Jumaat, November 28, 2008

CAMPUR BAWUR SEBAGAI MEDIA PENDIDIKAN TERHADAP MASYARAKAT

Abstrak

Media merupakan salah satu alat komunikasi yang digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Melalui media pelbagai ilmu dan pengetahuan dapat diterima dan diaplikasikan. Dalam makalah ini media diertikan sebagai alat perantara pendidikan yang digunakan oleh pengarang untuk masyarakat. Pendidikan terhadap masyarakat khususnya anak-anak tidak semudah yang disangkakan. Ia meliputi empat aspek iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Pendidikan yang diberikan bertujuan supaya fizikal menjadi sihat dan kuat, mempunyai akal yang waras dan cerdas, mempunyai rohani yang luhur dan berbudi pekerti yang tinggi serta dapat menyesuaikan dirinya dengan masyarakat sekeliling. Keempat perkara tersebut hendaklah seimbang. Keseimbangan ini akhirnya akan menghasilkan suatu perubahan yang sihat dan berfaedah kepada anak-anak yang bakal menjadi orang dewasa. Aspek-aspek pendidikan tersebut melalui tempoh dan proses yang lama untuk sebati dalam diri mereka. Menurut Abdul Samad Ahmad dalam pendahuluan Cerita Selampit, orang Melayu percaya bahawa didikan kehalusan budi pekerti perlu diberi semenjak kecil iaitu seperti peribahasa, “masa rebunglah hendak dilentur, sudah jadi aur apa gunanya lagi”. Justeru itu peranan yang dimainkan oleh cerita dalam teks Campur Bawur (Campur Baur) adalah untuk mendidik masyarakat kerana melaluinya budi pekerti yang baik boleh dibentuk. Istilah Campur Baur yang digunakan dalam teks tersebut merujuk kepada cerita yang menjadikan manusia, tumbuhan dan binatang sebagai watak utamanya. Hal demikian dapat dilihat dalam cerita yang sering disulami dengan pelbagai tamsil, ibarat dan teladan yang baik.


Pengenalan

Teks Campur Bawur merupakan sebuah teks yang ditulis pada zaman kesusasteraan Jawa Baru dan diterbitkan oleh Balai Pustaka Weltevreden di Surakarta pada tahun 1921. Pengarang teks ini ialah Darmawiyatha. Isi kandungannya terdiri daripada 23 buah cerita pendek berkait dengan manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Suatu hal yang menarik tentang teks ini ialah pengarang mengakhiri setiap cerita dengan pengajaran. Justeru itu, penulisan teks ini tentunya bertujuan memberikan pendidikan kepada masyarakat pembacanya. Cerita-cerita disampaikan dengan menggunakan alegori yang halus supaya dapat menarik perhatian khalayak.

Media Pendidikan

Media berasal daripada kata medio yang bermaksud perantara. Dalam makalah ini media diertikan sebagai alat perantara pendidikan yang digunakan oleh pengarang untuk khalayak. Pendidikan meliputi empat aspek utama iaitu jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Keempat perkara tersebut perlu seimbang kerana ia akan menghasilkan suatu perubahan yang sihat dan berfaedah kepada khalayak khususnya anak-anak yang bakal menjadi orang dewasa.

Menurut Abdul Samad Ahmad dalam pendahuluan Cerita Selampit, orang Melayu percaya bahawa didikan kehalusan budi pekerti perlu diberi semenjak kecil sesuai dengan peribahasa, “masa rebunglah hendak dilentur, sudah jadi aur apa gunanya lagi”.[1] Justeru itu peranan yang dimainkan oleh cerita dalam teks Campur Bawur adalah untuk mendidik khalayak kerana melaluinya budi pekerti dapat dibentuk. Hal demikian dapat dilihat dalam cerita yang sering disulami dengan pelbagai tamsil, ibarat dan teladan yang baik.

Pendidikan Yang Diterapkan Dalam Teks Campur Bawur

Pada masa dahulu cerita-cerita binatang pernah digunakan untuk mengajar anak-anak raja, atau anak-anak pembesar di istana. Oleh kerana kesukaran untuk menyampaikan pengajaran itu secara terang, maka ia diberikan secara halus melalui cerita-cerita binatang yang bercorak simbolik. Tujuannya untuk memberi petunjuk dan nasihat kepada khalayak khususnya kanak-kanak dengan cara halus dan tidak langsung. Melalui penelitian yang dilakukan, terdapat beberapa fungsi cerita yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui teks ini. Antaranya ialah:

1. Kepentingan Persahabatan

Pembacaan cerita yang membawa unsur murni dapat menyemaikan sifat tersebut di dalam tingkah laku seharian. Cerita Jaran Kang Tuwa (Kuda Yang Tua, 1921:8) misalnya yang membawa tema persahabatan telah mengisahkan seekor kuda yang telah tua dan tidak lagi diperlukan oleh tuannya. Walau bagaimanapun jika kuda itu berjaya membawa balik seekor harimau ke hadapan tuannya, ia akan dibela tanpa melakukan sebarang pekerjaan. Sewaktu berada di dalam hutan kuda telah berjumpa dengan kawannya iaitu serigala. Serigala turut bersedih dan berjanji akan menolong kuda membawa balik seekor harimau. Melalui pertolongan serigalalah kuda berjaya membawa balik seekor harimau yang masih hidup ke hadapan tuannya. Sebagai seorang sahabat yang mulia, seseorang itu tidak akan membiarkan kawannya menghadapi kesusahan seorang diri dan ini selaras dengan ungkapan yang mengatakan “teman ketawa senang dicari, teman menangis seorang diri”. Dalam cerita ini kuda dibantu oleh serigala untuk menyelesaikan maslahnya seperti berikut:

Kuda memberitahu semua kisah yang terjadi kepadanya. Serigala merasa sangat kasihan, katanya: “Aku berhasrat menolongmu dengan rasa senang hati. Untuk melaksanakan hasratmu itu, ikutlah nasihatku. Kau harus berpura-pura mati, supaya berita ini boleh disampaikan kepada harimau yang ada di dalam hutan.” (Terjemahan cerita Kuda Yang Tua, 1921:22)

Melalui cerita ini pengarang secara tidak langsung ingin mendidik khalayak supaya memberi pertolongan dengan ikhlas dan tidak sekali-kali mengharapkan ganjaran seperti yang terdapat dala falsafah Jawa ‘sepi ing pamrih rame ing gawe’. Sikap setiakawan seperti yang ditonjolkan oleh watak serigala yang membantu kuda di dalam kesusahan secara tidak langsung mendidik khalayak supaya tidak mentingkan diri sendiri. Justeru itu unsur bantu membantu amat perlu diamalkan. Ia dapat menghindarkan diri manusia dari sifat mementingkan diri sendiri dan sabar dengan balasan yang diberikan Allah.

2. Saling Hormat Menghormati

Hal ini dapat dikaitkan dengan prinsip tatakrama dalam budaya Jawa. Tatakrama bermakna adat istiadat atau adab sopan seseorang ketika berdepan dengan orang lain sama ada yang tua atau yang muda. Salah satu perkara yang dititik beratkan dalam tatakrama ialah hormat menghormati. Prinsip ini menyatakan setiap orang perlu pandai membawa diri ketika berhadapan dengan orang lain dan sentiasa menunjukkan sikap hormat kepada orang lain sesuai dengan darjat dan kedudukannya.[2]

Sifat-sifat seperti sopan santun dalam tutur kata dan tingkah laku adalah nilai-nilai murni yang perlu dipupuk di kalangan kanak-kanak. Sementara sifat-sifat negatif seperti sombong, bongkak, tamak dan dengki perlu dijauhkan seperti yang tergambar pada cerita Jaran Loro (Dua Ekor Kuda, 1921:7). Cerita ini mengisahkan pembalasan terhadap seekor kuda yang sombong dan bongkak yang akhirnya mendapat kesusahan.

3. Tolong Menolong Antara Satu Sama Lain

Bagi masyarakat Jawa pertolongan antara sesama manusia dapat dikaitkan dengan prinsip rukun. Prinsip kerukunan bertujuan mempertahankan masyarakat supaya berada dalam keadaan yang harmonis. Rukun bermaksud berada dalam keadaan selaras, tenang dan tenteram tanpa perselisihan dan pertentangan serta bersatu.[3]

Rukun mempunyai maksud yang luas iaitu semua pihak berada dalam keadaan damai antara satu sama lain, suka bekerjasama, saling menerima dalam suasana tenang dan aman. Rukun juga menggambarkan keadaan ideal yang diharapkan dapat dipertahankan dalam semua hubungan sosial sama ada dalam keluarga, jiran tetangga di desa[4] dan dalam majlis-majlis tertentu seperti kenduri-kendara dan perayaan agama. Susunan seluruh masyarakat ini bernafaskan semangat kerukunan yang memantapkan lagi hubungan manusia Jawa dengan masyarakatnya.

