TERFIKIR untuk menamatkan hubungan yang sudah 'tidak bermakna' gara-gara si dia tidak pernah memberi kata putus perhubungan yang sudah sekian lama terjalin?
Bukan tidak sayang atau cinta yang pernah membara, namun ia bagaikan bersulam dengan perasaan benci dengan keangkuhan dan kedangkalan.
Mengucapkan perasaan selamat tinggal bukan sesuatu yang mudah. Begitu juga sukar untuk melupakan dirinya yang sudah sekian lama dikenali ragam dan cemburunya.
Berpegang kepada kata-kata mungkin dia bukan jodoh terbaik, anda memikirkan untuk menamatkan saja riwayat cinta itu lalu satu keputusan nekad diambil.
Sama ada keputusan untuk berpisah itu wajar atau sebaliknya, petua berikut mungkin boleh membantu jika anda sedang berkira-kira tujuan anda mesti memutuskan cinta:
Adakah sebab tetap atau sebab berubah? Sebab tetap antaranya adalah berbeza umur, bangsa dan negara. Sebab berubah pula antaranya ialah kelakuan, pendidikan dan kerjaya.
Anda mesti memikirkan sedalam-dalamnya. Jika anda belum begitu yakin, biarlah cinta itu diteruskan dulu.
Anda mesti mencapai tahap keyakinan mutlak, barulah buat keputusan mengenai cinta anda itu. Anda mesti tegas dan pegang keputusan cinta anda walau apa yang berlaku.
Anda akan mengecewakan diri anda dan orang lain jika anda gagal berpegang dengan keputusan cinta anda.
Fikirkan strategi untuk menamatkan riwayat cinta. Anda boleh membuat cinta si dia terhadap anda pudar dengan menonjolkan kekurangan diri dan perkara yang tidak digemarinya.
Kebiasaannya apabila anda sudah tiada rasa cinta, sifat ini akan muncul sendiri tetapi jangan sampai menyakiti si dia. Jangan sampai anda dulu mengucapkan kata putus.
Biarlah dia dulu mengucapkannya kecuali apabila tiada cara lain, berterus teranglah. Putus cinta cara ini tinggi risikonya.
Anda tidak boleh fikirkan diri anda saja tetapi perasaan cintanya perlu juga difikirkan. Carilah masa sesuai, tempat selamat dan emosi si dia paling baik untuk mendengar kata putus cinta anda.
Jangan sembarangan putus cinta kerana ini boleh menyebabkan putus nafas. Si dia boleh bertindak di luar jangkaan dengan membunuh diri, begitu juga anda. Elakkan risiko putus cinta begini.
Selepas putus cinta secara rasmi atau tidak rasmi, jangan jadikan sesiapa terutama kekasih lama anda musuh. Jadikan si dia sebagai sahabat setia pula. Musuh walaupun satu amat bahaya. Tetapi sahabat setia walau tiada cinta, tidak akan membiarkan anda menderita.
Sekiranya dicintai seseorang yang tidak anda cintai, anggaplah ia satu penghormatan buat diri anda tetapi kembalikan penghormatan itu dengan cara yang ikhlas dan jujur. Jangan ambil kesempatan dan jangan melukakan.
Bagaimana anda mengurus cinta, begitulah anda mengurus diri anda. Setiap hati dan perasaan mengalami kepedihan serta kebahagiaan yang serupa sekalipun cara mengendalikannya berbeza.
Sekiranya anda bercinta dengan seseorang yang begitu menyintai diri anda dan tiba-tiba, cinta memilih untuk pergi, tiada siapa yang harus dipersalahkan, relakan cinta itu pergi.
Ini kerana, setiap yang berlaku ada maksud yang tersembunyi dan kita akan menyedarinya apabila masa silih berganti.
Jangan terlalu memilih cinta kerana cinta itu sendiri akan memilih untuk singgah di hati sesiapa. Anda hanya perlu menerima kehadiran cinta itu dengan segala misteri di dalamnya apabila ia datang mengetuk pintu hati.
Nikmatinya, sebagaimana ia membuat hidup anda bahagia dan bebaskan ia.
Cinta sentiasa dan selamanya akan menjadi misteri. Bersyukurlah kerana ia pernah singgah di hati kerana tidak semua yang diimpikan menjadi kenyataan. Tidak semua cinta akan kekal selamanya, adakalanya ia putus di tengah jalan tetapi percayalah cinta sejati tetap wujud walaupun mengambil masa yang lama untuk diperoleh.
Ingatlah, sekali gagal dalam percintaan tidak bermakna kita akan gagal untuk selamanya kerana yang penting kita tetap percaya kewujudannya. Jangan pula terlalu menghambakan diri kepada cinta.
Cinta bukan sekadar berfungsi untuk memenuhi desakan masa dan rasa. Kalau diteruskan juga sikap ini, akan terhasil suatu keadaan yang memperkecilkan cinta. Bagi lelaki, cinta sejati bukanlah suatu ungkapan yang dicipta untuk mencari seorang lagi.
Pandangan berhubung cinta sejati ini ditujukan kepada jejaka dan gadis yang sedang mencari pasangan agar mereka berhati-hati serta mencari pasangan yang benar-benar sesuai dengan jiwa mereka.
Pasangan yang sesuai tidak semestinya sama dalam setiap tindakan dan pemikiran. Kadang-kadang, unsur dan sikap yang berlawanan saling melengkapi.
Wujudkah cinta sejati kepada pasangan yang kononnya sudah bertemu pasangan yang sehati sejiwa sedangkan hakikatnya, itu cinta kali pertama mereka yang sering disebut cinta pandang pertama.
Mereka yang bercinta pertama kali biasanya tertipu dengan bayangan perasaan yang begitu mengelirukan.
Jangan terlalu terikat dengan cinta pandang pertama kerana dengan keterikatan itu, tidak mungkin kita tahu alternatif lain yang kebarangkaliannya lebih baik adalah tinggi.
Cinta pandang pertama boleh saja berlaku di tepi jalan, pasar malam mahupun akibat sesuatu perlanggaran atau kemalangan. Pendek kata, sesuatu pertemuan berlangsung secara tidak sengaja.
Jangan sesekali meremehkan pandangan orang tua yang selalu kita anggap kolot apabila cuba mencari pasangan untuk kita.
Kononnya, hak mencari pasangan adalah hak peribadi, tanpa perlukan campur tangan pihak ketiga. Mereka menyusun aturan yang baik dan rasional dalam mencari pasangan yang sesuai. Ada risik, tilikan dan bermacam lagi prosesnya sebelum alam rumah tangga dapat dibentuk.
Sebenarnya, konsep cinta agung bagi menggantikan cinta pandang pertama adalah pencarian yang membawa maksud menyelidik dan tidak ditipu perasaan cinta yang buta seperti cinta pandang pertama.
Melalui kaedah 'cuba jaya', mungkin lepas seorang, seorang yang lain pula, akhirnya akan bertemu dengan cinta sejati.
Sekiranya semua pasangan kekasih dapat menerima konsep percubaan cinta seperti ini, tidak akan muncul lagi istilah putus cinta atau kecewa lara kerana putus cinta dianggap sebagai pertemuan yang ditakdirkan tidak sesuai.
Putus cinta akhirnya menjadi suatu yang positif. Ramai orang akan bersyukur kerana putus cinta.
Untuk mereka yang pernah putus cinta, anggaplah peristiwa itu sebagai peristiwa biasa. Bercintalah lagi dan lagi, teruskan mencari sehingga menemui cinta sejati seperti kisah Laila Majnun - mencintai Laila seluruhnya, segala kekurangan dan kelebihan secara pakej.
Khamis, April 23, 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan