Khamis, November 25, 2010

'Panggil Aku Mama, Papa?'

Warna Kehidupan: 'Panggil aku mama, papa?'
Oleh Nurul Farina Nazlan
2010/11/25


IBU bapa pastinya menginginkan anak yang dilahirkan memanggil mereka dengan panggilan nama khas, malahan sistem panggilan itu dilihat bertujuan menerangkan kepada anak bahawa mereka adalah ibu bapa dan individu paling rapat selain, yang melahirkan, mendidik dan menjaga anak itu.

Panggilan tradisional ‘emak’ bagi ibu dan panggilan ‘ayah’ atau ‘bapak’ bagi bapa digunakan masyarakat sejak berzaman dan masih digunakan dalam sesetengah keluarga sehingga kini, tanpa mengira taraf pendidikan ibu bapa kerana ia begitu mudah disebut.

Namun, kini ada pelbagai jenis panggilan untuk ibu bapa mengikut negeri, persekitaran, status sosial dan latar pendidikan sesebuah keluarga dan antara yang paling lazim ialah ‘mama’, ‘papa’, ‘ummi’, ‘walid’, ‘abi’, ‘mummy’ dan ‘daddy’. Pensyarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Norhisham Osman, berkata kebiasaan sebutan mama atau papa bukanlah disebabkan ingin melambangkan status sosial dalam diri pasangan ibu bapa, tetapi mungkin disebabkan perkataan itu mudah disebut oleh anak kecil yang baru belajar bercakap.



“Pasti ramai yang perasan bahawa pada 1960-an hingga pertengahan 1970-an, panggilan emak dan ayah menjadi kebiasaan dalam masyarakat kerana ketika itu ramai ibu bapa masih tinggal di luar bandar kerana faktor pendidikan yang tidak membolehkan mereka mencari peluang pekerjaan di luar daerah masing-masing,” katanya dalam pertemuan dengan Sastera ketika ditemui di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

Namun, panggilan dan gelaran itu mula berubah apabila masyarakat sudah lebih berpendidikan sehingga pada akhir 1970-an, ramai ibu bapa membahasakan diri mereka sebagai mummy dan daddy kepada anak masing-masing, ekoran keadaan sosial dan peningkatan status keluarga ketika itu.

“Sungguhpun demikian, di sesetengah negeri ada yang memanggil ibu dengan panggilan mek, encik dan cik. Begitu juga dengan panggilan ummi, abi, abuya dan walid yang suatu ketika dulu menunjukkan bahawa panggilan itu datangnya daripada keluarga keturunan Syed atau Sharifah.

“Panggilan seumpama itu juga sering dikaitkan dengan salasilah Rasulullah SAW pada zaman terbabit, tetapi kini ia lebih menunjukkan bahawa pasangan terbabit mempunyai latar belakang agama yang formal selain tidak lagi merujuk kepada sistem sosial atau latar belakang keluarga mahupun taraf pendidikan mereka.

“Bagi saya, panggilan lebih bergantung kepada keselesaan anak kecil untuk menyebut gabungan huruf konsonan dan vokal. Mama dan papa sangat mudah disebut si kecil dan ia bukan asalnya daripada perkataan Inggeris kerana semua bangsa di dunia majoritinya menggunakan panggilan itu, tetapi dengan sebutan berbeza,” jelasnya.

Pensyarah Bahagian Budaya, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yusmilayati Yunos, pula mengakui bahawa sistem panggilan khas untuk ibu bapa adalah mengikut peredaran zaman dan keselesaan keluarga.

“Ada ibu bapa yang berasa bahawa panggilan mak atau bapak sudah tidak sesuai dengan keadaan persekitaran kini. Jadi, mereka membahasakan diri kepada anak mengikut cita rasa dan keinginan sendiri seperti mama dan papa yang lebih bercirikan moden.

“Walaupun begitu, sebenarnya sistem panggilan itu bukan menjadi pokok persoalan, tetapi ibu bapa perlu sedar akan tanggungjawab lebih besar dalam memberi pendidikan dan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin agar anak masing-masing mendapat pendekatan hidup yang terbaik,” jelasnya.

Yusmilayati menyifatkan sistem panggilan khas untuk ibu bapa yang sudah diguna pakai sejak berkurun lamanya sehingga lahir istilah lebih berstatus seperti golongan istana yang menggunakan bonda dan ayahanda bagi memberi pendedahan kepada anak mereka bahawa ia adalah tatacara panggilan bagi keturunan diraja.

“Bagi saya, konsep hari ibu dan hari bapa mempengaruhi sistem panggilan kerana ia nampak lebih formal berbanding panggilan lain yang kedengaran lebih mesra dan akrab. Bagaimanapun yang lebih penting adalah menerangkan kepada anak bahawa sistem panggilan bukan sekadar sebutan, tetapi juga menunjukkan rasa hormat kepada orang yang dipanggil,” jelasnya.