Prinsip rukun terbahagi kepada dua tuntutan iaitu;

1. Dalam perspektif Jawa, ketenangan dan keselarasan sosial merupakan kesedaran normal selama ianya tidak diganggu.
2. Prinsip kerukunan tidak bersangkut paut dengan sikap batin atau keadaan jiwa dan ianya tertumpu kepada penjagaan keselarasan dalam pergaulan.[5]

Sikap menghargai budi dan jasa baik orang lain serta bersyukur kepada Tuhan merupakan nilai-nilai murni yang perlu dipupuk di kalangan kanak-kanak sejak awal lagi. Tuhan juga telah memberikan kita nikmat kesihatan dan rezeki supaya kita dapat menghargainya. Cerita Brahmana Karo Macan (Pendita Dengan Harimau, 1921:24) memaparkan pembalasan terhadap sikap harimau yang tidak berpegang teguh kepada janji yang akhirnya terpaksa hidup di dalam kandang sepanjang hayatnya. Cerita ini mempunyai persamaannya dengan cerita Harimau, Wira dan Anjing Liar dalam cerita kanak-kanak Melayu. Cerita ini mengungkapkan sikap harimau yang tidak mengenang jasa seseorang yang telah menolongnya, sebaliknya jasa baik yang diberikan oleh pendita dan wira dibalas dengan kejahatan. Hal ini boleh dikaitkan dengan pandangan Islam tentang menjaga hak orang lain seperti yang terdapat dalam suarah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:

…Dan bertolonglah kamu atas kebajikan dan berbakti dan janganlah kamu bertolong di atas dosa-dosa atau permusuhan.[6]

4. Kebijaksanaan

Tema kebijksanaan dapat diperhatikan melaui cerita Tikus Loro (Dua Ekor Tikus, 1921:13), Bocah Mursid (Budak Soleh, 1921:27), Asu Ajag Karo Baya (Serigala Dengan Buaya, 1921:35) dan Ratu Karo Garwane (Raja Dengan Permaisurinya, 1921:45). Etika kebijaksanaan berkait rapat dengan rasa dalam diri manusia. Seorang yang bijaksana bermakna dia telah sampai kepada rasa yang sebenarnya dan dapat dikenali kerana kehalusannya. Sesuatu yang bersifat kasar dapat dijinakkan dan menjadikannya halus. Bagi orang Jawa, pandangan mereka berlandaskan ukuran kasar-halus iaitu semakin halus, semakin baik dan benar.[7] Sebaliknya semakin kasar, semakin jelek dan buruk. Kehalusan berkait rapat dengan batin manusia yang bermaksud seseorang itu mempunyai sifat-sifat yang luhur, mampu mengendalikan hawa nafsu dan berbudi.[8]

Tema kecerdikan diterapkan didalam teks kajian bertujuan untuk memberi pengajaran kepada khalayak dalam mencari jalan menyelesaikan setiap masalah. Permasalahan yang timbul hendaklah diselesaikan dengan menggunakan akal fikiran secara bijak. Dalam versi Melayu cerita tersebut sama dengan cerita Siti Muslihat yang diterbitkan oleh Shaw Brothers pada tahun 1962.

5. Perpaduan Membawa Kebaikan

Cerita Kewan Papat (Empat Ekor Haiwan, 1921;5) mengisahkan pentingnya perpaduan yang dipaparkan melalui persahabatan di antara empat ekor haiwan iaitu kuda, kijang, lembu jantan dan kambing. Tema yang sama juga terdapat dalam cerita Hidup Sepakat Tentu Selamat. Keempat-empat haiwan merancang hendak merantau dan kuda telah dipilih menjadi ketua kerana ia tahu selok-belok jalan di dalam hutan. Walau bagaimanapun, tiba dipertengahan jalan berlaku perpecahan di antara keempat kawan itu kerana mereka berselisih faham, lalu berpecah mengikut haluan masing-masing. Kijang, lembu dan kambing akhirnya mati dimakan binatang buas. Pengarang ingin memupuk sikap berdisiplin, menghormati dan patuh kepada arahan ketua yang lebih arif. Cerita Hidup Sepakat Tentu Selamat mengisahkan perpaduan dan keharmonian hidup antara kura-kura, kambing, gagak dan tikus. Perpaduan yang ditunjukkan oleh haiwan-haiwan tersebut dapat dilihat sewaktu peristiwa kambing terperangkap dalam jerat yang dipasang oleh pemburu, tetapi berjaya diselamatkan oleh sahabat yang lain. Cerita ini menunjukkan bahawa bukan sahaja mansia boleh mewujudkan perpaduan di kalangan masyarakat tetapi haiwan huga pandai berbuat demikian di dalam kelompoknya.

Jika dikaitan dengan ajaran Islam, perpaduan yang berasakan keimanan kepada Allah dapat mengelakkan perpecahan dan perselisihan dalam masyarakat seperti maksud firman Allah yang terdapat dalam surah Ali-Imran ayat 103 :

Dan bersatu padulah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai…[9]

Perpaduan merupakan satu faktor kerukunan dalam hidup bermasyarakat malah sesuatu kelompok tidak mudah goyah apabila menghadapi ancaman musuh seperti ungkapan Jawa “Rukun agawe sentosa, crah agawe bubrah”[10] yang bermaksud bersatu pasti teguh atau sentosa, sebaliknya bertengkar akan runtuh. Sikap saling tolong menolong antara satu sama lain juga dapat menjamin kebahagiaan dan keharmonian hidup. Pekerjaan yang dilakukan secara berkerjasama dapat mengelakkan berlakunya keretakan dalam masyarakat. Prinsip kerukunan yang di amalkan mengambil kira semua keputusan yang di ambil oleh pihak-pihak tertentu supaya tidak menimbulkan kekacauan. Dengan kata lain prinsip ini menuntut agar seseorang sentiasa menguasai perasaan, keinginan dan nafsunya dengan membelakangkan kepentingan peribadinya demi mempertahankan keselarasan masyarakat.

6. Mematuhi Nasihat

Cerita Tikus Cilik (Tikus Kecil, 1921:3) mengisahkan tikus kecil yang tidak patuh kepada nasihat ibunya telah ditimpa kecelakaan. Nasihat ibu atau orang yang lebih tua adalah berguna kerana mereka jauh lebih berpengalaman. Ibu bapa memberi nasihat kepada anak-anaknya kerana mereka menyayangi anak-anaknya. Tikus kecil yang tidak patuh kepada nasihat ibunya telah masuk ke dalam perangkap manusia dan akhirnya dibunuh. Tikus kecil itu bukan sahaja tidak patuh kepada nasihat ibunya malah ia telah menuduh ibunya bodoh. Membantah kata ibu bapa bererti menderhaka, demikian juga dengan mencaci dan menghina ibu bapa akan menerima pembalasan seperti yang terjadi kepada tikus kecil.

Eliding dongeng: sing sapa ora mituhu marang pituturing wong tuwa utawa guru kang murih ing karah alon mesthi tumiba ing tiwas. (Tikus Cilik, 1921:3)
Cerita ini memberi teladan kepada sesiapa yang tidak menurut kata orang tua atau gurunya sudah pasti akan menemui kegagalan, gugur dan tewas. (Tikus Kecil)

Hal di atas boleh dikaitkan dengan sistem kekeluargaan masyarakat Jawa . Setiap orang Jawa melihat dirinya berada di tengah-tengah tata jajaran datuk-nenek, ibu-bapa, kakak-adik, anak-anak dan cucu.[11] Bagi mereka keluarga adalah tempat yang bebas, aman dan mereka dapat bergerak bebas tanpa kawalan. Setiap individu merasakan keluarga merupakan sarang keamanan dan perlindungan.[12] Sistem kekeluargaan ini berteraskan rasa cinta (tresna) dan tiadanya rasa isin (malu) antara satu sama lain.[13] Hubungan ini akhirnya mewujudkan keakraban dan sikap hormat menghormati dalam satu keluarga. Orang tua merupakan tempat individu Jawa memperolehi rasa selamat, tenteram dan ketenangan batin kerana mereka sentiasa melindungi anak-anaknya.[14] Justeru itu, bagi masyarakat Jawa keluarga ialah guru pertama yang mengajar mereka mengawal diri, berfikir dan bagaimanakah caranya untuk menghadapi realiti hidup. Keadaan ini sekaligus menunjukkan kepentingan orang tua mendidik anak-anaknya.


7. Merangsang Khalayak Meneroka Kejadian Yang Tidak Diketahui

Melalui cerita-cerita yang dipaparkan juga pengarang cuba merangsang khalayak untuk meneroka kejadian atau perkara yang tidak mereka ketahui. Umpamanya dengan mengemukakan cerita binatang (Dua Ekor Kuda, 1921:27, Kuda Yang Tua, 1921:21) dan tumbuhan (Pohon Beringin Dengan Padi, 1921:9), minat serta imaginasi mereka akan dibawa ke arah memikirkan kehidupan binatang di hutan rimba dan tumbuhan di sekeliling mereka. Secara tidak langsung ia akan mewujudkan sifat sayangkan binatang dan menghargai alam sekitar. Dengan cara begini khalayak akan memahami dan menyedari tentang prinsip-prinsip keadaan semulajadi manusia, tentang keadaan fizikal dunia dan hubungannya dengan ekologi. Justeru itu teks yang ditulis oleh pengarang ini menjadi penggerak kepada kesedaran khalayak tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.

8. Berfikiran Lebih Optimis

Seterusnya melalui teks ini khalayak akan berfikiran lebih optimis apabila menghadapi apa jua masalah. Contohnya melalui cerita Asu Ajag Karo Baya (Serigala Dengan Buaya, 1921:35) dan Ratu Karo Utusane (Raja Dengan Utusannya, 1921:8) khalayak diajar bagaimana cara melepaskan diri daripada menjadi mangsa kepada orang lain. Dalam kedua-dua cerita tersebut serigala sentiasa bijak mencari idea untuk membohongi buaya dan beruang bagi menyelamatkan dirinya daripada dibunuh. Secara tersirat ia melambangkan setiap manusia perlu menggunakan akal fikirannya untuk memajukan dirinya. Kemajuan dan kejayaan itu hendaklah dibuat mengikut cara yang jujur dan bukan melalui penipuan. Secara tidak langsung keadaan ini akan menyebabkan khalayak sentiasa memandang optimis ke hadapan dalam menghadapi segala cabaran di sekeliling mereka. Hal ini selaras dengan realiti kehidupan iaitu manusia sentiasa menghadapi masalah dan untuk menyelesaikannya kita harus bersikap positif dan optimis. Setiap masalah tersebut merupakan satu ujian dan cabaran yang akan mematangkan fikiran dan menjadi pengajaran berguna pada masa akan datang.

9. Pengajaran Yang Menjadi Pegangan Hidup

Jika dilihat secara mendalam pengarang telah menyelitkan beberapa pengajaran yang menjadi pegangan hidup orang Jawa. Di dalam cerita-cerita yang dipaparkan pengarang cuba mengingatkan manusia supaya berhati-hati di dalam melakukan sebarang pekerjaan. Dalam mencari kejayaan hidup dan kesenangan diri, jangan sampai seseorang bersifat angkuh, tamak haloba dan melupakan masyarakat sekelilingnya. Biasanya sesuatu kejayaan itu diperolehi dengan izin Allah dan bantuan masyarakat sekelilingnya seperti yang tergambar dalam cerita Wit Waringin Karo Pari (Pohon Beringin Dengan Padi, 1921:9) Sikap begini akhirnya membawa kemusnahan pada diri sendiri seperti yang digambarkan dalam petikan berikut:

Iki upamane wong gemblung, kang kedunungan ambeg gumedhe, wekasan nemu piweleh. (Wit Waringin Karo Pari: 1921:10)

Terjemahan:
Ini umpamanya orang yang bersifat angkuh (gila), berlagak sombong dan bangga diri dan akhirnya mendapat pembalasan. (Pohon Beringin Dengan Padi)

Biasanya sesuatu kejayaan itu diperolehi dengan izin Allah dan bantuan masyarakat sekelilingnya atau orang perseorangan. Hal begini dapat ditelusuri melalui sikap Aja Dumeh. Di dalam ajaran ini terdapat beberapa perkara yang telah dianjurkan oleh Budiono Herusatoto[15] supaya manusia tidak lupa pada dirinya. Antaranya ialah:

a. Janganlah kerana sudah berkuasa, segala tindak tanduknya pongah dan bangga diri (Aja dumeh kuwasa, tumindake daksura lan daksia marang sapada-pada).
b. Janganlah kerana sudah pintar, lalu kebijaksanaannya menyimpang dari aturan yang sepatutnya (Aja dumeh pinter, tumindake keblinger).
c. Janganlah kerana kuat dan gagah, lalu tindakannya mengikut kata hatinya sendiri (Aja dumeh kuat lan gagah, tumindake sarwa gegabah)
d. Janganlah kerana sudah kaya raya, lalu tingkah lakunya tidak mengingati mereka yang lemah miskin (Aja dumeh sugih, tumindake lali karo sing ringkih)
e. Janganlah kerana dapat mengalahkan lawan, lalu tindakannya sewenang-wenang terhadap mereka (Aja dumeh menang, tumindake sewenang-wenang).

Selain itu terdapat juga ajaran tentang Aji Mumpung[16] atau disebut mumpungisme. Ia merupakan satu pedoman mengendalikan diri dari sifat serakah dan angkara murka apabila seseorang diberi anugerah oleh Allah. Masyarakat Jawa percaya bahawa hidup manusia di dunia ini telah diatur oleh-Nya seperti putaran nasib Cakramanggilingan.[17] Sekiranya manusia berkesempatan berada di atas, dia tidak akan menggunakan kesempatan tersebut mengikut keinginan hatinya. Antara kesempatan-kesempatan tersebut ialah:

a. Memanfaatkan kesempatan kuat dan berkuasa sehingga tindakannya tanpa pedoman dan arah (Mumpung kuat lan gagah, njur tanpa ngarah-arah).
b. Memanfaatkan kepintaran yang ada sehingga tindakannya melanggar peraturan dan norma hidup (Mumpung pinter, njur sembrana nerak wewaler).
c. Memanfaatkan kekuasaan yang dimiliki sehingga tidak ingat kepada teman dan saudara (Mumpung kuwasa sapa sira sapa ingsun).
d. Memanfaatkan kesempatan hidup kaya raya sehingga bertindak melupakan mereka yang melarat (Mumpung sugih, njur nyenyamah karo sing ringkih).
e. Memanfaatkan kesempatan memperolehi kemenangan sehingga bertindak merampas dan menginjak-injak hak orang lain (Mumpung menang, njur nyawiwah hake liyan).[18]

Sifat aji mupung ini boleh dilihat dalam cerita Wong Kaya Karo Wong Miskin (Orang Kaya Dengan Orang Miskin, 1921:10) yang menggambarkan sifat orang kaya memandang rendah rhadap orang miskin yang menjadi jiran di sebelah rumahnya. Sementara cerita Ratu Karo Pangulu (Raja Dengan Penghulu, 1921: 32) menggambarkan seorang raja yang amak dan mengambil kesempatan terhadap rakyatnya dengan cara mengambil tanah mereka bagi meluaskan kekuasaaannya. Sikap mengambil kesempatan ini menyebabakan manusia lupa diri. Justeru itu manusia perlu mengelakkan dirinya daripada bersikap demikian kerana ia tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa.

Kesimpulan

Pengarang telah menyajikan cerita-cerita yang mengandungi pengajaran untuk tatapan khalayak dengan harapan ia akan menjadi panduan dalam kehidupan seharian mereka. Cerita-cerita yang dipaparkan mampu membangkitkan daya kreativiti dan imaginasi kanak-kanak secara kompleks. Nilai-nilai budaya yang sejajar dengan keadaan sosial masyarakat, seperti budaya yang menjunjung tinggi kebenaran, berakhlak, bertolak ansur, prihatin dan mengingati Tuhan dapat dilihat di dalam teks Campur Bawur. Nilai-nilai tersebut dapat mendidik khalayak khususnya kanak-kanak supaya menjadi manusia yang bertanggungjawab sebagai seorang individu, anggota masyarakat dan sebagai makhluk Tuhan di muka bumi.



Rujukan

Abdul Rahman Aroff & Zakaria Kasa. 1987. Falsafah dan konsep pendidikan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.

