Jumaat, Mei 29, 2009

5 Sifat Sabar

SABAR adalah satu sifat manusia. Ia bererti menahan dan menanggung diri daripada perkara yang tidak disukai Allah kepada yang disukai atau menahan dan menanggung diri daripada yang disukai nafsu kepada yang disukai Allah. Berpandukan kepada pengertian itu, sabar adalah satu istilah yang mengandungi pelbagai makna dan nama.

Contohnya menahan diri di medan perang disebut berani (as-saja'ah), lawannya bacul (al-jubn), manakala menahan diri daripada suatu keinginan nafsu Arabnya disebut 'dabtun nafs' dan lawannya 'al-batr'. Sabar adalah senjata terpenting manusia, lebih-lebih lagi diri manusia sentiasa menghadapi pelbagai ujian. Dengan sifat ini membolehkan manusia mengatasi ujian dan mencapai kejayaan.B anyak nas yang memerintah kita bersifat sabar, antaranya bermaksud: "Hai orang-orang beriman, bersabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap sedia (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung." (Ali-Imran:200)Cendekiawan membahagikan sifat sabar kepada beberapa jenis, iaitu:
1. Sabar terhadap kesusahan dan bala bencana yang menimpa pada manusia biasa, bahkan di kalangan nabi. Antara yang dirumuskan al-Quran ialah sabar dalam bentuk ini termasuklah bersabar dengan kefakiran atau kelaparan, bersabar terhadap kesakitan, ketika peperangan dan ketakutan, kerana kehilangan wang, kehilangan jiwa dan harta benda.
2. Sabar terhadap keinginan nafsu yang menjadi urusan syaitan. Antaranya sabar atas tarikan dan runtunan nafsu yang rendah dan hina, termasuk bersabar dari menurut perasaan marah.
3. Sabar terhadap kemewahan. Ini termasuk bersabar terhadap kenikmatan orang lain, seperti orang kafir dan golongan taghut yang pada lahirnya nikmat tetapi pada batinnya adalah azab.
4. Sabar terhadap ketaatan yang sememangnya banyak halangan. Nafsu itu tabiatnya liar dan tidak suka kepada pengabdian, malah malas pula untuk melaksanakan amal ketaatan.Kesabaran ini memerlukan tiga peringkat:

a. Sebelum dapat melaksanakan sesuatu ketaatan, perlulah memperbaiki niat dan ikhlas, sabar daripada riak yang merosakkan dan sabar untuk menguatkan keazaman.
b. Ketika mengerjakan ketaatan, hendaklah sentiasa berjaga dan berwaspada daripada faktor yang boleh melemahkannya.
c. Selepas mengerjakannya hendaklah bersifat sabar daripada melakukan suatu yang membatalkan amal ketaatannya.
5. Sabar terhadap kesusahan berdakwah ke jalan Allah. Dakwah ke jalan Allah adalah suatu usaha mulia dan suci. Ia adalah warisan daripada rasul dan nabi, mempunyai halangan dari musuh kebenaran dan kebaikan.
Harus diingat, dakwah kepada jalan Allah dan agama-Nya sangat bertentangan dengan keinginan dan hawa nafsu, dengan adat dan tradisi, keseronokan dan kerehatan, pangkat dan kedudukan, bahkan kekayaan dan kekuasaan.

Khamis, Mei 28, 2009

Muzium Bugis Pontian


































































Pada 23 Mei lalu saya sempat menziarahi Muzium Bugis yang terletak di Pontian Johor. Kebetulannya saya sedang menjalankan penyelidikan di Benut Johor. Kesempatan yang ada saya manfaatkan sebaiknya dan melihat barangan yang dipamerkan di muzium tersebut. Secara umumnya muzium tersebut terdiri daripada dua buah rumah. Salah satunya didiami oleh pemiliknya. Rumahnya serba sederhana tetapi dari luar ia kelihatan unik dan menarik. Pelbagai jenis barang dipamerkan dan disusun serta terjaga dengan baik. Pemilik rumah yang juga pemilik muzium sangat ramah dan saya diberitahu sang isteri memang berasal daripada orang Bugis. Istimewanya, bayaran tidak dikenakan tetapi terdapat sebuah tabung yang disediakan untuk sumbangan seikhlas hati. Antara koleksi yang dipamerkan termasuklah pakaian-pakaian tradisional Bugis, alat-alat muzik, duit syiling lama, senjata, tabung duit, timbang, mesin jahit dan sebagainya. Ketika saya leka melihat buku-buku lama yang ada di situ, saya terjumpa dua buah buku yang berkait rapat dengan kajian saya, namun ianya tidak dijual. InsyaAllah jika ada kesempatan lain saya akan cuba menyalinnya nanti. Saya sempat merakam beberapa keping foto dan sebelum pulang isteri tuan rumah menghadiahkan saya dan emak buah markisa.

Muzium kedua pula tidak jauh dari muzium pertama dan ia ditandai dengan sebuah perahu lama, lesung batu dan kedudukannya bersebelahan kedai makan dan masjid. Ruang di sini lebih besar dan luas. Antara koleksi yang dipamerkan termasuklah, duit syiling lama, buku dan majalah lama, botol-botol minuman lama, seramik, basikal, pasu, tempayan lama dan bermacam-macam lagi. Secara tidak langsung, muzium ini mengingatkan saya kepada nostalgia lama. Suatu hal yang sangat menarik ialah semua koleksi yang dipamerkan berusia lebih daripada 30 tahun. Terima kasih yang tidak terhingga kepada pemilik muzium yang baik hati. Ingatan tulus ikhlas dan istimewa buat saudara Asrol Nizam kerana sudi membawa saya ke sana. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budi baik saudara.

Rabu, Mei 20, 2009

Ekstrak Kupang Rawat Sendi

Oleh: SHANIKA ABDULLATIB

KETIKA ia seringkali dirujuk sebagai ‘satu’ penyakit, artritis reumatoid sebenarnya seumpama ‘payung’ kepada sekumpulan penyakit yang merujuk kepada lebih daripada 100 keadaan perubatan.

Artritis dihidapi oleh hampir lima daripada 1,000 orang dewasa di Malaysia.

Ubat bagi melegakan kesakitan termasuk acetaminophen seperti Tylenol dan dadah antikeradangan bukan steroid (NSAIDs) merangkumi ibuprofen seperti Advil yang digunakan dalam banyak keadaan reumatik bagi mengurangkan kesakitan.

Begitu juga produk asid hyaluronik seperti Hyalgan dan Synvisc yang disuntik secara langsung sebagai pelincir tiruan pada sendi lutut bagi meningkatkan keupayaan pergerakan.
Namun, menurut Pakar Perubatan dan Geriatrik, Dr. Rajban Singh, ekstrak daripada kupang hijau yang membiak di perairan New Zealand terbukti mampu membantu mengurangkan kesakitan sendi akibat artritis.

Jelasnya, ekstrak lipid laut yang berasal daripada kupang hijau itu mengandungi lima jenis Omega-3 iaitu asid eicosapentaenoik (EPA), asid docosahexaenoik (DHA), asid eicosatetraenoik (ETA), asid octadecatetraenoik (OTA) dan asid alpha-linolenik (ALA) yang cukup penting bagi keperluan tubuh manusia.

“Lipid kupang hijau ini turut mengandungi gabungan semula jadi protein, mineral dan mucopolysaccharides.

“Gabungan ini meningkatkan kemampuan pergerakan sendi, penyelengaraan rawan dan kesihatan tubuh secara keseluruhan,” ujarnya.

Penggunaan ekstrak lipid laut semula jadi ini juga tidak mengganggu pengambilan ubatan lain.
Malah ia memberi kelebihan berbanding penggunaan ubat-ubat NSAIDs dan analgesik dalam jangka panjang.

Tambah Dr. Rajban, kajian selama enam bulan di Glasgow, Scotland mendapati 76 peratus pesakit yang mengambil ekstra lipid laut itu menunjukkan peningkatan ketara dalam melembutkan dan mengurangkan ketegangan sendi pada waktu pagi serta menguatkan genggaman.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Dr. Rajban mendedahkan, walaupun keradangan sendi adalah normal bagi sesetengah keadaan, namun kerapkali keradangan melampau mengundang kesakitan dan kerosakan pada tubuh termasuk bahagian sendi utama.

“Ini akan mewujudkan sejenis kimia pengantara yang tinggi bagi pesakit artritis reumatoid berbanding orang normal malah pengidap artritis biasa.
KUPANG digunakan sebagai pelega kesakitan sendi oleh kaum Maori yang tinggal di tepi pantai di New Zealand.

“Justeru, dengan mengawal pengeluaran kimia pengantara ini, ia akan memperbaiki keadaan pesakit di samping asma, ulser, psoriasis dan pelbagai penyakit lagi,” ujarnya yang juga Presiden Persatuan Kesejahteraan Malaysia.

“Dengan ekstrak khas yang hanya boleh didapati di perairan New Zealand, terutama di Marlborough Sounds, potensinya sebagai rawatan pencegahan amat berguna,” ujar Dr. Rajban.
Pelega kesakitan sendi itu berasal daripada tradisi kaum Maori yang tinggal di pesisiran pantai.
Dengan menjadikan kupang hijau sebagai diet harian, mereka berjaya mengekalkan sendi-sendi yang baik.

Simptom Artritis

1. Mengalami lebih daripada satu sendi yang membengkak.
2. Kekejangan pada sendi yang berlanjutan selama satu jam pada awal pagi.
3. Kesakitan pada sendi yang berlarutan.
4. Kesukaran menggunakan atau menggerakkan sendi secara normal.
5. Terasa panas dan merah pada sendi.
(KOSMO, 20 Mei 2009)

Siapakah Intelektual Muslim


Oleh: Shaharom TM Sulaiman

Antara yang paling menonjol adalah Ziauddin Sardar. Beliau ialah seorang intelektual Muslim tersohor.

DALAM perspektif Islam, seorang intelektual bukan sahaja memahami sejarah bangsanya, melahirkan gagasan dan analisis yang cemerlang tetapi harus menguasai ajaran Islam termasuk bersikap kritikal dalam menilai sejarah serta berpegang teguh pada kejujuran ilmiah. Perkataan intelektual dalam Islam dapat dirujuk kepada perkataan ulul albab yang disebut sebanyak 16 kali dalam al-Quran. Menurut al-Quran, ulul-albab adalah kelompok manusia yang diberi keistimewaan oleh Allah.

Di antara keistimewaannya adalah diberi hikmah (kebijaksanaan) dan pengetahuan. Kajian dan wacana tentang peranan intelektual Muslim telah banyak diperkatakan oleh sekian banyak sarjana dan pemikir. Antara yang paling menonjol adalah Ziauddin Sardar. Beliau ialah seorang intelektual Muslim tersohor. Dalam bukunya, The Future of Muslim Civilization, beliau menegaskan: "Apakah yang dimaksudkan dengan intelektual Muslim? Intelektual Muslim adalah suatu segmen Muslim terdidik yang memiliki akses khusus kepada nilai-nilai budaya yang kerana itu dapat mengambil posisi kepemimpinan. Orang-orang terdidik tidak dengan sendirinya intelektual, mereka sering tidak peduli kepada hal apa pun, kecuali ilmu teknik atau bidang masing-masing. Modus pemikiran yang menjadi ciri intelektual adalah ideologi iaitu sebuah ideologi yang mengekspresikan pandangan dunia dan nilai-nilai budaya mereka." Dengan demikian, intelektual Muslim adalah lapisan Muslim terdidik yang mempunyai peranan khusus dalam mengembangkan nilai-nilai budaya. Kerana itulah, mereka dapat menjadi pemegang kepemimpinan dalam masyarakat. Manakala Deliar Noer, seorang intelektual Muslim Indonesia dalam bukunya, Masalah Ulama Intelektual atau Intelektual Ulama berpendapat, intelektual Muslim adalah para cendekiawan yang benar-benar bernafaskan Islam. Pemikiran mereka bukan terikat pada ilmu dan teologi, tetapi pada 'ideologi' Islam yang menjadi landasan berfikir dan pandangan hidupnya. Keterikatan mereka kepada ideologi Islam tidak mungkin ditawar-tawar, kerana mereka adalah intelektual yang menghayati Islam dan memperjuangkan kehidupan Islam di dalam masyarakat.

Manakala seorang lagi intelektual Muslim Indonesia, Azyurmadi Azra, dalam bukunya bertajuk Esei-Esei Intelektual Muslim & Pendidikan Islam menjelaskan peranan intelektual Muslim di dalam masyarakat. Pertama, peranan intelektual Muslim adalah menciptakan dan menyebarkan kebudayaan tinggi. Ia merupakan fungsi utama golongan intelektual. Dalam hal ini, kegiatan intelektual Muslim berusaha mengolah warisan kebudayaan, memperhalus, mengorek dan mengubah warisan-warisan itu dalam bentuk karya-karya baru. Edward Shills, seorang pemikir terkenal mengatakan: "Setiap angkatan cendekiawan melakukan fungsi ini bagi generasinya dan generasi berikutnya." Kaum intelektual Muslim menjadi ahli waris pusaka cendekiawan semua peradaban sebelumnya. Intelektual Muslim menerima dan mengolah pusaka itu menjadi sebuah peradaban dan kebudayaan baru. Untuk itu, para intelektual Muslim berkarya bukanlah terbatas untuk masyarakatnya sendiri, tetapi lebih jauh untuk kepentingan nasional dan antarabangsa, bahkan melahirkan kebudayaan yang bersifat antarabangsa.

Kedua, intelektual Muslim berperanan membina kebudayaan bersama. Dalam hal ini, intelektual Muslim membina masyarakat dengan landasan-landasan kebudayaan umum melalui lembaga-lembaga intelektual reproduktif seperti media, institusi pendidikan dan masjid. Melalui institusi-institusi ini, orang-orang awam menjadi 'sedar' akan adanya orang lain yang mampu memberikan anjakan paradigma baru kepada warga masyarakat. Dengan demikian, kaum intelektual Muslim tidak memencilkan diri atau terasing dengan masyarakatnya.

Peranan ketiga adalah mempengaruhi perubahan sosial. Dengan memberikan contoh-contoh dan norma-norma serta menampilkan lambang yang dapat dihargai, para intelektual berperanan membangkitkan, membimbing dan membentuk bakat-bakat dan daya-daya ekspresif di dalam masyarakat. Tetapi ini tidaklah bererti bahawa kehidupan ekspresif dalam suatu masyarakat secara eksklusif dikuasai oleh cendekiawan. Berkenaan dengan peranan ini, Muhammad Natsir dalam bukunya, Peranan Cendekiawan Muslim menegaskan: "Seandainya para cendekiawan Muslim kurang menyedari tempatnya dalam masyarakat, maka ia akan menjadi orang. 'Ahli' yang memberi nasihat menurut pesanan orang yang meminta. Tetapi kalau ia mengerti kedudukannya, maka si cendekiawan Muslim itu akan menjadi pusat gagasan dan sumber yang penuh kreativiti, penuh idea dan gagasan, memberikan perspektif dan pengarahan kepada lingkungan di sekelilingnya."

Di samping itu, para intelektual Muslim dituntut menghidupkan semangat persatuan di tengah umat yang berpecah hanya kerana perbezaan mazhab, mencari titik pertemuan daripada berbagai aliran pemikiran, menolak penafsiran agama yang melemahkan umat. Di samping itu juga, ia berusaha menanamkan sikap keterbukaan dan saling menghargai pendapat dalam masyarakat Islam selagi masih berada dalam acuan Islam. Namun, yang paling pentingnya adalah seorang intelektual harus memahami sejarah agama dan sejarah bangsanya dan bersikap kritikal dalam menilai sejarah kerana sejarah yang kita warisi banyak membentuk doktrin agama yang kita pegang dan tidak terlepas daripada kepentingan diri serta diwarnai oleh percaturan politik yang diabsahkan dalam bentuk doktrin agama. Oleh itu, para intelektual Muslim amat dituntut untuk berpegang teguh kepada kejujuran ilmiah tanpa dipengaruhi oleh sebarang 'kepentingan'. Dengan kata lain, peranan intelektual Muslim bukan sahaja memastikan umat atau masyarakat yang dipimpinnya berjaya di dunia dan dihormati tetapi juga membimbing masyarakatnya mendapat kejayaan di akhirat (KOSMO 20 Mei, 2009).

Jumaat, Mei 15, 2009

Beza Intelek, Ilmuan




Oleh: SHAHAROM TM SULAIMAN

Acap kali kita merumuskan individu yang tamat pengajian di universiti ialah seorang intelektual. Benarkah begitu?

ADAKAH semua orang mampu menjadi intelektual?

BERBEZA dengan kaum intelegensia (terpelajar) sebagai 'orang yang berpendidikan', kaum intelektual (cendekiawan) ialah mereka yang berilmu dan memiliki rasa tanggungjawab untuk mencari dan mewujudkan kebenaran agar terbentuknya kehidupan masyarakat yang lebih baik.

Perkataan intelektual berasal daripada bahasa Inggeris iaitu intellectual bererti memiliki atau menunjukkan kekuatan-kekuatan mental dan pemahaman yang baik.

Sedangkan intellect juga diertikan sebagai kekuatan pemikiran yang dengannya kita mengetahui penalaran (dapat memahami buruk baik) dan berfikir di samping menjadi sebagai seseorang yang memiliki potensi.

Secara umumnya pengertian intelektual dapat disimpulkan sebagai 'pemikir-pemikir' yang memiliki kemampuan menganalisis terhadap masalah-masalah tertentu.

Dengan pengertian umum tersebut, apakah semua orang mampu menjadi intelektual? Dalam pemahaman bahasa yang mudah, intelektual sering dikaitkan dengan sarjana dan ilmuwan.

Sarjana dapat diertikan sebagai orang yang lulus dari institusi pengajian tinggi dan jumlahnya terlalu banyak kerana setiap tahun universiti melahirkan graduan sarjana.

Ilmuwan pula ialah orang yang mendalami ilmunya kemudian mengembangkan ilmunya, baik dengan pengamatan mahupun dengan analisisnya sendiri.

Di antara sekian banyak sarjana, beberapa orang sajalah yang kemudian berkembang menjadi ilmuwan. Sebahagian besar terbenam dalam kegiatan rutin dan menjadi tukang-tukang profesional.

Pengertian intelektual

Kaum intelektual bukanlah sarjana yang menunjukkan kelompok atau golongan yang melalui pendidikan tinggi dan memperoleh pelbagai gelaran akademik.

Kaum intelektual juga bukan sekadar ilmuwan yang mendalami dan mengembangkan ilmu dengan penalaran dan penelitian.

Mereka ialah kelompok yang berasa terpanggil untuk membaiki, membimbing dan memahami aspirasi masyarakat dan merumuskannya dalam bahasa yang dapat difahami oleh setiap orang.
Dari situ mereka menawarkan strategi dan alternatif pemecahan masalah.

Walaubagaimanapun, pengertian intelektual ini pelbagai dan tiada kesatuan pendapat mengenainya.

Menurut James Maccregor Burns dalam bukunya Leaderships, intelektual ialah a devotee of ideas, knowledge and values atau seorang yang terlibat secara kritis dengan nilai, tujuan dan cita-cita yang diperjuangkan.

Sementara George A. Theodorson dan Archilles G. Theodorson dalam buku A Modern Dictionary of Sociology mendefinisikan intelektual sebagai anggota masyarakat yang mengabdikan diri kepada pengembangan gagasan asli dan terlibat dalam usaha-usaha intelektual kreatif.

Kaum intelektual merupakan sebuah segmen yang kreatif daripada lapisan intelegensia. Mereka memberikan kepemimpinan intelektual kepada lapisan intelegensia lainnya.

Seorang sosiologis tersohor, Edward Shills yang terkenal dengan kajian-kajiannya tentang dunia intelektual menyatakan bahawa intelektual ialah orang terpilih dalam masyarakat yang sering menggunakan simbol-simbol bersifat umum dan rujukan abstrak tentang manusia, masyarakat, alam dan kosmos.

Lebih lanjut lagi Shills dalam tulisannya The Intellectuals and the powers: Some Perspectives for comparative analysis, menyatakan bahawa kaum intelektual ialah orang yang mencari kebenaran.

Mereka mencari prinsip-prinsip yang terkandung dalam kejadian atau dalam proses penyaluran hubungan antara peribadi (the self) dan hakikat (the essential), baik hubungan yang bercorak pengenal (cognitive), penilaian (appreciative) atau pengutaraan (expressive).

Menurut Shills, tugas intelektual ialah mentafsirkan pengalaman masalah masyarakat, mendidik pemuda dalam tradisi dan keterampilan masyarakatnya; membimbing pengalaman estetik dan keagamaan dalam berbagai lapisan masyarakat.

Bagi Lewis Coser pula dalam tulisannya Men of Ideas, intelektual ialah orang yang kelihatan tidak pernah puas menerima kenyataan seadanya.

Mereka bertanya kebenaran yang berlaku pada suatu saat dalam hubungannya dengan kebenaran yang lebih tinggi dan luas.

Daripada beberapa pengertian di atas, terlihat bahawa intelektual berbeza dengan intelegensia. Pada umumnya intelegensia dirumuskan sebagai orang terpelajar, khususnya graduan universiti.

Intelektual boleh jadi bukan lulusan universiti dan mungkin saja berkelulusan sekolah rendah tetapi mampu mengembangkan pemikirannya.

Mereka mampu berfikir bebas, mencakupi pengamatan yang cermat terhadap gejala-gejala di suatu lingkungan, pemahaman tentang sebab gejala itu dan korelasinya dengan gejala lain. Pada akhirnya ia merumuskan suatu kesimpulan yang dapat dikomunikasikan kepada masyarakat dalam bahasa yang jelas (KOSMO 15 Mei 2009).

Rabu, Mei 06, 2009

Pergi Mu Ibu

Berderai hening subuh
Hakikat datang berlabuh
Tidak tertahan hati bagai luruh
Direntap bukan sekadar tersentuh

Pergi mu diiringi embun suci
Redha ku sebak di hati
Ibuku di jemput Ilahi
Dihening sunyi dinihari

Al – Fatihah...Ku iringi ...
Deraian mutiara jernih gugur dari mata ..mengalir dipipi
Sungguh pilunya hati ku ini
Yang tercinta sudah pergi

Terngiang dodoian mu lagi
Bagai semalam...aku bermimpi
Kini diri mu tiada lagi
Ke mana pun tiadaku kan tercari.

Karya:
.relungilham. 6 Mei 2009 . 12.25 am..
Kenangan ibu 18 April 2009..Al-Fatihah
(Allahyarhammah Hjh. Jamilah Binti Bariman)

Syahadah

Kesempurnaan Aqidah seorang muslim bergantung kepada sejauhmana ia dapat menyempurnakan rukun dan syarat-syarat Syahadah. Begitu juga aqidah yang telah sempurna itu boleh rosak apabila rukun dan syaratnya dilanggar.

Lafaz syahadah ialah :



Ertinya :
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah

Syahadah ini hendaklah dilafazkan dengan lidah dan ditasdiqkan (ingatkan dengan tetap) di dalam hati.

RUKUN SYAHADAH
Berikut adalah huraian mengenai rukun, syarat dan perkara-perkara yang boleh merosakkan aqidah. Menurut ulama’ Usuluddin Rukun Syahadah ada 4 iaitu :

1. Menetapkan zat Allah.
2. Mengakui zat Allah iaitu sifat Allah adalah paling sempurna.
3. Menetapkan perbuatan Allah sebagai perbuatan Dia sahaja dan tidak sama dengan perbuatan makhluk.
4. Menetapkan dan meyakini bahawa agama yang dibawa Rasulullah sahaja yang benar.


SYARAT SYAHADAH
1. Mampu menyebut dan membacakan kalimah Shahadah ( diucapkan dengan lidah ).
2. Hendaklah meyakini dalam hati maksud syahadah iaitu meyakini hak-hak Allah dan Rasul.
3. Jangan ada di dalamnya syak ( 70 – percaya, 30 – tidak percaya ).
4. Jangan ada di dalamnya zan ( 50 - percaya dan 50 tidak percaya )
5. Jangan ada waham ( 30 – percaya dan 70 lagi tidak percaya ).
6. Beramal dengan apa yang diyakini, dan menolak segala sesuatu yang merosakkan syahadah.

IMPLIKASI SYAHADAH YANG SEBENAR
1. Kesan Dunia – Memberi kebahagiaan sepanjang hidup dan tidak akan tersesat.
2. Kesan Akhirat – bawa syahadah bila bertemu Allah dan Allah akan bertanya kalimah tersebut di alam barzakh sehingga ke padang Mahsyar. Menentukan kebahagiaan kehidupan di akhirat.


10 PERKARA YANG MEMBATALKAN SYAHADAH
1. Menyekutukan Allah
2. Bertawakal kepada makhluk (gantung nasib pada makhluk), Konsep sebenarnya kepada Allah taala sahaja.
3. Mengkafirkan orang Islam yang telah nyata Islamnya. Dan tidak mengkufurkan orang kafir yang telah nyata kufurnya.
4. Yakin dan percaya ideologi yang dibawa oleh manusia lebih baik daripada sistem Islam.
5. Mencaci Nabi dan Sunnahnya.
6. Hukum Allah menjadi sendaan dan gurauan.
7. Menenung nasib dan bermain sihir.
8. Membantu orang kafir untuk merosakkan Islam
9. Beranggapan bahawa keluar daripada Islam tidak apa-apa
10. Menolak sebahagian daripada Al-Quran dan menerima sebahagian Al-Quran.

Bersuci

PENGERTIAN BERSUCI
Firman Allah swt maksudnya, "Sesunguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubata dan yang suka menyucikan diri " (Al Baqarah : 222)
Bersuci atau At Thaharah ialah suatu pekerjaan yang dilakukan bagi menghilangkan hadas atau najis yang ada di badan, pakaian atau tempat tinggal kita. Ia mesti dibersihan supaya kita boleh melakukan ibadah. Di dalam ajaran Islam bersuci adalah sesuatu yang WAJIB. Sebahagian dari bersuci adalah berwuduk, mandi dan membersihkan najis dari badan.

JENIS-JENIS BERSUCI
Bersuci dari hadas kecil. Apabila kita berada dalam keadaan begini kita dilarang dari mengerjakan sembahyang dan menyentuh Al Quran. Cara untuk menyucikan ialah dengan mengamil wuduk ataupun bertayammum.

Bersuci dari hadas besar. Mereka yang berjimak, haid dan nifas adalah termasuk di dalam golongan ini. Cara bersuci daripadanya ialah dengan mandi junub. Perkara yang ditegah dari melakukannya seperti sembahyang, puasa, menunaikan haji, iktikaf di masjid dan menyentuh atau membaca Al Quran.

Beristinjak. Ia bertujuan bagi menghilangkan najis yang keluar dari dua saluran iaitu qubul dan dubur.

ISTINJAK
RUKUN ISTINJAK
Rukun istinjak ada 3 iaitu :
1. Islam
2. Menggunakan air, batu, kertas, daun dan benda keras yang suci
3. Najis itu mestilah keluar dari qubul dan dubur

SUNAT-SUNAT ISTINJAK
1. Haruslah dilakukan dengan bilangan yang ganjil seperti 3x, 5x atau 7x dan seterusnya.
2. Menggunakan tangan kiri

BERISTINJAK DENGAN BATU
Syarat-syarat menggunakan batu atau lain-lain benda yang keras ialah:
1. Pastikan benda tersebut tidak mengalir
2. Pastikan najis belum kering
3. Pastikan tempat keluar najis tersebut tidak terhalang oleh benda-banda lain

BERISTINJAK DENGAN AIR
Perlakuannya ialah lebih kurang sama dengan batu. Terlebih dahulu mestilah dibersihkan sehingga hilang 3 perkara iaitu bau, warna dan rasa. Apabila selesai disunatkan membaca doa.

BENDA-BENDA BERNAJIS
Antara benda-benda najis menurut Islam adalah seperti berikut :
1. Semua jenis bangkai binatang darat dan laut yang berdarah melainkan mayat manusia. Binatang darat dan laut yang tidak berdarah dianggap suci.
2. Darah kecuali hati dan limpa
3. Semua jenis benda yang keluar dari qubur dan dubur
4. Nanah kerana ia terhasil dari darah yang kotor
5. Arak dan semua jenis minuman yang memabukkan
6. Bahagian binatang yang diambil dari badannya semasa ia masih hidup

JENIS-JENIS NAJIS
Terdapat 2 jenis najis yang boleh diklasifikasikan dalam Islam iaitu:
a. NAJIS MUGHALLAZAH
Iaitu anjing dan babi serta segala anggota tubuh badannya. Cara menyucikannya ialah dengan menyiram sekali air tanah atau lumpur dan 6 kali dengan air yang bersih

b. NAJIS MUKHAFFAFAH
Iaitu najis ringan seperti air kencing kanak-kanak lelaki yang berumur 2 tahun kebawah dan hanya memakan susus ibunya sahaja. Cara menyucikannya ialah memadai dengan memercikkan air ke atas benda yang terkena najis itu kemudian lapkannya

c. NAJIS MUTAWASSITAH
Iaitu najis pertengahan. Najis ini terbahagi kepada dua bahagian :

(a) Hikmiah adalah najis yang kita yakini adanya tetapi tidak nyata zatnya seperti air kencing yang sudah lama kering hinggakan sifatnya sudah hilang. Najis ini disucikan dengan mengalirkan ari keatasnya
(b) 'Ainah adalah najis yang dicuci dengan menghilangkan dan membersihkan semua zatnya


JENIS-JENIS AIR
Terdapat 5 jenis air iaitu :

1. AIR MUTLAK
Sifatnya adalah suci lagi menyucika.n Air ini boleh digunakan bagi menyucikan benda lain. Contohnya air hujan, laut, perigi, air mata air, salji, sungai dan air embun

2. AIR MUQAYYAT
Sifatnya adalah suci tetapi tidak boleh menyucikan. Air ini tidak sah digunakan untuk menyucikan benda lain seperti air kopi, teh, ar buah-buahan dan sebagainya.

3. AIR MUTANNAJJIS
Air ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:

(a) Telah berubah salah satu sifatnya iaitu warna , bau dan rasa dengan najis. Air ini tidak boleh digunakan lagi sama ada banyak ataupun sedikit.

(b) Air bernajis tetapi tidak berubah sifatnya. Air ini jika kurang dari 2 kolah (lebih kurang 13 tin minyak tanah) tidak boleh digunakan lagi tetapi jika 2 kolah atau lebih maka hukumnya suci lagi menyucikan.

4. AIR MUSYAMMAS
Ialah air yang terjemur di tengah pancaran matahari dalam bekas selain dari bekas emas dan perak. Ianya makruh digunakan untuk badan tetapi tidak untuk pakaian.

5. AIR MUSTAGHMAL
Ialah air yang telah digunakan untuk menyucikan benda-benda lain dan sukatannya adalah kurang dari 2 kolah. Air ini tidak sah digunakan untuk bersuci walaupun tidak berubah sifatnya.

Panduan Menentukan Arah Kiblat

Terdapat beberapa kaedah bagi menentukan arah kiblat seperti berpandukan kepada matahari selain daripada menggunakan kompas penunjuk. Panduan ini amat perlu pelajari kerana mungkin pada suatu masa kita akan berhadapan dengan situasi yang terdesak seperti di tengah-tengah hutan belantara, pada malam yang gelap gelita, atau pada musim cuaca yang tidak menentu maka bagaimakah kita hendak menentukan arah kiblat?

Di bawah ini beberapa panduan yang boleh digunakan bagi tujuan menenjukan arah kiblat :

Kaedah 1
Pada waktu malam yang gelap maka carilah bintang tiga sederet dalam bentuk Buruj Belatik (Badabur Orion). Namun kaedah ini memerlukan kepada pengetahuan ilmu bintang.

Kaedah 2
Dengan memandang ke arah langit pada malam gelap gelita dan carilah bintang Qutbi (Polaris). Inilah satu-satunya bintang paling tepat arah utara bumi. Dengan berpandukan bintang ini, arah kiblat boleh dicari tatapi kaedah ini juga memerlukan pada pengetahuan ilmu bintang.

Kaedah 3
Jika pada waktu siang hari bolehlah merujuk kepada posisi matahari dengan memerhatikan arah ia terbit dan juga terbenam. Arah terbit adalah pada sebelah timur dan arah terbenam pada sebelah barat. Sebelah barat adalah arah kedudukan Makkah secara rawak dan ianya boleh dijadikan panduan bagi menentukan arah kiblat.

Kaedah 4
Dengan menggunakan posisi zawal matahari di Kaabah. Kaedah ini adalah berpandukan kepada kedudukan matahari yang akan berada tepat pada suatu tempat. Bagaimanapun kaedah ini hanya boleh berlaku dua kali sahaja dalam setahun dalam pergerakan matahari.

Sekali apabila matahari bergerak menuju titik utara iaitu pada 28 Mei setiap tahun dan sekali lagi pada 16 Julai apabila matahari kembali ke ekuinok.

Penzawalan matahari dengan Kaabah pada waktu hampir zohor akan menyebabkan sebarang objek menjadi tegak di seluruh dunia dan ianya bersamaan dengan arah kiblat.

Mengikut hisab waktu berkenaan ialah 16:16 tengahari watu di makkah dan bersamaan 5:16 petang waktu di Malaysia. Pacakkan sebarang tiang di kawasan yang lapang untuk menentukan arah kiblat.

Tepat jam 5:16 petang bayang matahari yang jatuh itu adalah bertepatan dengan arah kiblat. Oleh kerana matahari jatuh di sebelah barat maka bayangnya adalah disebelah timur,jadi arah kiblat ialah arah yang berlawanan dari arah timur iaitu sebelah barat