Ahad, Februari 15, 2009

Kajian Lapangan Kaum Asli Mah Meri - Pulau Carey Klang

PETA TABURAN ORANG ASLI SEMENANJUNG MALAYSIA
Pada jam 7.30 pagi saya bertolak dari rumah untuk mengambil dua pelajar di UKM seperti yang telah dijanjikan sebelum ini. Kami akan bertolak ke Pulau Carey untuk membuat kajian lapangan berkenaan kaum asli Mah Meri. Kebetulan pelajar saya Azlin Aziz membuat latihan ilmiah berkenaan anyaman kaum asli Mah Meri. Kesempatan ini saya ambil untuk meninjau kawasan kajian, manatahu jika ada bahan yang sesuai untuk tulisan saya nanti. Azlin yang memandu kereta saya kerana saya kurang arif untuk ke Teluk Panglima Garang melalui lebuhraya. Sebenarnya Azlin telah berjanji dengan Dr. Syaiful yang akan membantu kami nanti. Beliau menunggu kami di Teluk Panglima Garang (rumah ibunya di sana). Kebetulan beliau memang telah biasa dengan masyarakat asli di sana. Kami bertolak sekitar 8.30 pagi dan sampai di Teluk Panglima Garang sekitar 10.15 pagi. Pelbagai peristiwa lucu berlaku. Mana tidaknya, kami sesat beberapa kali dan terpaksa bertanya di Balai Polis Trafik yang juga memberi maklumat kurang tepat kepada kami sehingga kami tersesat melalui Jalan Istana. Lucu juga dan akhirnya seorang pak cik India yang sedang beriadah membantu kami menunjukkan jalan ke Banting. Terima kasih pak cik. Sepanjang jalan kami ketawa. Dalam perjalanan menuju ke rumah arwah mak Dr. Syaiful, kami terlajak jalan dan akhirnya kena "basuh" dengan Dr. Syaiful (gunakan akal). Perjalanan menuju ke Pulau Carey agak jauh juga. Kami pergi ke beberapa buah kampung dan rupanya nama Carey itu diambil sempena nama pemilik kawasan tersebut yang bernama E. Carey seorang bangsa Skotland yang membeli tanah di kawasan tersebut dari kerajaan Selangor. Asalnya kawasan tersebut merupakan kawasan perburuan Sultan Selangor dan akhirnya menjadi penempatan kaum asli Mah Meri yang sangat mahir mengukir kayu dan membuat anyaman daun nipah.
Kami tiba di Kampung Sg. Bumbun yang mempunyai penduduk teramai di Pulau Carey. Kami diperkenalkan dengan Pak Cik Dogoh dan isterinya kak Mila yang dikatakan pakar dalam membuat anyaman daun nipah. Mereka merupakan orang terkaya di kampung tersebut dan menjalankan perniagaan menjual ikan. Sayangnya kami tidak berpeluang berbual lama dengan kak Mila yang menghidap demam chikukunya sejak bulan Disember lalu. Selepas itu kami pergi ke rumah kak Zainab pula dan beliau tiada di rumah kerana menziarahi umah bapa mertuanya yang baru meninggal dunia. Kami sempat bertanya anak-anak beliau yang agak cantik dan berkulit hitam manis. Kami meneruskan perjalanan mencari kak Zainab yang dikatakan pakar anyaman di Kampung Sg. Bumbun. Akhirnya pencarian kami membuahkan hasil dan kak Zainab ditemui sedang berehat bersama mertuanya. Mereka sedang duduk di balai kenduri arwah yang akan diadakan pada minggu hadapan. Setelah mendapatkan nombor telefon dan membuat perjanjian, kami meneruskan perjalanan dan Dr. Syaiful membawa kami ke kawasan tepi laut yang menjadi lubuk rezeki nelayan Mah Meri di situ. Terdapat banyak kapal-kapal besar yang akan berlabuh ke Pelabuhan Kelang. Selesai merakam beberapa gambar kami bergerak ke Kampung Sg. Rambai untuk menemui Batin Dolah. Kami diberitahu beliau ke laut, namun alhamdulillah kami dapat berjumpa isterinya dan ketika kami ingin beransur pulang, Batin Dolah muncul dengan membawa kayu untuk dijadikan kayu api masak. Menurut mereka pada 25 Feb 2009 mereka akan meraikan "Hari Moyang" dan minggu hadapan ada majlis perkahwinan. Maknanya kami tidak dapat menjalankan kajian pada tarikh tersebut. Setelah mendapatkan maklumat dan nombor telefon, kami meminta diri dan berjanji akan berjupa semula nanti. Suatu hal yang sangat istimewa dan menarik perhatian saya ialah anak lelaki batin Dolah, saya kira umurnya sekitar 18 atau 19 tahun dan sudah mempunyai anak berusia dua tahun. Rupanya dan isterinya boleh tahan juga dan anak kecil mereka Dahari begitu petah berbahasa Melayu. Alangkah gembira dan puashati rasanya dapat bertemu mereka di sana dan mereka sangat peramah orangnya. Dalam perjalanan pulang kami singgah di rumah arwah adik Dr. Syaiful dan sepanjang perjalanan pulang dari Pulau Carey saya yang pandu. Sebelum pulang kami singgah makan di KLCC dan terus ke UKM untuk menghantar Azlin dan Huda. Saya tiba di rumah sekitar 3.40 petang. Selepas zohor saya lena hingga ke petang. Bagi saya ini satu pengalaman yang sangat menarik dan nantikan pengalaman saya selepas ini bersama masyarakat Orang Asli Laut di Pontian nanti.

Tiada ulasan: