tasawuf yang berdiri sendirinya, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga menulis ilmu itu pada bahagian halaman akhir kitab-kitab fiqhnya, ialah: Hidayatul Muta'allim, Al-Jawahirus Saniyah, Sullamul Mubtadi, dan Fat-hul Mannan.

Tentang tasawuf juga beliau tulis pada bahagian akhir karya akidahnya, ialah Ad-Durruts Tsamin dan Warduz Zawahir. Sungguhpun dalam karyanya Jam'ul Fawaid merupakan terjemahan beberapa hadis, namun pada beberapa halaman juga membicarakan tasawuf.

Menggubah puisi

Karya-karya tasawuf oleh ulama-ulama Patani selain Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah sangat banyak, di antara ulama yang terdahulu daripada beliau ialah dilakukan oleh guru beliau bernama Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani. Karya-karya beliau merupakan risalah-risalah saja, belum pernah diterbitkan berupa cetakan.

Cucu saudara Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani bernama Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani (wafat 1316 H/April 1898 M) adalah Khalifah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam beberapa thariqat terutama Thariqat Syathariyah, beliau ini juga menghasilkan beberapa risalah tentang tasawuf dan tarekat.

Sheikh Ahmad al-Fathani tetap tidak ketinggalan dalam penulisan tasawuf dan tarekat, di antara karya beliau tentang ilmu ini ialah: Mir-atul A'ajib fi Jawabi Su-alil Majazib (1324 H/1906 M). Kitab ini ditulis adalah sebagai jawapan surat Raja Kelantan mengenai Thariqat Ahmadiyah yang dibawa dan diajarkan oleh Haji Encik Sa'id Linggi (Sheikh Muhammad Sa'id bin Haji Jamaluddin Linggi) di Kelantan.

Selain menyusun kitab di atas, lalu Sheikh Ahmad al-Fathani menggubah puisi pula dalam beberapa bait. Sebuah rangkaian puisi dalam bahasa Arab dan sebuah lagi dalam bahasa Melayu. Selain Mir-atul A'ajib, Sheikh Ahmad al-Fathani juga membicarakan tasawuf dalam dua buah karya fiqhnya iaitu Al-Bahjatul Mubtadin dan 'Unwanul Falah.

Adapun tasawuf yang dimuat dalam Al-Fatawal Fathaniyah itulah berasal dari judul Mir-atul A'ajib. Dalam karyanya Hadiqatul Azhar terdapat beberapa halaman yang membicarakan tasawuf, juga sejarah beberapa orang ulama sufi terdapat dalam kitab tersebut.

Murid Sheikh Ahmad al-Fathani yang berasal dari Patani yang menulis tasawuf ialah Tok Kelaba al-Fathani, di antaranya ialah: Risalatut (1307 H/1889 M), Tarjamah Qashidah Rijalil Ghaib, dan Syarabul Washilinal Muflihinal Maqbulin (1314 H/1896 M), ia masih dalam simpanan penulis dan berbentuk manuskrip yang sangat uzur.

Pada bahagian akhir manuskrip, Tok Kelaba al-Fathani menyebut bahawa karya ini adalah berdasarkan penerimaan beliau dari mulut gurunya Al-'Arif Rabbani asy-Sheikh Haji Abdul Qadir bin asy-Sheikh al-Haji Mushthafa al-Jambui al-Fathani yang dinuqil daripada perkataan Quthbur Rabbani al-'Arifush Shamadani al-Haikalun Nurani asy-Sheikh Muhyiddin Muhammad Ibnu Ali al-'Arabi (Utusan Malaysia, 1 Jun 2009).

Ulat Merawat Luka Kronik

Oleh: Luqman Nul Hakim Mazlan

Mungkin ulat-ulat ini dapat menyelamatkan kaki mak cik daripada dipotong," itulah kata-kata semangat seorang perawat kepada seorang penghidap kudis kronik di kaki akibat diabetis yang teruk.

"Jangan bimbang mak cik, ulat-ulat ini cuma makan luka dan kulit yang mati sahaja, yang elok langsung dia tak usik," kata perawat itu lagi.

Itulah kata-kata seorang perawat yang mengamalkan Maggot Debridement Therapy bagi pesakit diabetis yang mempunyai luka atau kudis yang kronik dan sukar untuk sembuh.

Menurut pengurus Edaran Arif Medik Sdn. Bhd., Mohd. Ashraf Kamarul Zaman, yang juga pengurus projek Maggot Debridement Therapy, penggunaan 'ulat lalat' di Malaysia untuk tujuan perubatan adalah yang pertama setakat ini.

"Kajian mengenai kaedah ini telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurut Mohd Ashraf, spesies ulat lalat yang digunakan itu adalah dari jenis Lucilia Cuprina iaitu lalat tempatan, manakala di negara-negara Barat, spesies yang digunakan dikenali sebagai Lucilia Sericata.

Kedua-dua spesies ini telah dikenalpasti berkesan dalam merawat luka kronik yang sukar sembuh.

"IMR telah membuat kajian mengenai ulat lalat ini dan menemui satu spesies berlainan dengan yang terdapat di Eropah, ianya dikenali sebagai Lucilia Cuprina yang dapat memainkan peranan dalam menyembuhkan luka", kata beliau lagi.

Mohd. Ashraf berkata syarikat Medical Biotheraphy Sdn. Bhd., anak syarikat Edaran Arif Medik, telah pun mendapat hak eksklusif daripada IMR untuk memasarkan ulat-ulat tersebut bermula Disember 2008 di negara ini. Kini ia dipasarkan di hospital, klinik dan pusat yang berdaftar.

Beliau berkata, ulat lalat ini mampu membantu merawat luka kronik yang dialami oleh manusia.
Menurut Mohd. Ashraf, ulat lalat ini merawat kulit yang ada luka terlalu kronik, contohnya pesakit diabetes apabila mempunyai luka yang kecil mudah merebak, membesar dan payah untuk sembuh.

"Kesukaran pesakit diabetes sembuh daripada luka pula adalah disebabkan terdapatnya tisu mati yang menyebabkan peredaran darah menjadi terbantut dan jangkitan senang berlaku."

Menurut beliau, ulat-ulat berkenaan berfungsi dengan memakan tisu yang sudah mati dan apabila menjumpai tisu yang hidup ulat-ulat itu akan berhenti daripada memakan bahagian tersebut.

Katanya lagi, proses untuk menyembuhkan luka pesakit bergantung kepada tahap teruk luka yang dialami.

"Kalau luka di peringkat awal, tapi ada tisu mati, kita letak lava (ulat) ini dalam 48 jam, sekali aplikasi. Maksudnya jika kita letak ulat tu hari ini, lusa baru kita akan buka (balutan).

Mohd Ashraf berkata, penggunaan ulat ini dalam penyucian luka memang bagus kerana ulat lalat ini mempunyai enzim yang mampu untuk mempercepatkan penumbuhan tisu.

"Ulat ni tak makan macam kita (manusia) makan, ulat ni bila dia nak makan dia akan rembeskan enzim dulu. Enzim tersebut akan mencairkan tisu-tisu mati dan ia pulihkan balik luka tersebut dengan mempercepatkan penumbuhan tisu," kata beliau lagi.

Beliau berkata, selain penggunaan ulat lalat ini bukan sahaja tertumpu pada pesakit kencing manis tetapi juka luka-luka lain seperti luka akibat kemalangan, kebakaran dan seumpama.

"Sebenarnya rawatan ini bukan pada pesakit kencing manis sahaja, cuma antibodi pesakit kencing manis sahaja yang agak kurang, jadi luka tu cepat merebak dan susah nak sembuh," kata beliau.

Kaedah rawatan ulat ini tidak boleh digunakan bagi mereka yang baru mengalami luka dalam kemalangan, cuma bagi pesakit yang mempunyai tisu yang mati sahaja.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ulat lalat ini bolehlah menghubungi Edaran Arif Medik di talian 03-61891042 ataupun melayari laman web Http://sterilarvae.com. -- BERNAMA (Utusan Malaysia, 3/6/2009).

Selasa, Jun 02, 2009

Hani dan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor (Isteri Perdana Menteri)




Anak saudara saya Hani (gadis kecil yang pakai skaf) memberi cenderamata berupa bunga kepada isteri Perdana Menteri Malaysia. Gambar ini dirakam ketika Hani diminta menjadi flower girl semasa majlis Bual Bicara Program PERMATA Pintar Negara bersama Y.A. Bhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor yang diadakan pada:

Tarikh: 28 Mei 2009 (Khamis)
Masa: 10.00 pagi - 2.00 petang
Tempat: DECTAR UKM
Judul: Fatwa Jin & Sihir
Penyelenggara: Mohd. Yusof Arbain
Tahun: 2007
Penerbit: Karya Bestari Sdn. Bhd
Tempat Terbit: Shah Alam
Halaman: 399 muka surat
Harga: RM 18.00

Jin salah satu makhluk Allah yang sememangnya wujud di muka bumi. Jin termasuk di antara perkara ghaib yang wajib dipercayai oleh seluruh kaum muslimin, namun kita tidak dapat mengetahui alam jin melainkan apa yang telah diberitahu di dalam al-Quran mahupun sunnah Rasul-Nya. Buku ini membahaskan tentang hakikat jin dan iblis, hakikat sihir dan jampi, penyakit 'ain dan cara mengubatinya.

Buku ini memuatkan tajuk mengenai sihir dan jenis-jenis seperti sihir penceraian, sihir mahabbah, sihir penyakit, sihir ikatan, sihir pendarahan dan sihir gila yang dipetik daripada kitab Ash Shorimul Fit Tashoddi Lis Saharotil Asyrori oleh Syeikh Wahid Abdus Salam Bali.

Buku fatwa ini sangat sesuai untuk mereka yang ingin mempelajari dan memahami konsep jampi menggunakan al-Quran dan zikir-zikir yang diambil daripada hadis Nabi s.a.w.

Isi Kandungan:

1. Hakikat Jin dan Iblis
2. Hakikat Sihir
3. Penyakit 'Ain
4. Ruqyah (Jampi)
5. Sihir dan Cara Merawatnya Menurut Islam

Tanjung Piai Pontian Johor




Pada 24 Mei 2009 lalu, saya berpeluang untuk pergi ke Tanjung Piai di Pontian. Saya difahamkan ianya dibahagikan kepada dua kawasan iaitu Tanjung Piai Resort yang menyediakan tempat tinggal dan Hutan Lipur Tanjung Piai yang cukup menarik untuk dijadikan tapak riadah. Saya menginap di Hotel Pontian atas urusan kerja. Tanjung Piai Resort menghidangkan suasana dan pemandangan yang cukup menarik dan sesuai untuk aktiviti berkeluarga. Kedudukannya di bahagian tepi laut membangkitkan suasana yang cukup aman dan tenang. Saya disambut dengan kera-kera yang comel di sepanjang jeti yang menghubungkan kawasan darat dan laut. Alangkah senangnya hati mereka melihat ketibaan saya, emak dan seorang kawan di situ. Banyak kapal-kapal besar yang berlabuh dan saya dapat melihatnya dari jauh. Tiba-tiba, dari kejauhan itu saya melihat seorang nelayan gagah berdiri dalam perahu yang teroleng-oleng sehingga menimbulkan keraguan di hati saya. Begitu sukarnya untuk mencari rezeki sesuap nasi. Syukur dan insaf kepada Allah kerana saya diberikan rezeki di atas darat. Hutan-hutan bakau yang terdapat di sekeliling kawasan ini menghijau dan memberikan suasana yang tidak dapat saya gambarkan dengan kata-kata. Inilah kebesaran Ilahi uAdd Imagentuk kita nikmati.

Seterusnya saya dibawa ke Hutan Lipur Tanjung Piai dan tiket diperlukan untuk masuk ke sana. Bagi orang dewasa tiketnya berharga RM5 sedangkan warga tua hanya RM3. Kawasan sekelilingnya nampak bersih dan tempat meletak kereta disediakan dengan bayaran RM3. Kawasan ini juga menyediakan tapak untuk perkhemahan, kedai makan dan kemudahan berbasikal. Saya difahamkan dari pintu masuk menuju ke hujung (tempat akhir) jeti kira-kira 500 meter. Maknanya pergi dan balik jauhnya dalam 1000 meter. Ketika sedang berjalan terlihat para pekerja sedang membuat binaan (tidak pasti) yang mungkin bertujuan untuk menaiktarafkan kawasan tersebut. Saya seronok melihat sekumpulan anak-anak sekolah rendah dan guru mereka baru pulang daripada perkhemahan. Kasihan sungguh mereka kerana dengan tubuh yang kecil mereka terpaksa membawa beg yang besar dan berat. Saya dapati mereka terpaksa berhenti berkali-kali dalam perjalanan kerana keletihan. Pemandangan di sini tidak kurang cantiknya tetapi di sepanjang jeti hanya dipenuhi dengan pokok-pokok bakau dan bahang panas laut turut mencengkam kulit. Untung saya berbaju lengan panjang, kurang terasa haba panas laut. Saya sempat merakam keindahan kawasan tersebut. Terdapat anak-anak belacak dan ketam bermain-main di gigi air. Tidak ketinggalan juga siput-siput laut berjalan ke sana sini menikmati panorama alam di sekelilingnya. Kasihan emak, beliau tidak dapat meneruskan perjalanan hingga ke hujung kerana keletihan. Hanya saya dan seorang teman yang meneruskan perjalanan hingga ke hujung jeti yang dikenali sebagai penamat Benua Asia Tenggara. Di sini juga terlihat kapal-kapal besar yang sedang berlabuh dan sekali lagi saya mensyukuri dan terharu dengan kebesaran Allah. Nantikan pengalaman saya ke Benut, Pontian pada bulan depan nanti. Pasti ada sesuatu menanti di sana untuk diterokai dan dikongsi bersama pembaca semua.

Ensiklopedi Keris

Judul: Ensiklopedi Keris
Penulis/Penyusun: Bambang Harsrinuksmo
Penerbit: Gramedia Pustaka Utama Jl. Palmerah Barat 33-37, Jakarta 10270
Cetakan I: Januari 2004
ISBN: 979-22-0649-3
Peninjau Naskah: Stanley Hendrawidjaja, Jimmy Harianto

Naskah Bambang Harsrinuskmo yang telah diterbitkan: Cara Praktis Merawat Keris (1981)
Dapur Keris (1984)
Pamor Keris (1985)
Tanya Jawab Soal Keris (1986)
Ilmu Pernapasan Jawa (1988)
Ensiklopedi Budaya Nasional (1988)
Sumantri dan Sukasrana (1989)
Pijat dan Urut Cara Jawa (1990)Imut, Hantu Budiman (1990)
Rama Bargawa (1993)
Ensiklopedi Wayang Indonesia (1998)


Naskah Bambang Harsrinuksmo lain yang telah siap dalam bentuk naskah:
Ukiran dan Hulu Keris (1994)
Warangka dan Sarung Keris (1994)
Etika dalam Dunia Perkerisan
Cerita dan Legenda dalam Budaya Keris Sinta
Derita Sejak Lahir Hingga Ajal Rahwana
Bukan Salah Bunda Mengandung
Dapur Keris Dilengkapi Gambar & Tinjauan Esoteri Budaya
Keris Pedoman
Memilih Keris yang Baik dan Cocok
Sumber: Ensiklopedi Keris
Judul: Khat & Jawi: Mutiara Kesenian Islam Sejagat
Pengarang: Abd Rahman Hamzah
Tahun Terbit: 2008
ISBN 978-983-52-0485-2
Halaman: 171 muka surat
Harga: RM 30.00
Bidang: Pengajian Islam
Buku ini membincangkan asal usul dan sejarah seni khat sejak zaman sebelum Islam. Setelah kedatangan Islam, tulisan ini melalui era yang begitu menakjubkan sehingga mencapai tahap kesempurnaan tertinggi dan penggunaannya tersebar ke merata–rata tempat di dunia.

Seterusnya, buku ini membicarakan aspek fizikal dan praktikal seni khat, meliputi jenis dan bentuk seni khat, selain memaparkan peralatan tradisional dan moden yang digunakan, kaedah pembelajarannya serta ciri–ciri penulis khat yang perlu dihayati. Beberapa tokoh seni khat teragung dipaparkan sebagai mengimbau kehidupan dan sumbangan yang telah ditinggalkan kepada generasi kini.

Selain itu, turut dibincangkan tentang fenomena mutakhir yang berlaku kepada seni khat dan jawi yang memaparkan usaha pihak penjajah Barat dengan pelbagai alasan bagi menghapuskan pengaruh tulisan Arab. Alasan mereka ini dipapar dan dibincangkan sehingga terbukti bahawa tuduhan mereka ke atas tulisan ini tidak berasas sama sekali.

Khat & Jawi: Mutiara Kesenian Islam Sejagat ditulis untuk membantu para pencinta dan pengkaji kesenian Islam mengenali seni khat dan jawi dengan lebih dekat serta sesuai dibaca oleh masyarakat umum yang berminat terhadap kesenian ini.
Isi Kandungan
Prakata
Penghargaan
BAB 1 SENI KHAT
BAB 2 SEJARAH PENULISAN AL–QUR’AN
BAB 3 GAYA AWAL
BAB 4 PERTUMBUHAN SENI KHAT MUTAKHIR
BAB 5 NAMA DAN JENIS KHAT
BAB 6 KELENGKAPAN SENI KHAT
BAB 7 TOKOH SENI KHAT
BAB 8 HURUF ARAB DALAM DUNIA ISLAM
BAB 9 SENI KHAT DAN JAWI DI MALAYSIA
BAB 10 AMANAH MEMULIHARA WARISAN JAWI
Penutup
Rujukan
Indeks