Aripin Said. 1996. Prosa warisan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Baidaba. 1988. Hikayat kalilah dan dimnah. Terj. Ismail Djamil. Jakarta: Balai Pustaka.

Budiono Herusatoto. 1983. Simbolisme dalam budaya Jawa. Yogyakarta: Penerbit PT. Hanindita.

Danandjaja, James. 1984. Folklor Indonesia. Jakarta : PT Pustaka Grafitipers.

Darmawiyatha. 1921. Campur bawur. Surakarta: Balai Pustaka Weltevreden.

Dundes, Alan. 1965. The study of folklore. Englewood Cliff. N.J: Prentice Hall.

Ismail Hamid. 1987. Perkembangan kesusasteraan Melayu lama. Petaling Jaya: Longman.

Koentjaraningrat. 1984. Kebudayaan Jawa. Jakarta: PN Balai Pustaka.

Mohammad Sjafei. 1979. Dasar-dasar pendidikan. Jakarta: Centre For Strategic and International Studies.

Mohd. Ali Abu Bakar.1988. Konsep keilmuan menurut Islam. Kelantan: Pustaka Aman Press.

Mohd. Taib Osman (pngr.). 1991. Pengkajian sastera rakyat bercorak cerita. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Musa Daia. 1974. Prinsip am pendidikan. Kelantan: Pustaka Aman Press.

Nik Maimunah Hj. Yahya. 1965. Cerita selampit. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noriah Mohamed. 1995. Jayengbaya memahami pemikiran orang Jawa. Bangi:Penerbut Universiti Kebangsaan Malaysia.

Noriah Mohamed.2001. Jawa di balik tabir. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaa Malaysia.

Othman Puteh & Abdul Ahmad. 1984. Sekitar sastera kanak-kanak dan remaja. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Prawiroatmojo, S. 1981. Bausastra Jawa-Indonesia. Jakarta: PT Inti Idayu Press.

Sills, David L. (edit). 1973. International encyclopedia of the social science. Vol.5. New York: The Macmillon Co. & The Free Press.


Nota Hujung

[1] Nik Maimunah Hj. Yahya, Cerita selampit, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1965.
[2] Magnis Suseno, Etika Jawa sebuah analisis falsafi tentang kebijaksanaan hidup Jawa, PT Gramedia, Jakarta, 1984, hal. 60.
[3] Ibid., hal. 39.
[4] Ibid.
[5] Ibid., hal. 50.
[6] Hamil @ Amir Abd. Hameed, Revisi cepat pendidikan Islam, Sasbadi Sdn. Bhd., Petaling Jaya, 1994, hal. 84.
[7] Maria A. Sardjono, Paham Jawa menguat falsafah hidup manusia Jawa lewat karya fiksi mutakhir Indonesia, Pustaka Sinar Harapan, Jakarta, 1992, hal.20.
[8] Ibid., hal 22.
[9] Hamil @ Amir Abd. Hameed, Revisi cepat, hal. 86.
[10] Thomas Wiyasa Bratawijaya, Mengungkap dan mengenal budaya Jawa, PT Pradnya Paramita, Jakarta, 1997, hal. 107.
[11] Hildred Geertz, Keluarga Jawa, Grafitipers, Jakarta, 1983, hal. 29.
[12] Magnis Suseno, Etika Jawa sebuah analisis falsafi tentang kebijaksanaan hidup Jawa, hal. 12-13.
[13] Maria A. Sardjono, Paham Jawa menguat falsafah hidup manusia Jawa lewat karya fiksi mutakhir Indonesia, hal. 15.
[14] Ibid.
[15] Budiono Herusatoto, Simbolisme dalam budaya Jawa, Penerbit PT Hanindita, Yogyakarta, 1983, hal. 82.
[16] Mumpung bermaksud pada waktu yang baik atau kebetulan. Lihat S. Prawiroatmojo, Bausastra Jawa-Indonesia, PT Inti Idayu Press, Jakarta, 1981, hal. 384.
[17] Cakra bermaksud bulatan, roda atau senjata berupa roda bergerigi. Nyakra Manggilingan dalam bahasa Kawi pula bermakna selalu berputar seperti kincir; lahir kembali (berganti-ganti) berulang-ulang. Ibid., hal.54.
[18] Budiono Herusatoto, Simbolisme dalam budaya Jawa, hal. 183.

Tiada ulasan: